Langkau ke kandungan utama
1

Persimpangan Bertingkat Taman Desa, Lebuhraya Baru Pantai (NPE)

KUALA LUMPUR, 8 MAC 2017: Pembukaan Tanjakan Hubungan Kuchai di Persimpangan Bertingkat Taman Desa, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya pada hari ini.

Tanjakan sepanjang satu kilometer merangkumi laluan bertingkat yang mengunjur ke Tenggara daripada Lebuhraya Besraya sehingga Lebuhraya NPE ini mula dibina pada 20 Jun 2015 dan telah siap dibina pada 27 Februari 2017. Pembinaan Tanjakan Hubungan Kuchai melibatkan struktur jambatan yang terdiri daripada 19 batang tiang (pier) dan 20 rentangan (span) bagi menyediakan laluan satu lorong satu hala.

Tanjakan Hubungan Kuchai yang dibina dengan kos RM56 juta ini akan menyediakan laluan terus dan cepat dari persimpangan berlampu isyarat di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) ke Lebuhraya Baru Pantai (NPE) tanpa perlu melalui persimpangan lampu isyarat Kuchai Lama berhampiran Kilang Ajinomoto.

Dengan siapnya pembinaan Tanjakan Hubungan Kuchai ini, pengguna lebuhraya tidak perlu lagi menunggu di persimpangan lampu isyarat Kuchai Lama dan masa perjalanan dapat dikurangkan kira-kira 10 minit pada waktu puncak di sebelah pagi.

Selain itu, Tanjakan Hubungan Kuchai juga dapat mengurangkan kapasiti kenderaan di persimpangan lampu isyarat tersebut sekaligus membantu aliran trafik di kawasan sekitar kerana pengguna yang hendak ke Lebuhraya NPE dari arah Lebuhraya Besraya boleh menggunakan Tanjakan Hubungan Kuchai.

Tarikh Dan Waktu Acara