Langkau ke kandungan utama
0

Sistem Pembayaran Tol Terbuka Dapat Memudahkan Pengguna Lebuh Raya.

Putrajaya, 2 Ogos 2023 - Selaras dengan inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melaksanakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) di 12 lebuh raya terpilih secara berperingkat bermula September 2023. Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini mengadakan lawatan bagi memantau pengujian sistem tersebut di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Maju Expressway Sdn Bhd (MESB), syarikat konsesi Lebuhraya MEX, merupakan antara 12 lebuh raya terawal yang akan melaksanakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka, yang mana pengujian sistem telah bermula pada Julai 2023 bagi memastikan kesediaan dan kelancaran pelaksanaan operasi selaras dengan piawaian yang telah ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Menteri Kerja Raya dalam lawatan turut melancarkan logo Sistem Pembayaran Tol Terbuka yang akan digunakan pada papan tanda di lorong tol. Beliau juga telah membuat pengujian sendiri terhadap operasi sistem berkenaan di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya MEX. Lawatan ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KKR YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR  YBhg. Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah, Ir. Sazali Harun, Ketua Pengarah LLM dan En. Mohd Faiq bin Tan Sri Abu Sahid, Pengarah Urusan MESB serta pegawai kanan KKR, LLM dan MEX.

Menteri Kerja Raya juga menyatakan bahawa Sistem Pembayaran Tol Terbuka akan membolehkan pengguna lebuh raya membayar tol menggunakan kad debit atau kad kredit, sekaligus memberikan alternatif baharu dan kemudahan kepada pengguna dalam proses pembayaran tol, selain dari kaedah sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Pihak KKR sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai tahap kesediaan dan perkembangan pengujian yang kini sedang dijalankan secara berperingkat oleh LLM bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya. Pelaksanaan Sistem Pembayaran Tol Terbuka harus dijalankan secara teliti dan terperinci dengan mengambil kira pelbagai proses libat urus seperti aspek teknikal, keselamatan, perundangan dan pengendalian rekod transaksi tol itu sendiri bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa diutamakan. Selain itu, pihak KKR, LLM dan juga syarikat-syarikat konsesi yang berkaitan turut menyediakan pelbagai strategi komunikasi bagi memastikan informasi pelaksanaan.

Justeru, KKR ingin menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan perkara-perkara berikut:

  • Pengguna dikehendaki memastikan baki kad debit/kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol;
  • Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna boleh menggunakan kad bank lain ataupun kad TnG;
  • Menyentuh kad pada tempat yang ditetapkan pada terminal SPT bagi memastikan kelancaran pembayaran tol secara SPT.

LLM juga telah meminta semua Syarikat Konsesi yang terlibat dengan inisiatif ini untuk menempatkan petugas di lorong tol untuk memberi panduan kepada pengguna sekiranya perlu. Untuk makluman, Lebuhraya MEX akan menyediakan kaedah sistem pembayaran terbuka di kesemua 25 lorong Touch n’ Go di ketiga-tiga plaza tol sedia ada, iaitu Plaza Tol Salak Selatan, Plaza Tol Putrajaya dan Plaza Tol Seri Kembangan.

Kerajaan berharap pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka ini dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya dengan menyediakan alternatif baharu pembayaran tol di samping membantu melancarkan operasi kutipan tol. Sebagai makluman tambahan, sistem kutipan tol secara pembayaran terbuka ini juga telah dilaksanakan di negara Asia yang lain seperti di Indonesia, Thailand dan Filipina.

Tarikh Dan Waktu Acara