Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR- Plus Expressway berhad (PLUS) semalam mengeluarkan jadual perjalanan sempena Aidilfitri membabitkan tiga peringkat bermula esok bagi mengelak kesesakan Lebuh Raya Utara- Selatan.

Mulai esok hingga Sabtu ini lebih 1.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya itu setiap hari, berbanding 1.1 juta kenderaan pada Aidilfitri tahun lalu. Bagi perjalanan pulang selepas perayaan pula, kesesakan dijangka berlaku secara berperingkat pada 15,20 dan 21 Oktober ini.

Pengarah Urusan Plus, Noorizah Abd Hamid, meminta pengguna lebuh raya mengikuti cadangan waktu perjalanan berkenaan yang dirangka hasil kerjasama Lebuh Raya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AMP Radio Networks.

Jadual perjalanan itu pertama kali diperkenalkan pada cuti sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang  lalu dan didapati berjaya mengurangkan kesesakan.

"Plus juga menawarkan perkhidmatan SMS Plus Mobile Alert (PlusMA) secara percuma sepanjang musim perayaan ini. Menerusi perkhidmatan ini , empat juta SMS percuma akan ditawarkan kepada pengguna lebuh raya pada 11,12,15 dan 21 Oktober ini yang akan menerangkan mengenai keadaan trafik terkini.

"Untuk mendapatkan SMS percuma itu, orang ramai boleh menaip ON (jarak) PT1, PT2, PT3 atau PT4 dan hantar kepada 33626. PT1 merujuk perjalanan dari  Kuala Lumpur ke Utara dan PT2 (Selatan) manakala PT3 dari Utara ke Kuala Lumpur dan PT4 dari Selatan,? katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mengenai laluan kea rah Utara di antara Rawang dan Tanjung Malim yang sering berlaku kesesakan, Noorizah berkata, laluan kontra akan dibuka antara KM445.55 dan KM402.25 bagi menjadikannya tiga lorong bermula jam 3 petang, 10 Oktober ini.

Beliau juga berkata, Plus dengan kerjasama AMP Radio Networks akan menyalurkan maklumat aliran trafik terkini menerusi radio Era, My FM, Hitz.fm, Mix fm, LiteFM, Sinar,Xfresh, THR Raaga dan THR Gegar.

"Selain itu, 117 pasukan PlusRonda ditugaskan mengawal trafik dan memberi bantuan kepada pemandu yang terkandas serta 1,032 lorong tol dibuka dengan bantuan 1,086 kakitangan," katanya.  

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian