Langkau ke kandungan utama

KUALA KANGSAR: Jalan Ipoh-Butterworth antara Bukit Gantang dan Kuala Kangsar terputus, manakala laluan ke selatan di Kilometer 231.6 Lebuh Raya Utara- Selatan ditutup pagi semalam berikutan kejadian tanah runtuh di Bukit Berapit. 

Dalam kejadian jam 10.19 pagi itu, seorang pemandu lori cedera apabila kenderaannya dihempap ketulan batu besar dan runtuhan tanah dari lereng setinggi 30 meter itu sebelum diheret dari Jalan Ipoh-Butterworth ke lorong kiri arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan. 

Kejadian itu juga menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih lima kilometer di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Kuala Kangsar dan Changkat Jering selama beberapa jam. 

Ketua Polis Kuala Kangsar, Superintendan Zakaria Pagan, berkata sebuah lori pasir dari Trong yang dalam perjalanan ke Kuala Kangsar, terbalik dihempap runtuhan tanah sebelum diseret sehingga ke lebuh raya yang terletak bersebelahan Jalan Persekutuan itu. 

Pemandunya, Tay Hock Kee, 56, sempat menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan di kaki. 

Zakaria berkata, kerja pembersihan di kawasan berkenaan dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Plus Expressway Sdn Bhd (Plus) serta beberapa agensi berkaitan. 

Semua kenderaan dari utara yang melalui Jalan Persekutuan diarah menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan menerusi Plaza Tol Changkat Jering, manakala kenderaan dari selatan melalui Plaza Tol Kuala Kangsar. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kejadian berpunca daripada dua kolam ikan yang dibina di atas cerun itu pecah berikutan hujan lebat. 

"Tebing kolam itu pecah sehingga airnya melimpah menyebabkan berlaku tanah runtuh," katanya. 

"Saya sudah arahkan JKR dan Plus mengambil langkah berjaga-jaga dan memasang papan tanda untuk keselamatan dan memaklumkan kepada pengguna," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Wong Wai Ching, berkata satu daripada dua lorong jalan berkenaan dibuka kepada semua kenderaan jam 8 malam tadi selepas kerja membersihkan timbunan tanah selesai dilakukan JKR dan Plus 

Sebuah lagi lorong berhampiran tebing yang runtuh ditutup tiga atau empat hari lagi untuk kerja pemulihan. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian