Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Jumlah kenderaan menggunakan sesuatu lebuh raya akan diambil kira dalam formula penentuan konsesi tol dan kadar kenaikan yang boleh diminta syarikat konsesi, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu. 

Beliau berkata, kementerian juga akan menentukan sama ada kenaikan tol dibenarkan, kekerapannya serta kewajaran membayar pampasan berdasarkan keupayaan syarikat terbabit membayar hutang serta menyelenggara lebuh raya sepanjang tempoh konsesi. 

"Umpamanya, jika kadar trafik sebenar sesuatu lebuh raya melebihi unjuran dalam perjanjian konsesi, maka kenaikan tol tidak akan dibenarkan

"Semua ini boleh dilakukan kerana bergantung kepada budi bicara kerajaan," katanya ketika dihubungi semalam. 

Beliau berkata, faktor lain yang turut diambil kira adalah perolehan syarikat konsesi selepas membayar hutang dan kos penyelenggaraan dan lokasi lebuh raya. 

Samy Vellu turut menjelaskan kerajaan tidak boleh mengurangkan kadar tol berikutan tekanan orang ramai kerana pampasan yang dibayar kepada syarikat konsesi sebenarnya menggunakan wang cukai rakyat. 

Beliau memberi contoh kadar tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang ditetapkan RM1.50 terpaksa dikurangkan kepada RM1 selepas bantahan pengguna dan kerajaan terpaksa membayar pampasan RM465 juta selama enam tahun kepada syarikat konsesi. 

Bagi projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) pula, syarikat konsesinya, Plus Berhad meminjam RM7.4 bilion bagi pembinaannya tetapi perlu membayar balik RM16 bilion, termasuk faedah, kos penyelenggaraan dan gaji kakitangan. 

Samy Vellu berkata, ketika menandatangani perjanjian konsesi dengan Plus Berhad, kadar tol ditetapkan ialah 18 sen sekilometer tetapi dikurangkan kepada 14.2 sen atas permintaan kerajaan 

"Namun baki 3.8 sen masih dibayar kerajaan sebagai pampasan kepada syarikat itu," katanya. 

Berdasarkan statistik hingga suku pertama tahun ini, 19 syarikat konsesi lebuh raya tempatan mengutip tol RM23.66 bilion, termasuk jambatan Pulau Pinang dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua). 

Secara keseluruhan, semua syarikat berkenaan membelanjakan RM18.93 bilion bagi membina kemudahan terbabit dan menanggung kos purata RM41 juta sebulan bagi menyelenggara infrastruktur masing-masing.

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian