Langkau ke kandungan utama

SUNGAI BULOH 2 Okt. - Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan buat sementara had laju di jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j berkuat kuasa 6 Oktober ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, penguatkuasaan had laju itu yang akan berkuat kuasa sehingga 12 November depan bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) kini menjalankan kerja-kerja pemasangan papan tanda pemberitahuan had laju sementara itu.

Katanya, selain pengurangan had laju, kenderaan berat juga akan dilarang menggunakan lebuh raya berkuat kuasa 10 hingga 15 Oktober ini.

"Pewartaan ini dilakukan bagi mengurangkan kemalangan maut pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi," kata Samy Vellu pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan kempen keselamatan jalan raya menjelang musim perayaan peringkat Kementerian Kerja Raya di Restoran Jejantas Sungai Buloh dekat sini.

Pada Oktober tahun lalu, Kabinet bersetuju mengurangkan had laju di jalan-jalan Persekutuan seluruh negara dari 90 kilometer sejam km/j kepada 80 km/j semasa musim perayaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua kerja naik taraf dan penyelenggaraan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan akan dihentikan sementara bermula 8 Oktober hingga 21 Oktober ini.

Katanya, pemberhentian itu termasuk kerja-kerja pelebaran lorong ketiga.

Beliau berkata, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) juga telah mengarahkan syarikat konsesi menyediakan pengawal bendera di sepanjang lebuh raya terutama di lokasi-lokasi tertentu bagi tujuan keselamatan.

Katanya, sebanyak 16 menara tinjau telah dibina oleh JKR bagi membantu pihak polis menjalankan aktiviti penguatkuasaan.

Menurut beliau, JKR juga akan menubuhkan pasukan peronda bagi memantau sebarang kemalangan atau kerosakan kenderaan yang berlaku di jalan Persekutuan dan jalan Negeri.

"JKR juga sedang melakukan pemeriksaan awal ke atas jalan raya dan cerun sebagai langkah keselamatan," katanya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia