Langkau ke kandungan utama
0

Reka Bentuk Baharu R&R Seremban (Arah Selatan) Mampu Menjamin Keselesaan Pengguna.

Seremban, 20 Julai 2023 – YB Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad, Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) bersama-sama YBhg. Dato' Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Ir. Sazali Harun, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Urusan PLUS serta pegawai kanan KKR, LLM dan PLUS telah mengadakan lawatan kerja ke R&R Seremban (Arah Selatan) yang dibina semula di KM274.4. Projek ini melibatkan belanja sebanyak RM45 Juta.

Dalam hal ini, KKR dan LLM akan terus memastikan supaya R&R yang dibina sepanjang lebuh raya memenuhi keperluan dan ekspektasi para pengguna lebuh raya dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang selesa dan selamat. KKR dan LLM juga komited dan seiring dengan agenda kelestarian negara, menjadikan R&R direka bentuk dengan mengambilkira aspek keselamatan dan kelestarian alam sekitar.

R&R Seremban (Arah Selatan) ini telah direka bentuk dengan mengguna teknologi hijau dan mengaplikasikan amalan kitar semula yang menyumbang ke arah eko-sistem lebuh raya yang lebih lestari. Bagi menyokong industri Kenderaan Elektrik (EV) di negara ini, PLUS menyasarkan untuk menyediakan 100 Direct Current Fast Chargers (DCFC) menjelang tahun 2025, berbanding sebanyak 22 DCFC beroperasi pada ketika ini bagi semua lebuh raya di bawah kendalian PLUS Berhad.

Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama padu di antara KKR, LLM, PLUS dan syarikat-syarikat Charge Point Operator (CPO) tempatan dan antarabangsa. Selaras dengan ini juga, R&R Seremban (Arah Selatan) akan turut dilengkapi dengan 6 charge point di kawasan parkir kenderaan. Selain itu, pihak PLUS juga akan berkolaborasi dengan CPO tempatan untuk membangunkan sebuah hyperstation EV pertama di Malaysia iaitu di R&R Seremban ini.

KKR bersama-sama LLM menyokong penuh komitmen PLUS dalam merealisasikan rancangan Kerajaan melalui penyediaan infrastruktur EV di negara ini dan bersedia membantu memudahkan pelaksanaan perancangan tersebut.

R&R Seremban (Arah Selatan) yang dibina semula ini akan menjadi contoh terbaik bagi R&R moden di negara ini, dengan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan terbaik, hal ini dapat memenuhi keperluan pengguna lebuh raya. Ia juga akan memberi impak positif terhadap perkembangan ekonomi setempat.

KKR dan LLM bersama-sama memainkan peranan penting dalam memastikan infrastruktur yang dibina sepanjang lebuh raya memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna. Dalam usaha matlamat ini, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) adalah sebahagian daripada komponen penting yang difokuskan di dalam perjanjian konsesi lebuh raya.

Tarikh Dan Waktu Acara