Langkau ke kandungan utama
1

Lawatan Kerja KSU KKR Ke Negeri Pahang

Lawatan Kerja KSU KKR Ke Negeri Pahang PAHANG, 2 MEI 2019 – Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KSU), YBhg. Dato‘ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan telah mengadakan satu lawatan kerja selama dua hari ke Negeri Pahang. Lawatan dimulakan dengan melawat pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang dan disambut oleh YBhg. Dato‘ Hj.Othman bin Nordin, Pengarah JKR Negeri Pahang serta seluruh warga JKR Pahang. Seterusnya, Dato‘ Dr. KSU telah melawat tapak projek Pembinaan Jambatan Baru yang menghubungkan Bandar Indera Mahkota ke Tanjung Lumpur merentasi Sungai Kuantan. Jambatan ini dijangka siap pada Ogos 2019 mampu memendekkan masa dan jarak perjalanan selain mampu menjadi pemangkin ekonomi.

Hari kedua lawatan kerja YBhg. Dato‘ KSU ke Negeri Pahang diteruskan lagi dengan Program Ramah Mesra bersama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pahang bertempat di Tapak Projek Pusat Islam dan Pembangunan Insan dan Masjid Universiti Malaysia Pahang (UMP) Pekan, Pahang. YBhg. Dato‘ Dr. KSU juga telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Penganugerahan kepada kontraktor tempatan kelas G1 sekitar Pekan,Pahang.

Lawatan kerja diakhiri dengan satu lawatan ke myBIM Satellite di UMP bagi Program Perantis Modeller BIM bagi Kerja Pemodelan Lukisan PAP JKR. Seramai 30 orang perantis dari UMP menyertai program anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini sebagai uasaha mempromosikan penggunaan teknologi BIM ini dalam industri pembinaan. Peranan BIM ditakrif sebagai teknologi pemodelan dan satu set proses menganalisa untuk mengguna model informasi digital di sepanjang kitaran hayat sesebuah projek pembinaan.

Hadir sama dalam Lawatan Kerja KSU ke Negeri Pahang kali ini adalah Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia , YBhg. Dato‘ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Haji Osman, Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBrs.Ir.Hj.Zulakmal bin Sufian, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ir.Kamaluddin bin Abdul Rashid serta Setiausaha Bahagian Dasar dan Antarabangsa Kementerian Kerja Raya, Encik Azman bin Ibrahim.

Tarikh Dan Waktu Acara