Langkau ke kandungan utama
0

Sambutan Hari Integriti Peringkat Kementerian Kerja Raya Tahun 2023

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2023 – Hari ini telah berlangsung Sambutan Hari Integriti Peringkat Kementerian Kerja Raya Tahun 2023 yang diadakan di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya Malaysia. Sambutan ini telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad serta wakil dari jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

Sambutan Hari Integriti Nasional yang disambut secara tahunan ini adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran di kalangan penjawat awam dan masyarakat umum tentang kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara berterusan, dengan matlamat hala tuju bebas daripada amalan rasuah serta penyelewengan pada setiap masa dan keadaan. Lazimnya sambutan Hari Integriti diadakan pada bulan November setiap tahun tetapi KKR mengadakan majlis ini lebih awal dengan tema sambutan “Integriti Citra Malaysia Madani”.

Pada 10 November tahun lepas, KKR telah menandatangani Nota Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan untuk menjalinkan kerjasama erat berkaitan hal-hal pengoperasian, pencegahan rasuah, pendidikan anti rasuah dan perkongsian kepakaran dan aspek pengesanan jenayah rasuah, penyaluran maklumat serta latihan demi membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Menteri Kerja Raya dalam ucapannya berharap agar kerjasama bersama pihak SPRM yang telah terbina sejak tahun 2013 melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan diperbaharui melalui Nota Kerjasama ini dapat dimanfaatkan sebaiknya melalui penganjuran lebih banyak aktiviti, program, serta perkongsian maklumat dan kepakaran di antara kedua-dua pihak, terutamanya dalam membantu pihak SPRM melaksanakan tugasan siasatan.

Beliau juga mengingatkan seluruh warga kerja raya, jabatan dan agensi supaya sentiasa memastikan integriti di tahap optimum dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, sama ada di peringkat ibu pejabat, negeri atau daerah hendaklah meningkatkan pemantauan tingkah laku pegawai serta kakitangan dan memainkan peranan penting dalam usaha mencegah amalan rasuah di organisasi seliaan masing-masing.

Dalam majlis sambutan ini, beliau turut merasmikan perkhidmatan 'E-Aduan Integriti' dimana perkhidmatan ini merupakan satu inovasi Unit Integriti KKR sebagai medium aduan integriti yang mudah dicapai secara atas talian berbanding medium aduan yang lain dengan tidak mewajibkan maklumat pengadu. Unit Integriti KKR juga mengalu-alukan sebarang aduan integriti untuk dilaporkan melalui medium tersebut. Produk Inovasi ini juga turut meraih tempat ketiga di dalam pertandingan Anugerah Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Peringkat KKR.

Antara pengisian lain semasa majlis ini ialah membuka reruai pameran yang disertai oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan diakhiri dengan sesi Forum Integriti yang membincangkan topik "Ku Temui Tuhan Di Penjara".

Semoga seluruh warga kerja raya, jabatan dan agensi dapat membawa KKR menuju ke arah KKR Berintegriti dan Bebas Rasuah dengan membudayakan konsep pencegahan, memelihara integriti ketika melaksanakan tugas atau tanggungjawab serta bersikap tegas menolak amalan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pada setiap masa, dan tempat.

Tarikh Dan Waktu Acara