Langkau ke kandungan utama

PETALING JAYA 5 Nov. - Kerajaan diminta mengkaji semula kadar tol dan menetapkan kadar itu pada harga siling bagi jangka masa panjang yang disyorkan pada mesyuarat mingguan Jemaah Menteri baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, dengan berbuat demikian pengguna jalan raya tidak akan dibebani dengan kekerapan kenaikan kadar tol setiap tahun seperti yang diamalkan sekarang.

Menurut beliau, kementeriannya juga mencadangkan supaya perbincangan melibatkan semua agensi kerajaan terbabit diadakan segera bagi mendapatkan maklum balas sebelum sebarang perjanjian konsesi diluluskan untuk projek lebuh raya bertol.

"Sebelum ini, sebarang keputusan perjanjian konsesi hanya dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi tanpa mendapat maklum balas daripada agensi kerajaan terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Pembangunan Infrastruktur dan Pembiayaan Malaysia 2007 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini hari ini.

Beliau menambah, pendapat umum juga akan diperoleh sebelum sesuatu projek lebuh raya bertol dilaksanakan.

Mengenai syor menaikkan kadar tol 10 peratus membabitkan lapan pemegang konsesi lebuh raya mulai 1 Januari tahun depan, menurut Samy Vellu, Kementerian Kerja Raya akan membentangkan satu cadangan kepada Kabinet pada 25 November ini.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia