Langkau ke kandungan utama

Plus Expressways lebar laluan, tingkat kemudahan bagi keselesaan pengguna

PLUS Expressways Bhd (Plus), pengendali lebuh raya bertol terbesar di negara ini, melabur kira-kira RM20 juta tahun ini bagi kerja pelebaran laluan dan menaikkan taraf kemudahan yang disediakan di lebuh raya kendaliannya. 

Pengarah Urusannya, Noorizah Abd Hamid, berkata pelaburan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang disediakan bagi memastikan pelanggan menikmati keselesaan sepanjang perjalanan mereka. 

"Setiap tahun kami menyediakan peruntukkan tertentu dalam menaikkan taraf kemudahan dan melebarkan jalan," katanya pada sidang media sempena persediaan 'Balik Kampung' di Kuala Lumpur, semalam. 

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Plus, Nik Airina Nik Jaffar. 

Antara langkah yang dilaksana bagi memberi keselesaan kepada pengguna ialah menjalankan kerja pelebaran dua lorong kepada tiga lorong antara laluan Seremban-Ayer Keroh dan Rawang-Slim River. 

Noorizah berkata, menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini, Plus akan melaksanakan sistem laluan kontra untuk laluan arah utara, bermula dari Rawang hingga Tanjung Malim. 

Katanya, laluan sepanjang 43 kilometer (km) itu akan bermula dari km445.55 dan berakhir di km402.25. 

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran di lebuh raya sepanjang musim perayaan, Plus turut menyediakan maklumat terkini termasuk menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). 

Plus dengan kerjasama American Home Assurance Company turut menyediakan pakej insurans perlindungan kemalangan peribadi RM20,000 dan elaun keselesaan kemalangan kenderaan bermotor bernilai RM300 kepada pelanggan yang menggunakan Touch 'n Go.

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian