Langkau ke kandungan utama

PUTRAJAYA ; "Tol adalah sesuatu yang sensitif kepada rakyat.. perkara ini tidak boleh diputuskan dengan cepat dan kabinet perlu membincangkan dengan berhati-hati," kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah kadar tol di lapan lebuh raya konsesi termasuk Lebuh raya Utara-Selatan akan dinaikkan mulai 1 Januari depan.

Menurutnya, beliau sudah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai situasi itu, sebelum memutuskan sama ada terdapat kenaikan atau tidak.

"Kertas kabinet berhubung kenaikan itu akan diserahkan kepada jemaah menteri minggu ini untuk diteliti sebelum dibincang dan diputuskan.

"Antara lain, dokumen itu menjelaskan klausa perjanjian konsesi dan cadangan yang diambil kerajaan berhubung perkara itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Sikh Antarabangsa(NISE) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Justeru, Samy Vellu berkata, perkara itu perlu dibincang secara teliti seperti yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana ia membabitkan ramai pengguna lebuh raya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kadar tol di semua lebuh raya berkenaan tidak akan dinaikkan selagi kajian mengenai cadangan kenaikan membabitkan lapan pemegang konsesi belum diserah kepada kabinet

 

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro