Langkau ke kandungan utama

SUNGAI BULOH: Kementerian Kerjaraya menubuhkan pasukan peronda khas bagi memantau keadaan jalan dan cerun serta membantu mengawasi keadaan trafik di laluan kritikal sepanjang perayaan Aidilfitri ini. 

Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata pasukan itu juga akan memantau aliran trafik di jalan Persekutuan dan negeri dengan dibantu jawatankuasa lalu lintas peringkat daerah yang dianggotai polis, Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Pejabat Daerah dan agensi lain. 

"Saya sendiri akan turun padang membantu pasukan peronda memantau lalu lintas dan keadaan jalan raya menggunakan helikopter dan akan bagi arahan langsung jika mendapati mana-mana kelemahan atau kerosakan yang mengganggu orang ramai," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Musim Perayaan Peringkat Kementerian Kerjaraya di Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, semalam. 

Samy Vellu berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sudah menjalankan pemeriksaan awal di seluruh laluan dan cerun untuk menjamin keselamatan orang ramai. 

Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan tiada sebarang masalah dihadapi pengguna, seperti laluan rosak terutama menjelang waktu puncak yang boleh menyebabkan kesesakan teruk serta menjadi faktor kemalangan jalan raya. 

"Kita sudah mengambil beberapa tindakan perlu termasuk mengarahkan semua kerja pembinaan sepanjang lebuh raya dihentikan sementara dan kenderaan berat dilarang memasuki lebuh raya dalam tempoh enam hari bermula tiga hari sebelum raya. 

"Pihak konsesi juga akan menyediakan kren dan kembalik yang ditempatkan di lokasi tertentu bagi mengalihkan kenderaan berat yang rosak atau terbabit kemalangan," katanya. 

Pada musim perayaan ini juga, had laju Jalan Persekutuan dan Negeri dikurangkan sebanyak 10 kilometer sejam berbanding had laju yang diwartakan 90 kilometer sejam sekarang. 

"Kami yakin apabila had laju dikurangkan, kadar kemalangan akan berkurangan dan ini terbukti berkesan sepanjang kempen tahun lalu," katanya. 

Katanya, JKR juga membina 16 menara pemerhati polis di Jalan Persekutuan dan Negeri bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tugas, manakala di lebuh raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan syarikat konsesi menyediakan pengawal bendera di lokasi terpilih. 

Selain itu, kakitangan di plaza tol serta kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih juga ditambah. 

Mengenai pembesaran laluan Lebuhraya Utara Selatan yang dalam pembinaan dan dijangka tidak akan siap menjelang Aidilfitri ini, Samy Vellu berkata, semua kerja akan dihentikan dan lorong ketiga akan beroperasi sepenuhnya bagi laluan Seremban dan Ayer Kroh, Melaka. 

Bagi laluan Rawang ke Tanjung Malim, laluan ketiga hanya dibuka untuk pengguna ke arah selatan dan pengguna yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari utara tidak boleh mengubah haluan. 

"Pengguna perlu mematuhi arahan papan tanda dan jangan mengubah haluan sesuka hati kerana mereka perlu menggunakan laluan yang sudah ditetapkan. Kita cuma mahu pastikan aliran pergerakan kenderaan lancar dan tidak akan yang cuba menggunakan laluan kecemasan," katanya. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian