Langkau ke kandungan utama

PADANG BESAR: Lebih 7,000 masyarakat Chuping, di sini, terutama mereka yang tinggal di sekitar ladang tebu di kawasan berkenaan bakal berdepan masalah banjir berikutan pembinaan jalan raya utama tanpa disediakan sistem perparitan yang sempurna.

Kebimbangan itu disuarakan sendiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, semalam, kira-kira seminggu selepas beliau menegur Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung projek pembinaan Lebuhraya Padang Besar-Changlun, terutama di sekitar pekan ini yang dianggap langsung tidak mesra alam. Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, mengaku kecewa dengan projek itu termasuk pembinaan jalan raya melalui kawasan ladang tebu tanpa disediakan sistem perparitan sempurna.

"Saya kecewa jalan itu tak ada sistem perparitan sempurna. Ia akan mengakibatkan limpahan air ketika hujan sekali gus menyebabkan banjir dan mengancam keselesaan penduduk di kawasan Felda Chuping," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Pembinaan jalan raya melalui ladang tebu itu adalah sebahagian daripada projek menaik taraf jalan kepada lebuh raya empat lorong sepanjang kira-kira 40 kilometer menghubungkan Padang Besar di Kompleks Imigresen dan Kuarantin (KIK), di sini ke Changlun, di Kedah.

Bagaimanapun, projek di sekitar pekan ini dikatakan mengundang pelbagai masalah kepada penduduk serta peniaga terutama pada musim hujan berikutan masalah banjir kilat, menyebabkan ada di kalangan mereka mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit. Azmi berkata, pembinaan jalan raya bukan sekadar untuk menyediakan kemudahan kepada kenderaan yang lalu-lalang, tetapi perlu mengambil kira kesannya kepada alam serta penduduk sekitar.

"Saya sudah maklumkan hal ini kepada Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, supaya setiap pembinaan kemudahan awam pada masa akan datang mengambil kira kepentingan alam dan masyarakat sebelum diluluskan pembinaannya," katanya.

Sebelum ini, Azmi menegur pihak JKR kerana projek pembinaan lebuh raya di sekitar pekan Padang Besar yang terlalu hampir dengan kedai serta rumah kediaman.

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian