Langkau ke kandungan utama

KERAJAAN akan meneruskan pembinaan projek jambatan kedua Pulau Pinang, walaupun kos pembinaannya dijangka meningkat.

Kos jambatan kedua Pulau Pinang itu dijangka meningkat sehingga RM4 bilion daripada kos asal kira-kira RM2.8 bilion, berikutan kenaikan harga bahan binaan di pasaran ketika ini. 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yakin kenaikan kos itu tidak akan menjejaskan perancangan awal kerajaan bagi menyiapkan jambatan sepanjang 24 kilometer termasuk 17 kilometer di atas air pada awal 2011 nanti.

Menurut Tsu Koon, perkara itu sedang dalam perhatian Kerajaan Pusat dan ia sudah dijangka sejak awal lagi, kerana anggaran kos projek itu dibuat pada awal tahun 2000.

"Saya akan mengadakan mesyuarat dengan UEM Builders Bhd. dan China Harbour Engineering Company Ltd. (China Harbour) berhubung projek tersebut dan akan memaklumkan mengenai maklumat terperinci kemudian," katanya baru-baru ini.

Kontraktor jambatan kedua itu, UEM Bhd., serta rakan kongsinya, China Harbour dari China menjangkakan kos pembinaan jambatan itu akan meningkat berikutan kenaikan kos bahan binaan.

Pengarah Urusan UEM Builders Bhd., Datuk Ridza Abdoh Salleh berkata, kenaikan bahan mentah seperti besi, simen dan tanah menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan jambatan itu.

"Kita (Malaysia) kini bersaing dengan China yang sedang rancak membina kemudahan prasarana di negara tersebut, termasuk pembinaan kemudahan bagi Sukan Olimpik 2008, di Beijing" katanya, di sini baru-baru ini. 

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang (PKMPP), Mohamed Fadzill Hassan berkata, kenaikan bahan binaan, terutama besi kini dilihat menjadi isu yang berpanjangan sekiranya tidak ada campur tangan daripada kerajaan.

Kesan kenaikan harga besi bukan sahaja membabitkan pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang, malah turut memberi kesan kepada kontraktor-kontraktor yang menjalankan projek-projek persendirian, tambahnya.

Katanya, buat masa ini, harga pasaran besi billet dan bar adalah dalam lingkungan RM2,400 setan berbanding harga yang dikawal atau diiktiraf oleh kerajaan kira-kira RM1,800 setan.

"Sebagai contoh, harga besi di pasaran sekarang ialah RM2,400 setan dan kerajaan menetapkan pada harga RM1,800 setan dan perbezaan sebanyak RM600 terpaksa ditanggung oleh kontraktor.

"Jika ia projek berskala kecil, kemungkinan besar ia boleh diserap oleh kontraktor tetapi jika ia kos berskala besar, sudah tentu ia akan menimbulkan kesulitan kepada kontraktor untuk menyiapkannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi UEM Builders, walaupun harga bahan binaan meningkat, tetapi ia tidak sedikitpun merencat perancangan syarikat untuk menyiapkannya mengikut jadual.

Ridza berkata, pihaknya bernasib baik kerana projek jambatan itu mendapat perhatian serius daripada kerajaan dan meletakkan ia sebagai salah sebuah projek 'fast track'.

Beliau berkata, struktur jambatan kedua Pulau Pinang hanya akan dapat dilihat secara fizikal selepas kerja-kerja membentuk acuan dan kerangka konkritnya selesai pada Mac tahun depan.

Pada masa ini antara kerja-kerja fizikal yang sedang giat dijalankan oleh syarikat berkenaan ialah menerangkan 68 hektar tanah yang bakal dijadikan jajaran atau laluan jambatan itu.

Selain itu, kerja-kerja ujian tanah, ujian tanah di laut dan pemasangan gantri serta menyediakan acuan dan kerangka konkrit bagi jambatan itu juga sedang giat dijalankan.

Apabila siap, jambatan itu, UEM Builders menjangkakan ia mampu menampung sebanyak 88,880 buah kenderaan sehari.

Menurutnya, jambatan itu yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan dan Batu Maung di kawasan Barat Daya Pulau Pinang, apabila siap, mampu menghadapi bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami sehingga tujuh skala Richter.

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia