Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Nasib kira-kira 25,000 pembantu teknik dan juruteknik di seluruh negara bakal berubah selepas kerajaan bersedia membincangkan dan mengkaji semula tangga gaji mereka mengikut Skim Juruteknik yang tidak dinaik taraf sejak 1989. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata kajian mengenai skim lama itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ia diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan untuk dipertimbangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Berdasarkan skim lama, juruteknik dan pembantu masih menerima tangga gaji mengikut kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sedangkan sebahagian besar kakitangan awam dalam bidang berkenaan mengikut gred J17 adalah lulusan politeknik. 

Beliau percaya JPA akan memberi pertimbangan sewajarnya berhubung isu itu tetapi pada masa sama meminta pekerja awam membuktikan kemampuan mereka setaraf dengan kenaikan tangga gaji yang bakal diperoleh. 

Katanya, peluang kenaikan pangkat daripada skim perkhidmatan dalam kumpulan rendah kepada skim kumpulan lebih tinggi mengutamakan pengalaman dan kebolehan. 

"Kita boleh menilai kelayakan diri sendiri sama ada bertaraf global atau tidak dan mesti berusaha membaikinya. 

"Adalah penting bagi kita terus belajar dan menimba ilmu baru dan amalkan konsep pembelajaran seumur hidup. Saya sendiri sudah berumur 71 tahun masih lagi membaca untuk menambah ilmu. Kita perlu mempunyai nilai tambah dalam perkhidmatan. 

"Apabila kita bincang skim itu, kakitangan awam perlu buktikan ia setimpal dengan apa yang akan mereka nikmati kerana kerajaan memang memerlukan lebih ramai pakar tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pakar asing," katanya, semalam. 

Sebelum itu, beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU) ke-25. Turut hadir, Presiden MTSU, Shuhaimi Othman dan Setiausaha Eksekutif MTSU, Datuk Mohd Yusop Harmain Shah. 

Mengulas permintaan MTSU supaya kerajaan mewujudkan sebuah institusi latihan menggantikan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) yang diswastakan, Samy berkata, kerajaan memang akan terus melatih tenaga kerja mahir tempatan bagi mewujudkan pekerja bertaraf dunia. 

"Tenaga kerja negara perlu mempunyai keupayaan mereka cipta untuk lebih berdaya saing kerana ia adalah inovasi yang akan mendorong semua usaha dalam segenap aspek penghidupan ekonomi dan sosial. 

"Kita perlu berupaya menangani perkembangan teknologi yang makin pesat dan sentiasa berubah kerana pengetahuan semasa latihan akan cepat menjadi ketinggalan zaman. Ilmu boleh dicari dan ditimba di mana-mana saja," katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Parti Progresif Penduduk (PPP) yang dianggap mengganggu serta menggugat MIC, Samy berkata beliau menganggap isu berkenaan sebagai tidak langsung memberi ancaman kepada parti. 

"Jika mereka cakap ada 30,000 ahli, jangan lupa MIC ada 600,000 ahli. Ini macam nyamuk, suka kacau. Dalam politik, macam-macam boleh berlaku tetapi kita tegaskan, MIC akan tetap berpegang pada konsep permuafakatan dalaman yang diamalkan Barisan Nasional (BN). 

"Mana-mana parti komponen BN pun mesti amalkan konsep ini dan patuh kepada arahan supaya sentiasa bermuafakat," katanya. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian