Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Pembukaan Jajaran Seksyen 8 WCE Dari Persimpangan Hutan Melintang Ke Teluk Intan Perak

TELUK INTAN, 31 MEI 2019 - Jajaran Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Seksyen 8 daripada Persimpangan Hutan Melintang ke Persimpangan Teluk Intan, di Perak dibuka secara rasmi oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir. Bayaran tol tidak akan dikenakan sehingga pihak Kerajaan membuat keputusan berkenaan polisi pengenaan tol serta kadar tol bagi lebuh raya tersebut.

Pembukaan ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pengguna, malah bakal memacu aktiviti dan pertumbuhan ekonomi di sekitar kawasan berkenaan. Seksyen 8 ini adalah sebahagian daripada keseluruhan 12 Seksyen Lebuhraya WCE, (7 Seksyen di Selangor dan 5 Seksyen di Perak). Jajaran Seksyen 8 yang direkabentuk sebagai laluan 2 lorong 2 hala sepanjang 18 kilometer bakal menjadi laluan pintasan kepada penduduk tempatan sekitar Sabak Bernam, Selangor, Bagan Datok, Hutan Melintang, Teluk Intan dan Sitiawan, Perak.

Ini berikutan jajaran ini akan dapat memendekkan masa perjalanan dengan anggaran 11 minit berbanding penggunaan laluan FT 005. Selain daripada itu, pengguna disediakan kemudahan awam seperti surau dan bilik air yang terletak bersebelahan Plaza Tol Hutan Melintang dan Plaza Tol Teluk Intan.

Buat masa ini, pembukaan Seksyen 8 ini bersifat setempat iaitu memberi kemudahan kepada penduduk yang tinggal berhampiran lebuhraya WCE Seksyen 8. Namun begitu, apabila siap sepenuhnya nanti, Lebuhraya WCE bakal menjadi satu sistem penyuraian trafik dan menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), terutama ketika musim perayaan bagi perjalanan dari Lembah Klang menuju ke utara Semenanjung dan sebaliknya.

1

Acara Coffee Break Anjuran JKR Dan Konsesi Penyenggaraan Jalan

BENTONG, 30 MEI 2019 - Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kerjasama Syarikat Konsesi Penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia telah mengadakan acara Coffee Break sempena Hari Raya Aidilfitri 2019. Program ini merupakan inisiatif JKR melalui tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility) dalam usaha membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di musim perayaan ini. Acara ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Mohd Anuar Mohd Tahir yang turut menyampaikan bubur lambuk kepada pelanggan di lokasi majlis.

Acara tahun ini dilaksanakan secara serentak di empat (4) lokasi terpilih di sepanjang Laluan Persekutuan iaitu Petronas Jalan Tras Batu 1, Bentong (FT 08 Bentong -Gua Musang), Stesyen Minyak Shell Taman Uda (FT 256 Lebuhraya Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah), Stesen Minyak Petron, Klebang Ipoh (FT001 Sek 607) dan Petronas Tol Ayer Keroh (FT 143 Lebuh Ayer Keroh Seksyen 10, Daerah Melaka Tengah).

Melalui inisiatif acara coffee break seumpama ini, pemandu yang menggunakan Jalan Persekutuan berpeluang untuk berehat sambil menikmati secawan kopi secara percuma bagi menghilangkan keletihan dan mengantuk. Faktor-faktor penyumbang terbesar terhadap kemalangan jalan raya ialah pengguna jalan raya itu sendiri yang mana ia termasuklah memandu melebihi hadlaju, tidak mematuhi peraturan lalulintas dan memandu dalam keadaan mengantuk atau tidak mempunyai rehat secukupnya.

1

Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2019

KUALA LUMPUR, 28 MEI 2019 – Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan sokongan pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menganjurkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri 2019 di Lebuhraya Grand Sepadu yang dilancarkan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya.

Kempen Advokasi ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna lebuh raya berhubung pentingnya mengamalkan etika pemanduan berhemah dan bertimbang rasa di lebuh raya. Di samping itu, ianya merupakan sebahagian daripada usaha murni untuk mengurangkan kadar kemalangan yang meningkat saban tahun. Semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, dijangkakan pertambahan trafik harian adalah sebanyak 20 hingga 30 peratus di Lebuhraya PLUS dan lebuh raya utama yang lain.

Larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan turut dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 5 hari, iaitu pada 1 hingga 3 Jun 2019 sebelum Hari Raya dan 8 hingga 9 Jun 2019 selepas Hari Raya. Inisiatif proaktif ini termasuklah langkah Kerajaan mengeluarkan arahan henti kerja (stop order work) di lebuh raya kecuali bagi kerja - kerja kritikal untuk tempoh 15 hari iaitu bermula dari 29 Mei hingga 13 Jun 2019.

LLM juga telah mengenalpasti 10 lokasi blackspot di Lebuhraya PLUS dan LPT pada tahun 2017. Sebanyak RM1.3 juta telah dibelanjakan oleh syarikat konsesi terlibat untuk tujuan penambahbaikan dan ini telah dibuktikan keberkesanannya apabila sebanyak 54 peratus pengurangan kadar kemalangan 2018 di lokasi-lokasi tersebut.

LLM dan PDRM serta dengan kerjasama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya seluruh negara telah bersedia untuk membantu pengguna dengan langkah-langkah proaktif dalam melancarkan aliran trafik dan memastikan keselamatan mereka sewaktu musim perayaan nanti. Antaranya dengan menempatkan anggota RELA di kawasan lalu lintas di plaza tol dan kawasan R&R untuk tujuan kawalan trafik, mengaktifkan laluan contra flow di beberapa lokasi lebuh raya yang telah dikenalpasti, menempatkan kren dan kembalik di lokasi-lokasi strategik bagi memindah kenderaan yang rosak atau kemalangan dan pelbagai lagi.

Bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, 23 syarikat konsesi lebuhraya akan menawarkan diskaun tol diantara 10 hingga 33 peratus kepada pengguna-pengguna kenderaan kelas 1 pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri. Manakala sebanyak tiga (3) lebuh raya hanya memberikan diskaun tol di plaza tol tertentu seperti berikut: (i) Plaza Tol Ampangan, Lebuhraya Kajang – Seremban (LEKAS); (ii) Plaza Tol Pulau Indah, Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE); dan (iii) Plaza Tol Perling dan Plaza Tol Lima Kedai, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA).

Pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalan lebih awal dengan mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory) yang telah disediakan oleh pihak PLUS Berhad dan ANIH Berhad. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini daripada pusat pengurusan trafik (TMC) LLM yang beroperasi 24 jam sehari melalui talian 1800-88-7752 atau akaun Twitter @LLMinfotrafik.

1

Sungkei Media Bersama Menteri Kerja Raya

KUALA LUMPUR, 27 MEI 2019 – Peranan pihak media dalam menyebarluas fakta dan informasi tepat kepada seluruh rakyat amat penting dan signifikan untuk dirai dan dihargai. Ini dizahirkan melalui majlis Sungkei bersama Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian di Kompleks Kerja Raya.

Sungkei bermaksud iftar atau berbuka puasa dalam bahasa Sarawak dan sudah pasti sinonim dengan Menteri yang merupakan anak jati Sarawak. Majlis sungkei ini memberi peluang dan ruang untuk pihak pengurusan atasan Kementerian Kerja Raya (KKR) yang diketuai Menterinya untuk beramah mesra, merapatkan ukhwah dan persaudaraan bersama pihak media.

Hubungan yang terjalin melalui platform ini sangat mustahak dalam memastikan penyebaran berita sahih dan penyampaian perkhidmatan yang tepat diterima rakyat. Majlis ini turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan.

1

Anih Berhad Teruskan Tradisi Berkongsi Barakah Ramadhan

TEMERLOH, 24 MEI 2019 – ANIH Berhad meneruskan tradisi tahunannya untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadhan menerusi edaran pek buah kurma dan juadah Iftar secara percuma sebagai tanda penghargaan kepada pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1).

Edaran pek buah kurma yang bermula pada hari Jumaat, 17 Mei sehingga akhir bulan Ramadhan ini dilaksanakan di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak menjelang waktu berbuka puasa. Edaran juadah Iftar yang mengandungi set lauk, nasi, air mineral dan kurma pula dibuat menerusi kaunter pandu-lalu khas bermula dari jam 5.30 petang hingga 7.30 petang di tiga Kawasan Rehat & Rawat (R&R) terpilih mengikut tarikh iaitu R&R Gambang (hala timur) pada 17 Mei, R&R Temerloh (hala timur) pada 24 Mei dan R&R Genting Sempah pada 31 Mei 2019.

Sementara itu, turut diadakan pada hari ini ialah Majlis Program Berkongsi Barakah Ramadhan #LPTdihati yang diadakan di Kawasan Rehat & Rawat Temerloh hala timur. Majlis ini dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Temerloh, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir dan Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein.

Pada majlis itu seramai 65 orang pelajar dari Rumah Ngaji Barokah; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman; dan Pertubuhan Anak-Anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah dari Kawasan Parlimen Temerloh turut telah menerima sumbangan sepasang baju raya dan duit raya daripada ANIH Berhad. Selain itu, ANIH Berhad juga turut memberi sumbangan RM1,000 untuk juadah Moreh 10 surau dan masjid di sepanjang jajaran KLK dan LPT 1.

Bagi memudahkan perjalanan sempena Aidilfitri ini, para pengguna disarankan untuk merujuk Twitter rasmi iaitu @LPTTrafik atau Facebook di Lebuhraya Pantai Timur untuk mengemaskini maklumat trafik atau insiden di lebuh raya. ANIH Berhad turut menawarkan diskaun kepada pengguna. selain mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu mengurangkan kesesakan melampau pada waktu puncak dan melancarkan lagi perjalanan pengguna.

1

Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara Dan Standard Perumahan Kebangsaan

SHAH ALAM, 11 MEI 2019 - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Construction Research Institute Malaysia (CREAM) telah bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) melancarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM).

Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin di Elmina Centrel Park yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Mohd. Anuar Mohd. Tahir, Menteri Besar Selangor, YAB Amirudin Shari dan Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Turut dilancarkan adalah Standard Perumahan Kebangsaan yang memberi fokus kepada konsep perumahan mampu milik yang mampan bagi mencapai matlamat dan visi Dasar Perumahan Negara (DRN) dalam menyediakan perumahan mampu milik yang selesa, inklusif, komprehensif dan berkualiti.

Standard Perumahan Kebangsaan atau ringkasnya CIS26 merupakan kemaskini daripada Standard Perumahan Kebangsaan yang telah diterbitkan pada tahun 1998 dan 2005. Pembaharuan ini diterbitkan selepas melalui proses-proses perbincangan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri pembinaan dari sektor Kerajaan mahupun swasta. Ini termasuklah wakil-wakil dari Kementerian, jabatan kerajaan, majlis negeri, pihak berkuasa tempatan, badan profesional, persatuan pembinaan dan juga ahli-ahli akademik.

Sejajar dengan dasar dan halatuju Kerajaan bagi membina 1 Juta Rumah Mampu Milik (RMM) antara 2018 sehingga 2028 seperti yang diumumkan oleh Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, transformasi ini disokong dengan penggunaan teknologi dan kaedah-kaedah baharu seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), Building Information Modelling (BIM) dan Big Data. Penggunaan teknologi dan kaedah baharu ini akan meningkatkan lagi kebolehan syarikat-syarikat tempatan untuk membina dan menyediakan perumahan yang berkualiti secara tepat dan cepat.

1

Lawatan Kerja KSU KKR Ke Negeri Pahang PAHANG, 2 MEI 2019 – Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KSU), YBhg. Dato‘ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan telah mengadakan satu lawatan kerja selama dua hari ke Negeri Pahang. Lawatan dimulakan dengan melawat pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang dan disambut oleh YBhg. Dato‘ Hj.Othman bin Nordin, Pengarah JKR Negeri Pahang serta seluruh warga JKR Pahang. Seterusnya, Dato‘ Dr. KSU telah melawat tapak projek Pembinaan Jambatan Baru yang menghubungkan Bandar Indera Mahkota ke Tanjung Lumpur merentasi Sungai Kuantan. Jambatan ini dijangka siap pada Ogos 2019 mampu memendekkan masa dan jarak perjalanan selain mampu menjadi pemangkin ekonomi.

Hari kedua lawatan kerja YBhg. Dato‘ KSU ke Negeri Pahang diteruskan lagi dengan Program Ramah Mesra bersama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pahang bertempat di Tapak Projek Pusat Islam dan Pembangunan Insan dan Masjid Universiti Malaysia Pahang (UMP) Pekan, Pahang. YBhg. Dato‘ Dr. KSU juga telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Penganugerahan kepada kontraktor tempatan kelas G1 sekitar Pekan,Pahang.

Lawatan kerja diakhiri dengan satu lawatan ke myBIM Satellite di UMP bagi Program Perantis Modeller BIM bagi Kerja Pemodelan Lukisan PAP JKR. Seramai 30 orang perantis dari UMP menyertai program anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini sebagai uasaha mempromosikan penggunaan teknologi BIM ini dalam industri pembinaan. Peranan BIM ditakrif sebagai teknologi pemodelan dan satu set proses menganalisa untuk mengguna model informasi digital di sepanjang kitaran hayat sesebuah projek pembinaan.

Hadir sama dalam Lawatan Kerja KSU ke Negeri Pahang kali ini adalah Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia , YBhg. Dato‘ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Haji Osman, Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBrs.Ir.Hj.Zulakmal bin Sufian, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ir.Kamaluddin bin Abdul Rashid serta Setiausaha Bahagian Dasar dan Antarabangsa Kementerian Kerja Raya, Encik Azman bin Ibrahim.

1

867 Warga Kerja Raya Dirai Pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KKR

KUALA LUMPUR, 30 APRIL 2019 - Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Kerja Raya 2018 telah diadakan bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya. Sejumlah 867 orang warga Kementerian dan Agensi di bawahnya telah dipilih sebagai penerima APC 2018.

Pecahan penerima adalah seperti berikut, Kementerian Kerja Raya seramai 57 orang, Jabatan Kerja Raya (JKR) 699 orang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) 28 orang dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) 83 orang.

Majlis ini diadakan bertujuan untuk menghargai dan mengiktiraf kualiti / kuantiti sumbangan warga Kementerian dan Agensi yang melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya. Penghargaan ini juga bertujuan menjadikan anggota berkenaan sebagai contoh dan daya tarikan kepada lain-lain anggota untuk sama-sama meningkatkan lagi taraf perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi.

Pemilihan penerima APC dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu Kuota 8% daripada pengisian di Kementerian / Agensi, Pencapaian Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 85% dan ke atas, Pegawai tetap, manakala kakitangan kontrak dan sementara layak dipertimbangkan, tidak kurang satu tahun perkhidmatan di Kementerian / Agensi dan dicalonkan oleh Ketua Bahagian yang berkenaan.

Majlis yang bertemakan ‘Mengupaya Potensi, Memperkasa Organisasi’ ini dirasmikan oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya yang turut menyampaikan anugerah kepada warga Kerja Raya.

1

Program Lawatan Kerja KSU KKR Ke Wisma Persekutuan Klang, Selangor

KLANG, 26 APRIL 2019 – Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya , YBhg. Dato‘ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan telah mengadakan satu lawatan kerja ke Wisma Persekutuan Klang di Bandar Baru Klang yang bertujuan untuk meneliti penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan (Zon Tengah). Turut hadir dalam lawatan kerja itu adalah Setiausaha Bahagian (SUB) Pengurusan Fasiliti Kementerian Kerja Raya, Puan Helena Remeo, Ketua Penolong Setiausaha (Cawangan Bangunan), Bahagian Pengurusan Fasiliti, Encik Mat Nizi Mamat serta Pengarah Urusan Kumpulan Chulia Facilities Management Sdn. Bhd., Tuan Shahfie Ahmad.

Lawatan kerja tersebut bermula dengan ucapan aluan KSU kepada warga Wisma Persekutuan Klang. Majlis kemudian diteruskan lagi dengan taklimat ringkas mengenai syarikat konsesi yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Chulia Facilities Management Sdn. Bhd. Sebelum majlis berakhir, KSU sempat beramah mesra bersama Pengerusi Bangunan dan Ahli Jawatankuasa Penyelaras Bangunan Persekutuan seterusnya mengadakan lawatan ke sekitar kawasan Wisma Persekutuan Klang.

1

Sistem Solar Fotovolta R&R Machap (Arah Utara) Pertama Di Malaysia

MACHAP, 25 APRIL 2019 – Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah merasmikan Sistem Solar Fotovolta yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik selain menjadi inisiatif memperluaskan Agenda Hijau Negara.

Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap Arah Utara di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menjadi perintis sebagai hentian pertama yang menggunakan sistem solar ini kerana kawasan rehat ini merupakan antara 5 R&R yang mencatat penggunaan tenaga elektrik yang tinggi. PLUS melabur kira-kira RM700,000 untuk membangunkan teknologi tenaga alternatif ini.

Panel solar ini telah dipasang diatas beberapa bahagian bumbung iaitu di dewan makan berkapasiti 54.72 kilowattpeak, laluan pejalan kaki berkapasiti 55.44 kilowattpeak dan kawasan parkir bas berkapasiti 72 kilowattpeak menjadikan jumlah keseluruhan sistem ini direka berkapasiti sebanyak 182 kilowattpeak.

Sejak sistem solar ini digunakan pada bulan Oktober tahun 2018, ia berjaya mencatat penjimatan tenaga elektrik sebanyak 51%. Selain itu, sistem ini juga telah mencatatkan pengurangan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 77 metrik ton. Hasilnya, kualiti udara lebih segar, bersih dan lebih sihat serta dapat memelihara alam sekitar dalam jangka masa panjang.

Kerjasama antara pihak Kerajaan dan Swasta seperti ini amat penting dalam mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih hijau dan mampan, seterusnya merealisasikan wawasan ke arah mencapai status negara maju dan hijau.