Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Lawatan Kerja YB Menteri Kerja Raya Ke Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak

KUCHING, 20 OKTOBER 2018 – YB Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah mengadakan lawatan kerja yang pertama ke institusi latihan kemahiran pembinaan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) iaitu Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak (ABM). Lawatan ini bertujuan untuk mengetahui dengan lebih lanjut program kemahiran pembinaan yang dijalankan serta pencapaian yang telah dikecapi sepanjang penubuhan ABM.

Acara dimulakan dengan ucapan aluan Pengarah Negeri CIDB Sarawak, Tuan Hji Mohd Merzan Hashim dan diikuti sesi taklimat oleh Pengurus Besar Kanan Sektor Personel Binaan, Megat Kamil Azmi Megat Rus Kamaran dan Ketua Pegawai Operasi ABM Sarawak, Abdul Rahman Ahmad. Acara diteruskan dengan lawatan ke Hostel ABM Sarawak, demonstrasi pemasangan scaffolding dan operasi Kren sebelum diakhiri dengan Perasmian Tapak Latihan IBS ABM Sarawak.

Keseluruhan ABM mempunyai 6 buah kampus berlokasi di ekonomi koridor utama Malaysia bagi menyokong pembangunan di kawasan tersebut. ABM telah menawarkan lebih daripada 100 bidang kemahiran kompetensi pembinaan bagi program belia dan personel binaan. Ini dapat menyumbang ke arah peningkatan produktiviti dan daya saing industri ini pada masa depan. Usaha ini juga adalah selaras dengan Teras Strategi P1: Produktiviti seperti yang digariskan didalam Construction Industry Transformation Programme (CITP) 2016-2020.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) YBhg. Dato’ Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, serta rakan-rakan media.

1

KOTA KINABALU, 14 Oktober 2018 – Peranan pihak media Sabah dalam menyebarluas peranan Kementerian berhubung pembangunan infrastruktur dan pembinaan dihargai melalui Malam Penghargaan Media KKR dan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2018 yang diadakan di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu.

Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama agensinya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menganjurkan majlis tahunan edisi keempat peringkat Sabah ini dan majlis dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Seri Zohari Akob, Ketua Eksekutif CIDB, Ybhg. Dato' Ir.Ahmad Asri Abdul Hamid.

Sebanyak 29 penyertaan diterima daripada pihak Media Sabah dan penilaian dilakukan oleh Jawatankuasa Penilai professional yang dilantik. Pada tahun ini Anugerah Media Pembinaan CIDB 2018 dibahagikan kepada empat kategori iaitu Anugerah Media Cetak untuk Akhbar dan Majalah, Anugerah Media Elektronik untuk TV dan radio, Anugerah Media Online untuk artikel dan video, dan Anugerah Fotografi.

Untuk semua kategori pemenang pertandingan akan menerima sijil penyertaan dan wang tunai termasuk trofi. Setiap kategori ini menawarkan hadiah pertama wang tunai sebanyak RM5,000, pemenang kedua membawa pulang sebanyak RM3,000 manakala untuk tempat ketiga membawa pulang wang sebanyak RM2,000.

1

PAPAR, SABAH, 14 OKTOBER 2018 – Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap Sekolah Kebangsaan Mandalipau, Papar, antara salah satu projek Projek Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah Industrialised Building System (IBS) di Negeri Sabah.

Program Pembinaan Sekolah Daif yang merupakan touch point kepada rakyat ini amat diberi penekanan dan perhatian oleh pihak Kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan disamping menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada guru-guru dan murid-murid sekolah khususnya. Tujuan projek adalah bagi mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan selamat dengan kadar segera.

Semasa Pembentangan Bajet 2018 telah dibangkitkan bahawa terdapat hampir 2 ribu sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif seperti bumbung bocor, lantai rosak, dinding berlubang dan peralatan yang sudah lama tidak berganti. Peruntukan sebanyak RM2.5 billion telah diumumkan untuk tujuan membaik pulih sekolah daif bagi tempoh 2 tahun iaitu 2018 dan 2019 dengan pecahan RM500 juta ringgit bagi sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia, RM1 billion ringgit di Sabah dan RM1 billion ringgit di Sarawak.

Bagi pelaksanaan Fasa 1 di Negeri Sabah, dua (2) agensi Kerajaan iaitu Jabatan Kerja Raya Malaysia Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah dilantik sebagai Agensi Pelaksana dengan masing-masing telah diberi peruntukan oleh Kerajaan secara berasingan.

Bagi pembinaan Sekolah Daif di Negeri Sabah yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia, ianya melibatkan 37 buah sekolah dengan kos projek bernilai RM163,441,400.00 dan dipecahkan kepada 12 pakej dan 12 kontraktor. Skop projek keseluruhan mengandungi 277 Bilik Darjah, 37 Bilik Sains dan 42 Blok Tandas. Pembinaan 12 pakej ini diselia terus oleh JKR Negeri Sabah.

37 buah sekolah tersebut adalah 5 buah sekolah di Parlimen Papar, 7 sekolah di Parlimen Kudat, 4 sekolah di Parlimen Ranau, 10 sekolah di Parlimen Semporna, 6 sekolah di Parlimen Silam, 4 sekolah di Parlimen Tenom dan sebuah sekolah di Parlimen Kinabatangan.

Kaedah IBS telah digunakan sepenuhnya di dalam pembinaan sekolah daif ini dan seperti yang diketahui umum, kaedah pembinaan projek yang menggunakan teknologi IBS mampu disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat berbanding kaedah konvensional. Ini kerana komponen binaan IBS dihasilkan dalam persekitaran terkawal, sama ada di tapak atau di luar tapak bina, lebih ringan, mudah dikendalikan dan cepat dipasang.

Tempoh penyiapan kesemua projek telah ditetapkan selama 4 bulan iaitu bermula dari 21 Februari 2018 dan siap pada 27 Jun 2018. Namun berdasarkan klausa- klausa kontrak, beberapa projek telah diberikan lanjutan masa. Sehingga kini sejumlah 35 sekolah telah siap secara fizikal di Negeri Sabah, manakala 2 buah sekolah lagi akan disiapkan pada hujung bulan Oktober ini.

1

KOTA KINABALU, 14 Oktober 2018 – Delegasi Kementerian Kerja Raya (KKR) diketuai Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian hadir membuat lawatan ke Kombinasi Saudagar Sdn. Bhd bagi mendengar taklimat berkenaan penswastaan perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan gunasama kerajaan menggunakan teknologi “Computerized Maintenance Information System” atau CMIS.

Kesemua tetamu turut berkesempatan meninjau bilik operasi bagi melihat sendiri keberkesanan kaedah CMIS digunakan. Syarikat ini turut melaksanakan penyenggaran jalan negeri. Hadir sama lawatan ini ialah YBhg. Datuk Abdul Razak Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), Kementerian Kerja Raya.

1

Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kementerian Kerja Raya Tahun 2018.

KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2018 – Kementerian Kerja Raya bersama – sama agensinya telah melancarkan Hari Sukan Negara peringkat Kementerian yang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Atur cara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku serta bacaan doa dan seterusnya ucapan perasmian oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian.

Pelbagai acara yang berkait rapat dengan gaya hidup sihat telah di atur oleh pihak penganjur antaranya, senamrobik, KKR Fun Run, Sukaneka, peraduan untuk kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan secara percuma, disamping cabutan hadiah bertuah kepada semua pengunjung yang hadir.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, YBhg. Dato’ IR. Ahmad Asri Bin Abdul Hamid.

1

Perasmian Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FR5 Dari Sabak Bernam Ke Hutan Melintang

SABAK BERNAM, SELANGOR, 12 OKTOBER 2018 – YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya hari ini merasmikan Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FR5 dari Sabak Bernam, Selangor ke Hutan Melintang, Perak yang telah siap pada 25 Jun 2018 dan telah digunakan dengan oleh penduduk sekitar kawasan tersebut.

Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FR5 Dari Sabak Bernam Ke Hutan Melintang adalah satu projek di bawah RMKe-10 merupakan sebahagian daripada projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dengan peruntukan yang diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejumlah RM 171 juta. Namun begitu, kos kontrak telah dijimatkan kepada sebanyak RM164.19 juta dan dilaksanakan secara Konvensional Perunding oleh Syarikat Mangkubumi Sdn. Bhd. bermula pada 27 Julai 2015.

Objektif utama pembinaan adalah mengadakan prasarana lebih selesa dan selamat, menampung trafik sepanjang jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dan menggalakkan aktiviti ekonomi di koridor Persisiran Pantai Barat serta memberi kemudahan kepada penduduk sekitar kira-kira seramai 103,709 orang.

Lokasi projek ini bermula dari Persimpangan Pekan Sabak Bernam, Selangor hingga Persimpangan Kampung Banang merentasi Jambatan Sungai Bernam, Hutan Melintang. Skop projek ini meliputi kerja menaiktaraf jalan tunggal 2 lorong sedia ada kepada jalan berkembar 4 lorong sepanjang lima (5) kilometer, menyediakan bahu jalan selebar tiga (3) meter dengan dua (2) meter berturap, membina persimpangan bertingkat di Pekan Sabak Bernam, membina jambatan baharu, menyediakan tiga (3) jejantas pejalan kaki berserta jejantas motosikal, naiktaraf sistem perparitan, pengalihan utiliti, serta pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat trafik.

Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenalpasti bahawa jajaran FR5 dari Sabak Bernam Ke Hutan Melintang (5 km) ini perlu diberi keutamaan untuk dinaiktaraf kerana ia mengalami kesesakan trafik akibat situasi ‘bottleneck’ yang disebabkan oleh perbezaan lorong di antara jalan tunggal 4 lorong sedia ada dari Tanjung Karang ke Sabak Bernam dengan jalan tunggal 2 lorong dari Sabak Bernam ke Hutan Melintang yang telah dinaiktaraf.

1

Lawatan Rasmi Menteri Kerja Raya Dan Timbalan Menteri Kerja Raya Ke Lembaga Jurutera Malaysia (LJM)

KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER 2018 : YB Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah melakukan satu lawatan rasmi ke Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Blok F, Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur.

Kehadiran YB Menteri telah disambut oleh Ketua Pengarah Kerja Raya merangkap Presiden Lembaga Jurutera Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha dan pengurusan tertinggi LJM.

Dalam majlis ini, YB Menteri telah mendengar taklimat pengenalan yang disampaikan oleh YBhg. Dato' Sri Presiden berkenaan peranan dan fungsi Lembaga Jurutera Malaysia serta ditunjukkan persembahan slide berkenaan surat perjanjian oleh Ahli Lembaga LJM bagi tahun 2018 – 2019.

Di akhir lawatan, YB Menteri turut meluangkan masa untuk meninjau keadaan persekitaran pejabat dan beramah mesra serta sesi bergambar bersama pegawai dan kakitangan Lembaga Jurutera Malaysia sebelum berangkat pulang.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir, dan Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar & Pembangunan, Dato’ Abdul Razak Bin Jaafar.

1

Lawatan Kerja YB Timbalan Menteri Kerja Raya Ke Negeri Kedah.

YAN, KEDAH, 8 OKTOBER 2018 – YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya dan YB Ir. Zamri bin Yusuf, Exco Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Kedah telah meninjau dua (2) projek yang dilaksanakan di bawah Kementerian Kerja Raya iaitu Projek Menaiktaraf Dan Membina Jalan Lencongan Timur Dari Persimpangan Pekan Simpang Kuala Ke Persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah dan Projek Jalan Sambungan Dari Lebuhraya Utara Selatan Ke Pulau Bunting, Kedah.

Projek Menaiktaraf Dan Membina Jalan Lencongan Timur telah diluluskan dalam RMKe-9 untuk kerja-kerja rekabentuk. Bagi memenuhi strategi bajet kerajaan, kaedah pelaksanaan dibahagikan kepada 3 fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A dan Fasa 2B.

Bagi Fasa 1: Menaiktaraf jalan sediaada sepanjang 2km berkonsepkan jalan berkembar 4 lorong (dual carriageway) di Jalan Alor Mengkudu. Projek ini telah diluluskan di dalam (RP2, RMKe-10 dan kerja-kerja pembinaan telah disiapkan pada 15 Mei 2014.

Manakala Fasa 2A: Membina jalan baru sepanjang 3.8km berkonsepkan jalan tunggal 2 lorong (single carriageway) dari Jalan Alor Mengkudu ke Jalan Datuk Kumbar (Taman Nuri), projek ini telah diluluskan di dalam Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Kesepuluh (RP3, RMKe-10) dan kerja-kerja pembinaan telah disiapkan pada Telah siap pada 31 Julai 2018.

Bagi Fasa 2B: Membina jalan baru sepanjang 2.2km berkonsepkan jalan tunggal 2 lorong (Single carriageway) dari Jalan Datuk Kumbar (Taman Nuri) ke Jalan Tun Razak/Jalan Langgar. Projek ini telah diluluskan di dalam Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Kesebelas (RP2, RMKe-11) dan kerja-kerja pembinaan baru dimulakan pada 12 Mac 2018. Projek ini dijangka siap pada 11 Mac 2021.

Keseluruhan kos projek ini adalah sebanyak RM316.33 juta yang melibatkan kos bagi Fasa 1 sebanyak RM42.16 juta, Fasa 2A sebanyak RM176.46 juta dan Fasa 2B sebanyak RM97.71 juta. Dengan penyiapan kerja-kerja pembinaan bagi ketiga-tiga fasa ini, laluan ini akan menjadi sebagai salah satu laluan penyuraian trafik dan memberi akses yang menyeluruh sebelah Timur Bandaraya Alor Setar.

Selain itu, jalan ini akan menjadi jalan alternatif bagi pengguna di sebelah Selatan Alor Setar untuk ke Utara dan Timur Alor Setar, di mana ia akan memendekkan jarak perjalanan dan menjimatkan masa. Laluan ini juga akan memberikan kelancaran pergerakan trafik dari arah Selatan ke pertumbuhan pembangunan baru di Pokok Sena dan Durian Burong di sempadan Thailand.

Manakala Projek Jalan Sambungan Dari Lebuhraya Utara Selatan Ke Pulau Bunting, Kedah merupakan projek yang telah diluluskan di dalam RP3, RMKe-10. Kerja-kerja pembinaan telah dilaksanakan oleh syarikat UCM Construction Sdn. Bhd. pada 9 Mei 2014 dan telah disiapkan pada 23 September 2018 yang lalu.

Kos projek bagi projek ini adalah sebanyak RM250 juta di mana ia melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan sediada kepada piawaian R5 sepanjang 3.3km, membina jalan baru dengan piawaian R5 sepanjang 14.9km serta kerja-kerja yang berkaitan.

Dengan siapnya kerja-kerja pembinaan bagi projek ini, laluan ini dapat menyediakan perhubungan darat yang lebih berdaya maju untuk semua jenis kenderaan darat dari Lebuhraya Utara Selatan ke Jambatan Pulau Bunting sekaligus dapat mewujudkan prasarana jalanraya yang lengkap bagi menjana pembangunan di Pulau Bunting dan persekitarannya.

1

Konvensyen Pengurusan Aset Dan Fasiliti Negara 2018 (NAFAM 2018)

PUTRAJAYA, 8 OKTOBER 2018 - Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara 2018 (NAFAM 2018) dianjurkan Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku kementerian yang menerajui pengurusan infrastruktur, aset dan fasiliti negara. Konvensyen kali Ke-3 ini merupakan anjuran bersama WMIT Group, Malaysia dan turut disokong oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), badan-badan profesional, universiti-universiti awam, syarikat swasta dan pakar-pakar dalam bidang aset dan fasiliti. Konvensyen yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini bertemakan “High Performance Asset: Forging Ahead” dan mempunyai objektif :

i. Mewujudkan platform perkongsian ilmu dan pengalaman bagi memacu hala tuju perkembangan Pengurusan Aset Negara.

ii. Merangka pelan strategik pembangunan industri Pengurusan Aset dan Fasiliti Nasional yang lebih mampan dan berprestasi tinggi.

iii. Meneroka teknologi inovatif dan kecanggihan pengurusan aset dalam Era Revolusi Industri 4.0.

iv. Merintis peluang-peluang baharu dalam Industri Pengurusan Aset dan Fasiliti di peringkat global.

Konvensyen NAFAM julung kali diadakan pada tahun 2007 dan kali kedua adalah pada tahun 2009. Konvensyen ini telah menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman yang telah banyak memberikan impak positif secara langsung terhadap hala tuju serta penambahbaikan polisi pengurusan aset dan fasiliti negara ke arah yang lebih mampan dan berprestasi tinggi.

Konvensyen ini berjaya menghimpunkan seramai 38 pembentang kertas kerja yang terdiri daripada 18 orang pakar dan penggiat industri dari dalam dan luar negara. Pembentang kertas kerja pakar antarabangsa NAFAM 2018 adalah:

i. Thomas L Mitchell (Senior Vice President FM3IS Associates, USA) Tajuk: The Future of AFM in The Era of IR 4.0

ii. Chris Champion (CEO Institute of Public Work Engineering Australasia) Tajuk: Asset Management Financial System

iii. Stan Mitchell (CEO Key Facilities Management, United Kingdom) Tajuk: ISO 41000: Towards Certification Process

iv. Peter Kohler (Director The Asset Management College, Australia) Tajuk: Embracing ISO 55000

v. Adjunct Associate Professor Dr. Kang Kok Hin (Nanyang University of Technology, Singapore) Tajuk: Data Analytic for Integrated Asset Management.

Selain itu, terdapat juga 5 simposium parallel session dengan pembentangan kertas kerja oleh pakar-pakar industri dan pelajar pascasiswazah yang dikendalikan oleh moderator yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Perasmian NAFAM 2018 telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Baru Bian dan ia telah dihadiri lebih 1,000 peserta mewakili pelbagai kementerian, kerajaan negeri, agensi kerajaan dan swasta, badan profesional, penggiat industri, golongan akademik serta pelajar-pelajar pascasiswazah. NAFAM 2018 turut berpotensi untuk meneroka secara mendalam perkara-perkara yang berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0, konsep asset monetization dan pemerkasaan industri aset dan fasiliti melalui institusi yang bersepadu.

Menteri Kerja Raya turut melawat 30 gerai pameran yang mempamerkan maklumat terkini, produk dan perkhidmatan berkaitan Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara. Majlis penutupan Konvensyen NAFAM 2018 disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob pada hari kedua konvensyen, 9 Oktober 2018.

1

7 Syarikat Konsesi Lebuhraya Cemerlang Dengan Rekod 35.7 Juta “Man-Hours” Sifar Kemalangan

KUALA LUMPUR, 4 OKTOBER 2018 – Satu majlis meraikan tujuh syarikat konsesi lebuhraya yang telah merekodkan pencapaian cemerlang mencatatkan 35.7 Juta “Man-Hours without Lost-time Injury (LTI) telah diadakan di Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dan telah dirasmikan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya Malaysia dengan kehadiran YBhg. Dato’ Sr Aziz bin Abdullah, Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Majlis Penghargaan Pencapaian Man-Hours Without Lost Time Injury (LTI) adalah merupakan majlis pengiktirafan dan penghargaan kepada tujuh syarikat konsesi yang masih di dalam peringkat pembinaan yang telah mencapai SIFAR KEMALANGAN bermula dari tarikh pembinaan sehingga bulan Julai 2018.

Syarikat konsesi lebuhraya yang terlibat adalah EKVE Sdn. Bhd. (mewakili Lebuhraya EKVE), MAJU Expressway Sdn. Bhd. (mewakili Lebuhraya MEX 2), KESTURI Sdn. Bhd. (mewakili Lebuhraya SPE), PROLINTAS Sdn. Bhd. (mewakili Lebuhraya SUKE and DASH), West Coast Expressway Sdn. Bhd. (mewakili Lebuhraya WCE) and PLUS Malaysia Bhd. (mewakili Persimpangan Bertingkat Bandar Serenia).

Pencapaian ini secara signifikannya bukan sahaja mempamerkan kesungguhan yang telah dilaksanakan oleh pihak konsesi lebuhraya agar amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dipatuhi tetapi juga sebagai penanda aras bagi memastikan komitmen berterusan.

LTI adalah didefinasikan sebagai kecederaan berterusan oleh pekerja yang mendorong kepada kehilangan masa produktif. Sesuatu insiden yang melibatkan kecederaan pekerja yang direkodkan dalam Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) akan menjejaskan tugasan yang diberikan dengan ketidakhadiran pekerja tersebut.

Kiraan tempoh kecederaan tidak hanya terhad kepada impak kepada tugasan dalam tempoh masa kerja tetapi turut merangkumi tempoh masa selepas insiden berlaku. Secara umumnya, ia meliputi keseluruhan tempoh kecederaan yang menjejaskan secara langsung kepada kemajuan keseluruhan projek. Pihak Konsesi dianugerahkan dengan GOLDEN HELMET di atas kejayaan mereka, manakala pihak LLM sendiri akan menerima PLATINUM HELMET.

Disamping itu, Persijilan Sistem Keselamatan dan Kesihatan di Pembinaan (SHASSIC) turut dianugerahkan kepada pemegang konsesi sebagai pengiktirafan terhadap prestasi mereka mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, CIDB.

Pada majlis yang sama, EKVE Sdn. Bhd. turut melancarkan program “Mega Toolbox 2018” yang merupakan inisiatif oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk memastikan komitmen pihak pengurusan konsesi terhadap amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Satu demonstrasi peletupan batu turut diadakan sebagai sesi perkongsian ilmu berhubung prosedur dan amalan keselamatan yang ketat yang perlu dipatuhi berkaitan aktiviti tersebut.

Dengan siapnya Lebuhraya EKVE kelak, ia dijangka menjadi alternatif Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dengan membantu menyuraikan trafik sedia ada. Lebuhraya EKVE direkabentuk dengan dua lorong dua hala, dijangka dibuka kepada lalulintas Julai 2020.