Langkau ke kandungan utama
0

Sambutan Hari Inovasi KKR dan Agensi Tahun 2023

Kuala Lumpur, 31 Oktober 2023 – Telah berlangsung sambutan Majlis Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Agensi 2023 yang bertemakan ‘Inovasi Madani, Konsolidasi Produktiviti’. Objektif utama Majlis Hari Inovasi adalah untuk meraikan pembudayaan inovasi khususnya kepada pereka cipta inovasi KKR dan agensi. Majlis ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar & Pembangunan KKR, YBhg. Datuk Zahrul Hakim Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBrs. Tuan Ir Sazali Harun serta Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Datuk Sr. Mohd Zaid Zakaria.

Selaras dengan rukun ketiga Malaysia MADANI iaitu Daya Cipta, penganjuran julung-julung kali Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Peringkat KKR dengan penyertaan pereka cipta inovasi daripada 13 Bahagian/Unit Kementerian adalah satu usaha yang membanggakan. KKR telah berjaya menghantar 19 kumpulan mewakili KKR dan Agensi ke Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA). Dua wakil KKR dan Agensi telah berjaya ke saringan akhir bagi merebut ganjaran RM300 ribu dan sekaligus layak dicalonkan ke penerima anugerah utama iaitu bernilai RM1 juta. Untuk Konvensyen Inovatif dan Kreatif Sektor Awam (KIKSA), KKR menghantar 11 penyertaan mewakili KKR dan Agensi dan satu kumpulan telah berjaya ke peringkat akhir.

Di dalam ucaptama beliau, Menteri Kerja Raya mencadangkan satu program ‘“Sandbox” Infrastruktur Jalan Pintar diperkenalkan sebagai satu platform inovasi yang membolehkan integrasi teknologi dikaji dan diuji bagi urusan pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan secara inklusif di seluruh negara. Melalui program ini, KKR amat mengalu-alukan penglibatan pemain industri tempatan dan antarabangsa serta agensi kerajaan untuk bersama-sama merealisasikan program ini, selaras dengan aspirasi kempen MYJalan dan hasrat kerajaan untuk memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan teknologi berketepatan tinggi dan efisien.

Setelah selesai sesi penyampaian anugerah, Menteri Kerja Raya serta tetamu kehormat dibawa melawat ke reruai pameran Pereka Cipta Inovasi KKR dan Agensi dan juga reruai pempamer lain. Turut berlangsung Ceramah Inovasi disampaikan oleh YBhg. Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

KKR mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 15 peserta akhir mewakili KKR, JKR, LLM dan CIDB yang telah berjaya ke peringkat akhir Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat KKR & Agensi. Anda semua adalah pemenang dan pereka cipta inovasi unggul KKR & Agensi. Semoga kemenangan ini menjadi motivasi untuk terus kekal kreatif, inovatif, berdaya saing serta bergerak seiring matlamat kerajaan membangun Malaysia Madani.

Tarikh Dan Waktu Acara