Langkau ke kandungan utama
1

7 Syarikat Konsesi Lebuhraya Cemerlang Dengan Rekod 35.7 Juta “Man-Hours” Sifar Kemalangan

7 Syarikat Konsesi Lebuhraya Cemerlang Dengan Rekod 35.7 Juta “Man-Hours” Sifar Kemalangan

KUALA LUMPUR, 4 OKTOBER 2018 – Satu majlis meraikan tujuh syarikat konsesi lebuhraya yang telah merekodkan pencapaian cemerlang mencatatkan 35.7 Juta “Man-Hours without Lost-time Injury (LTI) telah diadakan di Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dan telah dirasmikan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya Malaysia dengan kehadiran YBhg. Dato’ Sr Aziz bin Abdullah, Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Majlis Penghargaan Pencapaian Man-Hours Without Lost Time Injury (LTI) adalah merupakan majlis pengiktirafan dan penghargaan kepada tujuh syarikat konsesi yang masih di dalam peringkat pembinaan yang telah mencapai SIFAR KEMALANGAN bermula dari tarikh pembinaan sehingga bulan Julai 2018.

Syarikat konsesi lebuhraya yang terlibat adalah EKVE Sdn. Bhd. (mewakili Lebuhraya EKVE), MAJU Expressway Sdn. Bhd. (mewakili Lebuhraya MEX 2), KESTURI Sdn. Bhd. (mewakili Lebuhraya SPE), PROLINTAS Sdn. Bhd. (mewakili Lebuhraya SUKE and DASH), West Coast Expressway Sdn. Bhd. (mewakili Lebuhraya WCE) and PLUS Malaysia Bhd. (mewakili Persimpangan Bertingkat Bandar Serenia).

Pencapaian ini secara signifikannya bukan sahaja mempamerkan kesungguhan yang telah dilaksanakan oleh pihak konsesi lebuhraya agar amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dipatuhi tetapi juga sebagai penanda aras bagi memastikan komitmen berterusan.

LTI adalah didefinasikan sebagai kecederaan berterusan oleh pekerja yang mendorong kepada kehilangan masa produktif. Sesuatu insiden yang melibatkan kecederaan pekerja yang direkodkan dalam Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) akan menjejaskan tugasan yang diberikan dengan ketidakhadiran pekerja tersebut.

Kiraan tempoh kecederaan tidak hanya terhad kepada impak kepada tugasan dalam tempoh masa kerja tetapi turut merangkumi tempoh masa selepas insiden berlaku. Secara umumnya, ia meliputi keseluruhan tempoh kecederaan yang menjejaskan secara langsung kepada kemajuan keseluruhan projek. Pihak Konsesi dianugerahkan dengan GOLDEN HELMET di atas kejayaan mereka, manakala pihak LLM sendiri akan menerima PLATINUM HELMET.

Disamping itu, Persijilan Sistem Keselamatan dan Kesihatan di Pembinaan (SHASSIC) turut dianugerahkan kepada pemegang konsesi sebagai pengiktirafan terhadap prestasi mereka mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, CIDB.

Pada majlis yang sama, EKVE Sdn. Bhd. turut melancarkan program “Mega Toolbox 2018” yang merupakan inisiatif oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk memastikan komitmen pihak pengurusan konsesi terhadap amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Satu demonstrasi peletupan batu turut diadakan sebagai sesi perkongsian ilmu berhubung prosedur dan amalan keselamatan yang ketat yang perlu dipatuhi berkaitan aktiviti tersebut.

Dengan siapnya Lebuhraya EKVE kelak, ia dijangka menjadi alternatif Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dengan membantu menyuraikan trafik sedia ada. Lebuhraya EKVE direkabentuk dengan dua lorong dua hala, dijangka dibuka kepada lalulintas Julai 2020.

Tarikh Dan Waktu Acara