Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR : Jabatan Kerja Raya (JKR) memendekkan tempoh bayaran semua kontraktor kepada tujuh hari, dengan proses pengiraan  dapat diselesaikan dalam tempoh empat hari dan penyediaan  cek mengambil masa tiga hari.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Vellu, berkata proses pembayaran dibuat dalam tempoh seminggu itu bagaimanapun tertakluk kepada kontraktor yang menyediakan butiran dan dokumen lengkap seperti dikehendaki.

"Kita sudah mula melaksanakannya. Ini bermakna kalau kontraktor menghantar permohonan yang lengkap pada Isnin maka kita boleh proses, selesaikan proses penyediaan  dalam tempoh berkenaan dan mereka boleh terima bayaran pada isnin berikutnya.

"Ini satu pembaharuan dan tindakan yang baik kerana banyak kontraktor Bumiputera meminjam daripada Bank dan institusi  kewangan untuk menjalankan kerja kontrak. Mereka juga boleh bayar balik pinjaman lebih awal dan tidak dikenakan faedah tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita pada majlis berbuka puasa dan meraikan 79 anak yatim daripada tujuh mukim daerah Sepang, Selangor dan anak kakitangan Kementerian berkenaan, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Dr Mohd Zin Mohamed dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Syed Jamal Syed Jaafar.

Selain itu, Samy Vellu berkata, JKR mempercepatkan tempoh bayaran kepada kontrak bagi menaikkan semangat mereka supaya dapat melaksanakan kerja dengan berkesan dan mudah melantik jurutera atau pegawai teknikal untuk memastikan kelancaran projek yang dilakukan.

"Perkembangan baik ini juga bertujuan membolehkan mereka menyelesaikan tanggungjawab kepada kerajaan selain mematuhi arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu projek pembangunan yang dirancang siap sebelum hujung Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)," katanya.   

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian