Langkau ke kandungan utama

IPOH 22 Nov. ? Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak malam ini mengesahkan kejadian tanah runtuh di Kilometer 64, Jalan Kuala Kangsar-Taiping di Bukit Berapit dekat Kuala Kangsar pagi tadi berpunca daripada tebing dua buah kolam ikan yang dibina di atas cerun bukit berkenaan pecah.

Pengarahnya, Datuk Wong Wai Ching berkata, punca berkenaan dikenal pasti oleh pasukan penyiasat dari Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang telah menjalankan siasatan sejurus selepas kejadian pada kira-kira 10 pagi itu.

Beliau berkata, pasukan itu telah menjalankan pemeriksaan di bukit berkenaaan dan mendapati runtuhan itu disebabkan limpahan air dari kolam berkenaan yang pecah.

Menurut Wong, satu daripada dua lorong jalan berkenaan telah dibuka semula kepada semua kenderaan pada kira-kira pukul 8 malam ini selepas kerja-kerja membersihkan timbunan tanah di kawasan runtuhan berkenaan selesai dijalankan oleh JKR dan Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

?Sebuah lagi lorong berhampiran tebing yang runtuh akan ditutup untuk tiga atau empat hari lagi untuk kerja-kerja pemulihan. Ia akan dibuka semula sebaik keadaan tanah di tempat kejadian stabil,? katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu risau dengan keselamatan satu laluan yang dibuka semula itu kerana pihak JKR menempatkan anggotanya untuk membuat pemantauan 24 jam.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia