Langkau ke kandungan utama

SEREMBAN: Kementerian Penerangan mengesan 35 jenis kerosakan pada struktur bangunan Kompleks Penyiaran Negeri Sembilan di Sungai Gadut, Senawang, dekat sini, yang dibina dengan kos RM38.5 juta dan baru digunakan awal bulan lalu. 

Antara kerosakan itu ialah pada siling yang berpunca daripada sistem hawa dingin, tandas orang kenamaan, jalan masuk ke kompleks serta beberapa kemudahan di bahagian dalaman, tetapi tiada yang membabitkan peralatan penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Kamaruddin Siaraf, berkata terlalu banyak kerosakan pada bangunan itu dan memerlukan kerja penyelenggaraan intensif dilakukan kontraktor. 

"Sebenarnya, kompleks ini masih belum diserahkan sepenuhnya oleh kontraktor dan mereka mempunyai tempoh masa lebih setahun, iaitu sehingga 12 Januari 2009 untuk membuat penyelenggaraan terhadap apa juga kerosakan.? katanya selepas melawat kompleks berkenaan bersama Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Kejuruteraan), Mohd Nor Zakaria, di sini, semalam. 

Kompleks Penyiaran Negeri Sembilan yang dilengkapi sistem digital sepenuhnya, selain auditorium dengan kapasiti 1,000 orang memulakan operasinya awal Ogos lalu, tetapi kelmarin aras satu dan dua kompleks berkenaan digenangi air akibat kebocoran siling. 

Kamaruddin turut mengarahkan kontraktor utama pembinaan kompleks itu melakukan penyelenggaraan secara menyeluruh bagi mengesan dan mengatasi masalah yang timbul berkaitan struktur bangunan atau kemudahan berkaitan. 

"Penyelenggaraan perlu disegerakan bagi menjamin peralatan canggih yang ada di kompleks ini tidak rosak selain memastikan keselesaan kakitangan bertugas," katanya. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian