Langkau ke kandungan utama

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya orang ramai sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kadar tol yang sepatutnya naik mulai awal tahun depan, kata Datuk Seri Najib Razak. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan untuk menaikkan kadar tol hanya akan dibuat selepas kerajaan membuat penelitian terperinci berhubung perkara itu bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat. 

"Kadar tol tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira pandangan daripada semua pihak termasuk orang ramai, walaupun ia mungkin bermakna kerajaan terpaksa menanggung subsidi pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi. 

 

"Kita akan kaji dulu, tetapi buat masa ini masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa harga tol akan naik atau tidak tahun depan... tunggulah dulu," katanya selepas merasmikan Pelancaran Perdana Kompeni Askar Wataniah Parlimen Johor, di Dataran Bandaraya, di sini semalam. 

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, di Parlimen kelmarin, bahawa kerajaan terpaksa membayar pampasan RM380 juta kepada syarikat konsesi jika kadar tol tidak dinaikkan mulai awal tahun depan. 

Samy Vellu berkata, lapan daripada lebuh raya itu dijadual menaikkan kadar tol masing-masing mulai Januari dan satu lagi dijadual 1 Oktober tahun depan. 

Antara lebuh raya itu ialah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Hulu Klang, yang perlu dibayar pampasan RM28 juta, Lebuh Raya Utara-Selatan Bahagian Tengah (RM18 juta), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (RM178 juta), Lebuh Raya Kulim-Butterworth (RM10 juta), Link Kedua Malaysia-Singapura (RM6 juta) dan Jambatan Pulau Pinang (RM22 juta). 

Sebanyak RM75 juta lagi diperuntukkan untuk bayaran pampasan kepada Litrak kerana mengurangkan kadar tol yang diluluskan tahun ini, daripada RM2.10 kepada RM1.60. 

Najib berkata, Kabinet juga belum membuat sebarang keputusan berhubung mekanisme penghapusan subsidi petrol serta diesel kerana kerajaan masih memerlukan masa untuk meneliti. 

Sementara itu, Samy Vellu berkata, pihaknya mengemukakan tiga formula kenaikan kadar tol untuk dipertimbangkan oleh kerajaan dan perkara itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini. 

Beliau berkata, ia adalah pendekatan proaktif kementeriannya bagi mengelakkan keresahan di kalangan rakyat setiap kali kadar tol perlu dinaikkan, termasuk ada yang cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan. 

"Saya minta jemaah menteri melihat, memberi cadangan dan mengarahkan apa yang perlu dibuat berhubung (kenaikan) kadar tol untuk mencari penyelesaian yang boleh diterima dan memuaskan hati semua pihak," katanya selepas merasmikan persidangan tahunan Persekutuan Doktor-Doktor Gigi India (Fodi) di ibu negara. 

Pengendali lebuh raya bertol terbesar di negara ini, Plus Expressways Bhd (Plus), masih menunggu keputusan kerajaan berhubung cadangan untuk menaikkan kadar tol tahun depan serta kaedah pelaksanaan kenaikannya. 

Pengarah Urusannya, Noorizah Abd Hamid, berkata berdasarkan perjanjian konsesi dengan kerajaan, Plus layak mengenakan kenaikan kadar tol 10 peratus untuk tempoh tiga tahun akan datang mulai Januari depan, selepas kali terakhir menaikkannya pada Januari 2005. 

"Saya tidak tahu bila Kabinet akan membincangkannya. Kami hanya menunggu kerajaan untuk memberi maklum balas mengenainya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di ibu negara. 

Ditanya jumlah pampasan yang akan diperoleh Plus jika kerajaan membuat keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol berkenaan, Noorizah berkata, pihaknya masih belum mengkaji perkara itu kerana menunggu keputusan berhubung kenaikan terlebih dulu. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian