Langkau ke kandungan utama
0

Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023

Putrajaya, 4 Disember 2023 –Telah berlangsung Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia bertempat di Dewan Damar Sari 1, Putrajaya.

HPTN telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada Oktober 2018 untuk diadakan secara tahunan pada setiap Sabtu pertama bulan Disember. Acara kemuncak HPTN tahun ini berlangsung selama dua (2) hari bermula pada 4 Disember hingga 5 Disember 2023. Objektif utama penganjuran sambutan HPTN adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas jasa yang disumbangkan oleh para profesion teknikal dalam landskap pembangunan negara. Tema sambutan HPTN tahun ini adalah “Profesion Teknikal Pemacu Pembangunan Malaysia MADANI”, selaras dengan hasrat negara untuk mencapai status negara maju di masa hadapan.

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal, khususnya bagi membantu mencorakkan pembangunan dan pemodenan negara, demi kesejahteraan dan keselesaan negara bangsa.

Pelbagai aktiviti menarik, pameran ilmiah dan peluang kerjaya turut didedahkan kepada semua peringkat umur sepanjang program ini berlangsung. Antaranya:

i. Mengadakan 14 siri perkongsian ilmu yang merangkumi pelbagai topik-topik berkaitan profesion teknikal sama ada melalui sesi wacana, webinar dan bicara teknikal.

ii. Pelaksanaan lima (5) program libat urus / Corporate Social Responsibility (CSR) Fokus pengisian program ini adalah untuk memperkenalkan kejuruteraan kepada pelajar sekolah terutamanya pelajar tingkatan 5 yang akan ke menara gading;

iii. Pemberian tiga (3) Anugerah Profesion Teknikal/ Industri

a. Anugerah Kecemerlangan Inovasi Kejuruteraan 2023

b. Anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Negara 2023

c. Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2023

iv. Lapan (8) acara pertandingan dan sukan

Acara pertandingan STEM di sekolah-sekolah dan aktiviti sukan secara umumnya diadakan untuk memupuk minat kepada generasi muda menceburi profesion teknikal sebagai pilihan kerjaya;

v. Karnival Kerjaya

Sempena HPTN 2023, Syiling Peringatan 150 Tahun JKR Malaysia telah dilancarkan hasil kolaborasi JKR Malaysia bersama Bank Negara Malaysia. Syiling Peringatan ini diilhamkan daripada sumbangan besar JKR Malaysia kepada pembangunan infrastruktur dan pemodenan negara.

Selain itu, turut diadakan penyerahan dokumen Prakarsa Pemartabatan Profesion Teknikal Negara 2023-2027 kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Dokumen ini disediakan bagi memastikan pelaksanaan HPTN yang lebih teratur dan komprehensif dari segi pengisiannya dalam tempoh lima (5) tahun akan datang.

Sebanyak 41 reruai pameran sedia untuk dilawati oleh orang ramai yang ingin menimba ilmu berkaitan bidang teknikal dan industri kejuruteraan. Dua (2) pempamer platinum yang turut serta dalam pameran ini ialah American Air Filter Manufacturing Sdn Bhd. dan Panasonic Air-Conditioning Malaysia (PACMY).

Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan HPTN 2023, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi www.hptn-my.com/. Pelbagai maklumat terperinci mengenai sambutan ini boleh didapati melalui laman web tersebut.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita