Langkau ke kandungan utama
1

Sistem Solar Fotovolta R&R Machap (Arah Utara) Pertama Di Malaysia

Sistem Solar Fotovolta R&R Machap (Arah Utara) Pertama Di Malaysia

MACHAP, 25 APRIL 2019 – Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah merasmikan Sistem Solar Fotovolta yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik selain menjadi inisiatif memperluaskan Agenda Hijau Negara.

Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap Arah Utara di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menjadi perintis sebagai hentian pertama yang menggunakan sistem solar ini kerana kawasan rehat ini merupakan antara 5 R&R yang mencatat penggunaan tenaga elektrik yang tinggi. PLUS melabur kira-kira RM700,000 untuk membangunkan teknologi tenaga alternatif ini.

Panel solar ini telah dipasang diatas beberapa bahagian bumbung iaitu di dewan makan berkapasiti 54.72 kilowattpeak, laluan pejalan kaki berkapasiti 55.44 kilowattpeak dan kawasan parkir bas berkapasiti 72 kilowattpeak menjadikan jumlah keseluruhan sistem ini direka berkapasiti sebanyak 182 kilowattpeak.

Sejak sistem solar ini digunakan pada bulan Oktober tahun 2018, ia berjaya mencatat penjimatan tenaga elektrik sebanyak 51%. Selain itu, sistem ini juga telah mencatatkan pengurangan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 77 metrik ton. Hasilnya, kualiti udara lebih segar, bersih dan lebih sihat serta dapat memelihara alam sekitar dalam jangka masa panjang.

Kerjasama antara pihak Kerajaan dan Swasta seperti ini amat penting dalam mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih hijau dan mampan, seterusnya merealisasikan wawasan ke arah mencapai status negara maju dan hijau.

Tarikh Dan Waktu Acara