Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR)
KE ARAH KESEJAHTERAAN RAKYAT

Pemantauan Dan Sesi Libat Urus Prestasi Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo - Sarikei Ke Bintulu Ke Arah Pemulihan Ekonomi

Audience based content

X
Anda di sini
Tarikh dan Waktu Acara: 
Sabtu, 11 September 2021 - 9:00am
Sumber: 

Pemantauan Dan Sesi Libat Urus Prestasi Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo - Sarikei Ke Bintulu Ke Arah Pemulihan Ekonomi

SIBU, 11 SEPTEMBER 2021 - Susulan aduan rakyat berhubung prestasi pembinaan lebuh raya Pan Borneo Sarawak khususnya di antara Sarikei ke Bintulu, Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, hari ini turun padang buat kali kedua dalam tempoh satu bulan, bagi memeriksa sendiri pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak.

Selepas meninjau laluan Pan Borneo di Zon Utara antara Bintulu ke Miri pada 14 dan 15 Ogos lalu, hari ini beliau meninjau keadaan pelaksanaan projek lebuh raya berkenaan di Zon Tengah iaitu antara Sarikei ke Bintulu. Tinjauan tertumpu di Zon Tengah Sarawak yang merangkumi Pakej Kerja (Work Package Contract – WPC) 06, 07, 08 dan 09 di Sarikei, Sibu dan Bintulu.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, tinjauan itu adalah sebagai langkah proaktif Kementerian Kerja Raya untuk bekerja bersama rakyat melalui tinjauan tapak dan sesi libat urus, bagi memastikan pelan mitigasi pemulihan ekonomi pelaksanaan Projek LPB Sarawak berkesan dan berimpak tinggi. Beliau berkata, pemantauan yang dibuat bertujuan meneliti prestasi keseluruhan, kualiti pembinaan serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan pemimpin tempatan.

Antara isu yang diteliti adalah kekangan pelaksanaan dan penyenggaraan serta keberkesanan pelan mitigasi yang sedang dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek dalam tempoh penularan pandemik COVID-19. Fokus tinjauan kali ini ialah Pakej Kerja Pembinaan (WPC) 06 - Jambatan Sungai Awik ke Persimpangan Bintangor, sepanjang 64 kilometer, WPC 07 - Persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua (76 kilometer), WPC 08 - Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip (63 kilometer) dan WPC 09 - Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Bintulu Airport (65 kilometer). Sehingga 25 Ogos 2021 prestasi pelaksanaan keseluruhan WPC ini adalah 70.83 peratus.

Selaras dengan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) terbaharu bagi sektor pembinaan seperti peningkatan kapasiti pekerja dan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi secara berperingkat, ia berupaya menyuntik peningkatan positif terhadap prestasi pelaksanaan projek yang kini terganggu akibat penularan wabak Covid 19.

Berhubung aspek operasi pembinaan, kualiti penyenggaraan semasa pembinaan di jajaran Sibu ke Bintulu turut dikenalpasti untuk ditambah baik dengan segera. Ini termasuk pembaikan berkala di kawasan lencongan trafik (traffic diversion), penambahan papan tanda jalan dan lampu tunjuk arah di kawasan kritikal selaras dengan piawaian Road Safety Audit dan Traffic Management Plan yang ditetapkan.

Rakyat Sarawak khususnya bakal menikmati jaringan jalan raya yang lebih selesa dan efisyen apabila keseluruhan Projek LPB Sarawak siap sepenuhnya dijangka paling awal pada September 2022. Selain itu projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada sektor pembinaan dan pembangunan kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi khususnya pusat-pusat komersial dan perindustrian serta mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Tags: 
#kkr #jkr #cidb #llm #lpb #panborneo #sibu #sarawak #infrarakyat #infrastruktur
Kementerian Kerja Raya Malaysia