Langkau ke kandungan utama

PROJEK Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) bukan saja memberi kemudahan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, malah bakal menjadi laluan penghubung penting kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). 

LPT yang menghubungkan Karak dan Kuantan meliputi jarak 169 kilometer mengurangkan masa perjalanan kepada separuh atau dua setengah jam. Dibina pada kos RM1.2 bilion, ia dibuka dengan rasmi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 1 Ogos 2004. 

ECER yang meliputi kawasan seluas 66,736 km persegi merentasi tiga negeri pantai timur -  Kelantan, Terengganu, Pahang - bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akhir bulan depan. ECER dianggarkan menelan belanja RM112 bilion dengan 40 peratus daripada jumlah itu untuk pembangunan jalan yang menghubungkan wilayah itu dengan koridor pembangunan lain di negara ? koridor barat, Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan, Wilayah Pembangunan Koridor Utara (NCER). 

Antara projek peningkatan infrastruktur jalan raya untuk menghubungkan ECER, termasuk Fasa Dua LPT yang menghubungkan Kuantan ke Kuala Terengganu yang kini dalam pembinaan, manakala untuk Fasa Ketiga menghubungkan Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan akan dilaksanakan kemudian. 

Fasa Empat membabitkan lebuh raya menghubungkan Kuantan ke Johor Bahru serta jalan menghubungkan Temerloh ke Kuala Pilah di Negeri Sembilan. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pusat Pertumbuhan Negeri Pahang, Datuk Ir Mohd Soffi Abd Razak, berkata LPT dilihat sebagai pemangkin kepada pelabur luar untuk melabur di ECER kelak. 

Selain merancakkan pembangunan ECER, LPT sendiri menjadi tarikan baru kepada pelabur luar dan mampu menyumbangkan kepada pembangunan Pahang. 

"Berikutan kawasan Lembah Klang yang semakin padat, maka dengan sistem perhubungan semakin baik, Pahang bersedia menawarkan tempat yang selesa dengan harga menarik kepada pelabur tempatan dan luar negara," katanya. 

Pahang sendiri dijangka menyaksikan pelbagai projek pembangunan besar hasil kewujudan LPT. Antara projek itu ialah Taman Teknologi Gambang yang meliputi Taman Hab Makanan Halal, Pusat Biotek dan ICT, E-Village dan Agritech Park di persimpangan tol kawasan perindustrian Gambang, pembangunan kawasan perindustrian baru di Bentong, dan pembangunan bandar baru Resort City di Jalan Kuantan-Gambang serta pembangunan bandar baru di Gambang. 

Mohd Soffi berkata, projek pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk Pahang. 

Selain menjana projek pembangunan, LPT juga merancakkan lagi industri pelancongan dan paling ketara ialah kadar penginapan hotel dan chalet yang lebih tinggi di hujung minggu dan cuti umum. 

"Kedatangan pengunjung ke destinasi tumpuan pelancongan juga semakin meningkat. Ia disebabkan waktu perjalanan disingkatkan, ramai penduduk Lembah Klang misalnya kini memilih Kuantan sebagai destinasi pelancongan di hujung minggu," katanya. 

Beliau berkata, berikutan pembukaan LPT, zon pembangunan juga dikenal pasti yang tertumpu di kawasan sepanjang jajaran Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Kuantan dan kawasan pusat penempatan utama meliputi pekan Karak, bandar Temerloh/Mentakab, Maran, bandar Gambang, Jaya Gading, Kuantan dan Gebeng. 

"Guna tanah utama merangkumi kawasan kediaman atau perumahan, perdagangan, pusat bandar, kawasan industri, kemudahan awam, pendidikan dan kawasan rekreasi," katanya. 

Semua projek itu akan memberi kesan tinggi ke atas usaha membangunkan rantaian nilai sektor ekonomi melalui nilai tambah dan perluasan aktiviti pertanian dan menjadi pemangkin kepada sektor yang lain. 

Selain itu, beliau berkata, berdasarkan Rancangan Struktur Negeri Pahang, daerah Temerloh-Mentakab juga dikenal pasti sebagai 'Konurbasi Kedua' (Bandar Gabungan Kedua) dalam negeri itu dengan tumpuan pembangunan dalam pertanian dan perindustrian. 

"Terminal Makanan Negara (TEMAN) dicadangkan di Temerloh dan pembangunan Bandar Ikan Patin itu adalah tambahan kepada kawasan sedia ada dan industri dicadangkan berbentuk industri kecil dan sederhana (PKS) dan pembangunan berbentuk akuakultur," katanya. 

Sementara itu, bagi daerah Maran, pembangunan yang dicadangkan berkonsepkan pembangunan perumahan kawasan rekreasi. 

"Kita yakin, pembukaan LPT yang menghubungkan Karak-Kuantan, bukan saja mendekatkan jarak Lembah Klang dan Pantai Timur, tetapi projek ini memberi impak yang besar kepada rakyat, Insya-Allah," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian