Langkau ke kandungan utama

GENTING HIGHLANDS :Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menghantar pasukan pakar membantu  siasatan kes runtuhan bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di tasik Banding, Grik, Perak.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamad, berkata panel siasatan itu akan menjalankan siasatan  terperinci dan menyeluruh  untuk mengenal pasti punca serta mencari jalan penyelesaian runtuhan pada 13 November lalu.

Katanya, kelmarin, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu memberi penyelasan di Parlimen bahawa pembinaan projek bernilai RM 4.5 juta itu tidak mempunyai kaitan dengan JKR.

"Namun jika satu jawatankuasa ditubuhkan mana-mana  pihak, peranan dan tanggungjawab profesional diletakkan di bawah kawalselia kementerian.

"JKR akan diberi peranan untuk bekalkan kepakaran supaya siasatan terperinci dilakukan mengenai punca keruntuhan bangunan," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar ke-84 Persatuan Kejuruteraan Jalan Asia dan Australasia (REAAA), di sini semalam.

Beliau mewakili Samy Vellu merasmikan seminar bertajuk Pengurusan Risiko Bencana yang dihadiri wakil 13 negara iaitu Malaysia, Australia, Brunai, Jepun, Korea, New Zealand, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Taiwan, Thailand dan Veitnam.

Pemeriksaan awal JKR mendapati kejadia berlaku kerana satu atau dua tiang bangunan lemah menyebabkan tiang lain tidak dapat menampung beban selain reka bentuk serta bahan digunakan tidak sesuai.

Bangunan itu dikesan mengalami masalah tiga minggu sebelum kejadian selepas struktur semakin condong. Separuh daripada struktur bangunan mula runtuh jam 8 pagi dan ranap sepenuhnya jam 10 pagi.

Projek itu sepatutnya dibina dalam dua fasa dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan RM 9.5 juta. Fasa pertama membabitkan RM 4.5 juta dan tender ditawarkan kerajaan Persekutuan serta dikendalikan syarikat juru perunding yang bertanggungjawab melantik kontraktor.   

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian