Langkau ke kandungan utama

Gerik - Lama sebelum bangunan dua tingkat milik perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di lereng Tasik Banding dekat sini, ranap Selasa lalu, Pihak berkuasa sudah menjangka projek itu mengundang bermasalah. Pertama ialah pemilihan lokasi manakala kedua mengenai kos yang tidak sepadan dengan projek.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli Ghazali berkata, ia tidak sepatutnya dibina di lereng tasik itu kerana lokasi yang dianggap lebih sesuai ialah dua kilometer dari situ.

"Mereka (PTNP) memberi alasan kawasan tempat kejadian itu strategik dan berhampiran Jeti Awam Tasik Banding.

"Kemudian saya tambah terkejut bangunan yang bernilai RM4.5 juta tersebut hanya mempunyai 14 bilik penginapan, ia tidak berbaloi dan tidak ekonomik," katanya selepas melawat lokasi bangunan PTNP yang runtuh itu semalam.

Katanya, sebagai perbandingan, sebuah syarikat swasta mampu membina tempat penginapan 100 bilik dengan kos yang lebih kurang sama.

Menurut beliau, masalah pada bangunan itu disedari pertengahan tahun lalu berikutan lawatan beberapa pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak ke tapak projek.

Katanya, Mereka mendapati bangunan itu telah retak di beberapa tempat manakala kawasan sekitarnya mulai terhakis.

Mohamad Tajol Rosli berkata, dana pemulihan sebanyak RM1.5 juta telah diperoleh tetapi sebelum sempat ia digunapakai,  bangunan itu runtuh.

 

Tarikh
Surat Khabar
Kosmo