Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

SABAH, 12 November 2017: Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman menggesa agar penduduk Sabah mengambil peluang terhadap pembangunan berimpak tinggi seperti projek Lebuhraya Pan Borneo bagi meningkatkan sosio-ekonomi masing-masing. Katanya, proses pembinaan infrastruktur berskala besar ini sudah pasti akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah samada pekerja mahir, kontraktor, mahupun pembekal-pembekal bahan pembinaan di seluruh negeri Sabah.

Ini belum termasuk impak ekonomi terhadap industri kecil dan sederhana (IKS) di sepanjang jajaran projek itu kelak. Mengambil contoh Projek Lebuhraya Utara Selatan di Semenanjung, lebuhraya Pan Borneo semestinya akan menyambungkan kampung-kampung yang dahulunya terpencil disamping meningkatkan tahap ekonomi bandar-bandar kecil di sekitarnya. Pada masa sama, beliau juga menggesa agar ibubapa memberi galakkan kepada anak-anak untuk mendapatkan latihan kemahiran dalam industri pembinaan melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang turut membuka cawangannya di Sabah.

Menurutnya, hasil testimoni kejayaan alumni ABM yang memperolehi sijil tamat latihan ABM serta sijil perakuan kemahiran CIDB secara percuma, mereka bukan sahaja dapat menceburkan diri sebagai pekerja mahir binaan di syarikat-syarikat besar malah ada di antara mereka yang berjaya menjadi usahawan berpendapatan tinggi hanya berbekalkan kemahiran yang telah dipelajari.

Beliau berkata ketika berucap merasmikan Seminar Pembangunan Kontraktor dan Perasmian Pejabat CIDB Cawangan Sandakan serta Penyerahan Projek Build Brigade di Dewan Sri Libaran, Sandakan, Sabah yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Binti Haji Abdul Rashid Shirlin, Ketua Eksekutif CIDB, Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Presiden Majlis Perbandaran Sabah (MPS), Datuk Ir. James Wong. Seminar tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pengggiat-penggiat industri di Sandakan mengenai peluang latihan kemahiran dan akreditasi yang disediakan oleh ABM Sabah selain memberi pendedahan lengkap mengenai urusan perlesenan dengan MPS serta proses pendaftaran kontraktor dengan CIDB.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof meminta agar penduduk setempat mengambil peluang menyahut seruan transformasi kerajaan dengan meningkatkan kapabiliti dan kapasiti masing-masing sebagaimana yang digariskan dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP). Tambahan lagi, kita perlu memandang kehadapan dan mempelajari kaedah-kaedah pembinaan moden seperti Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) dan Building Information Modelling atau BIM yang mampu meningkatkan produktiviti kita ke tahap yang lebih tinggi. Teks ucapan aluan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Binti Haji Abdul Rashid Shirlin.

Pejabat CIDB Cawangan Sandakan telah beroperasi pada 25 April 2016 di Bandar Megah Jaya, Batu 7, Jalan Lintas Labuk, Sandakan dengan kekuatan kakitangan seramai 14 orang bagi menjalankan kerja-kerja pendaftaran kontraktor dan personel binaan, penguatkuasaan dan levi, tuntutan takaful serta pembangunan industri dan latihan. Sejak pembukaan cawangan ke 18 (14 pejabat negeri dan 4 pejabat zon) ini, dianggarkan seramai 122 orang telah datang berurusan ke cawangan ini yang kebanyakkannya dari zon tenggara meliputi daerah Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Tongod. Antara projek besar yang kini dalam pembinaan di kawasan liputan cawangan Sandakan adalah, Projek Lebuhraya Pan Borneo, kerja-kerja menaiktaraf Jalan dari Kg. Lot M ke Sandakan batu 32, Projek Pembahagian - PPU Bukit Nenas Sandakan, Projek Prima @ Borneo Cove dan Prima @ SCC.

1

KOTA KINABALU, 11 November 2017: Pakej Work Package Contract (WPC) 05, Papar-Donggongon sepanjang 11.7 kilometer merupakan sebahagian daripada pakej Early Commencement Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (PBHS) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Mei 2016. Projek ini dilaksanakan melalui model Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner - PDP) berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui oleh tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP. Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) telah dilantik sebagai PDP untuk melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan sokongan pakar industri, UEM MMC Joint Venture Sdn Bhd. Pihak PDP akan bertindak sebagai single point of accountability yang bertanggungjawab dalam menguruskan dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuhraya.

Skop pakej ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan sedia ada kepada empat lorong dua hala dan pembinaan jambatan baru Sungai Simpudu, pengalihan utiliti serta kerja-kerja tanah, perparitan dan perabot jalan. Pembinaan telah dimulakan pada 31 Julai 2016 dan dijangka siap pada 15 September 2019.

Di samping menambahbaik infrastruktur jaringan jalan raya kepada komuniti sekitar Papar, pembinaan pakej Papar - Donggongon ini bakal memendekkan masa perjalanan darat bagi pengguna perkhidmatan feri dari terminal di Menumbok ke Pulau Labuan. Selain itu, ianya bakal menjadi prasarana sokongan kepada koridor ekonomi di barat daya negeri Sabah khususnya Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang menempatkan kompleks pemperosesan amonia, urea dan gas cecair asli. Pakej Papar - Donggongon ini akan turut menjadi pemangkin industri eko-pelancongan bagi kawasan Kimanis dan Bongawan yang kaya dengan keunikan flora dan fauna.

1

KOTA KINABALU, 10 November 2017: Wartawan Daily Express mengungguli Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 (AMP) bagi negeri Sabah apabila kategori Anugerah Media Cetak dibolot oleh ketiga-tiga wartawan penerbitan berkenaan.

Leonard Govin Alaza dan Mary Chin menggondol tempat pertama kategori media cetak AMP 2017 menerusi laporan 'The role of CIDB and KYTS in Sabah' yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta trofi dan sijil penghargaan. Manakala, Jason Edgar Delos Santos dengan laporannya 'CIDB questions standard of raw materials' dan Kan Yau Cheong menerusi artikalnya 'Mysterious face of Sukau Bridge unveiled' masing-masing meraih merit bagi kategori sama dan membawa pulang RM1,000 berserta sijil penghargaan dan trofi setiap seorang.

Bagi kategori Anugerah Media Penyiaran Elektronik dan Video Portal pula, tempat kedua dimenangi oleh Jabatan Penyiaran Sabah dengan laporan khas mereka 'Jalan Montenior Beaufort' yang membolehkan mereka memenangi RM3,000 berserta sijil penghargaan dan trofi. Sementara RTM Sabah dengan laporan mereka 'Pembinaan tangki pemendapan air bersih' layak mendapat merit dengan membawa pulang RM1,000 berserta sijil penghargaan dan trofi. Untuk kategori fotografi tiada pemenang.

Kesemua hadiah AMP 2017 disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof kepada pemenang. Menurut Dato’ Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia peranan media adalah sangat penting dalam memberi pemahaman kepada masyarakat terhadap agenda transformasi nasional di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 (CITP) yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-11.

Malah penganjuran AMP setiap tahun adalah sebagai platform untuk para media berkarya sekaligus membantu Kementerian Kerja Raya menghebahkan segala inisiatif dan pencapaian lebih-lebih lagi di saat CITP berada di titik tengah pelaksanaannya bagi menyediakan Malaysia ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, AMP telah menerima penyertaan yang memberangsangkan daripada pengamal media seluruh negara. Untuk tahun 2017, AMP yang mendapat kerjasama KKR dan Malaysian Press Institute (MPI) menerima penyertaan sebanyak 209 penyertaan daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak membabitkan media cetak, elektronik dan online.

AMP dibahagikan kepada tiga kawasan liputan iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Bagi setiap kawasan liputan, terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Media Cetak (Berita & Rencana), Kategori Media Elektronik & Online Broadcasting (Berita & Rencana) dan Kategori Fotografi. Setiap kategori menawarkan hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM90,000 untuk semua kawasan liputan termasuk sijil penyertaan dan trofi.

1

KUALA LUMPUR, 9 November 2017: Kementerian Kerja Raya telah meraikan pesara-pesara samada besara wajib mahupun bersara pilihan dalam satu majlis yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Zohari Akob, Ketua Setiausaha KKR.

Majlis diadakan bagi menghargai jasa mereka yang telah berkhidmat di KKR. YB Dato’ Zohari Akob juga telah memberi ucapan dan berterima kasih diatas perkhidmatan yang telah disumbangkan oleh pesara-pesara.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada para pesara dan diakhiri dengan sesi fotografi.

1

KUALA LUMPUR, 9 November 2017: Unit Integriti dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Kerja Raya telah menjayakan Hari Integriti dan Psikologi KKR. Majlis telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof. Turut bersama pada program tersebut iaitu Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah binti Haji Abdul Rashid Shirlin.

Dengan tema “Kesejahteraan Psikologi Pemangkin Insan Berintegriti” telah membawa kepada objektif utama kepada Hari Integriti iaitu bagi memupuk penghayatan kesihatan minda dalam mewujudkan kakitangan awam yang berintegriti dan berprestasi tinggi. Seterusnya, mewujudkan kesedaran tentang isu-isu psikologi yang berlaku dalam kalangan penjawat awam dan memberi pengetahuan dan kesedaran tentang kepentingan integriti dalam kalangan penjawat awam.

Aktiviti yang ditawarkan semasa program dijalankan iaitu permainan uji minda, pameran, pemeriksaan kesihatan, Touch ‘n Go (LLM), LPPKN, SSPN, SPRM, ujian psikometrik, muziam penjara, aromatheraphy, refleksologi dan juga ceramah yang disampaikan oleh Program yang bermula jam 8.30 pagi telah berakhir pada jam 4.30 petang dengan jayanya.

1

BAGAN DATUK, 28 Oktober 2017: Penduduk sekitar Daerah Bagan Datuk dan Daerah Perak Tengah seramai 70,300 orang bakal mendapat manfaat secara langsung apabila sebuah jambatan dibina bagi menghubungkan kedua-dua daerah tersebut merentasi Sungai Perak hasil peruntukan Kerajaan Pusat dibawah Rolling Plan 1 (RP 1), Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11). Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Sri Ahmad Zahid bin Hamidi. Bersama-sama hadir di tapak projek tersebut iaitu Timbalan Menteri Kerja Raya YB Datuk Rosnah Binti Abdul Rashid Shirlin berserta Menteri Besar Perak Datuk Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Jambatan tersebut dibina dengan piawai R5 sepanjang 1.5 kilometer (km) dan kelebaran 14 meter dengan 2 lorong 2 hala. Turut terdapat dalam skop projek ini ialah jalan tuju ke jambatan dengan piawai R5 (2 lorong 2 hala) sepanjang 8.7 km, 3 jambatan baru di sepanjang jalan utama, sistem pembentungan dan saliran di sepanjang jalan utama. Selain itu, persimpangan lampu isyarat di laluan FT069 (Bagan Datuk) dan persimpangan di laluan FT005 (Kampung Sejagop) turut bakal dibina bagi melancarkan aliran trafik semasa. Skop kerja lain adalah penyediaan perabot jalan dan kerja-kerja elektrik, pengambilan balik tanah dan kerja-kerja pengalihan utiliti.

Projek bernilai RM446.9 juta ini dijangka siap pada Julai 2020 dan menjadi laluan alternatif yang menjimatkan masa perjalanan dan kos bahan api kenderaan yang berulang-alik daripada Bagan Datuk dan kampung-kampung di sekitarnya ke Kampung Sejagop, Daerah Perak Tengah dan Manjung. Perjimatan masa perjalanan adalah daripada 1 jam kepada 15 minit manakala perjimatan jarak perjalanan pula daripada 50km (melalui FT069 dan FT005) kepada 10.2km.

Pembinaan jambatan ini berpotensi menjadi pilihan utama pelbagai komposisi kenderaan yang dianggarkan sebanyak 7500 kenderaan sehari pada tahun 2020 menurut Penilaian Impak Trafik (TIA). Ini seterusnya memberikan impak seperti pemangkin pertumbuhan ekonomi kawasan setempat selain mengurangkan kos penyelenggaran, mengurangkan risiko kemalangan pada jalan sediada dan memberikan keselesaan kepada pengguna lalulintas.

1

KUALA LUMPUR, 25 Oktober 2017: Tema bagi Hari Inovasi 2017 ‘Membudaya Inovasi Merealisasi Transformasi’ menjadi landasan kepada warga Kementerian Kerja Raya dalam menghasilkan satu idea inovasi yang kreatif. Majlis berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid yang dihadiri warga kerja raya dan agensi. Majlis telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya.

Pengisian majlis pada pagi itu dimulakan dengan ceramah inovasi oleh YBrs Mejar Mohd Ghazali bin Abdul Rahman, daripada Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan dan disusuri oleh ceramah oleh YBhg Datuk Dr Aminuddin Hassim, NSU Kementerian Kewangan.

Majlis diteruskan dengan meraikan pemenang International Invention, Innovation and Technology Exhibition 2017 (ITEX’17) yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Central (KLCC) pada 11 hingga 13 Mei 2017 dimana lima produk telah memenangi pingat emas manakala tujuh produk memenangi pingat perak.

Turut diraikan pemenang International Invention Innovation Competition in Canada 2017 (ICAN) oleh JKR Malaysia melalui Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Dan Teknologi JKR (CREaTE) dengan produk inovasi iaitu An Apparatus to Support a Mechanical Device Bagi Anugerah Inovasi ICT (AIICT) telah dimenangi oleh LLM dengan projek Malaysian Highway Road Accident Analysis & Database System (MHROAD). Untuk Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan (AIPK) johan jatuh kepada Unit Audit Dalam, KKR dan yang terakhir johan bagi Anugerah Inovasi Pengurusan Pejabat (AIPP) oleh Unit Audit Dalam, KKR.

1

KUALA LUMPUR, 24 Oktober 2017: Sesi dialog TN50 bersama para pemain industri pembinaan telah berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC dan telah dihadiri oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof yang turut menyampaikan ucaptama. Transformasi Nasional 2050 atau TN50 adalah satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050.

Antara yang ditekankan oleh Menteri Kerja Raya adalah jika mahu kekal relevan sehingga 2050, keseluruhan cara pemikiran perlu berubah. Oleh itu, melalui Sesi Dialog TN50, beliau ingin mendengar pendapat dan idea dari hadirin mengenai dasar pembangunan negara menjelang 2050, terutamanya yang berkaitan secara terus dengan industri pembinaan negara.

Bagi sektor pembinaan menjelang tahun 2050, Kementerian Kerja Raya merupakan peneraju perlaksanaan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang bermula dari 2016 hingga 2020. CITP mempunyai empat Teras Strategik iaitu pertama kualiti, keselamatan dan profesionalisme, kedua kemampanan alam sekitar, ketiga produktiviti dan pengantarabangsaan. Empat teras strategik tersebut akan kekal relevan untuk transformasi industri pembinaan dari tahun 2021 hingga ke tahun 2050.

1

KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2017: Jajaran Sri Damansara Link (SDL) telah dibuka secara rasminya oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof pada 23 Oktober 2017 (Isnin).

Jajaran SDL akan menyambungkan Lebuhraya MRR2 di Persimpangan Bandar Menjalara dengan Lebuhraya DUKE sedia ada di Jalan Segambut. SDL berupaya untuk meningkatkan lagi keberkesanan jajaran lebuhraya DUKE sedia ada dan akan memberi pengguna laluan alternatif menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur dari kawasan penempatan barat daya seperti Sri Damansara, Rawang, Kepong dan Sungai Buloh. SDL juga dijangkakan dapat membantu mengurangkan kesesakan di persimpangan Lebuhraya MRR2 dan Lebuhraya Damansara-Puchong. Selain dapat memudahkan aksesibiliti untuk orang ramai, malahan perjalanan dipendekkan, pemandu juga dapat menjimatkan masa, menjimatkan kos seperti bahan bakar atau minyak kenderaan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kos selenggaraan kenderaan.

Pengarah Urusan Kesturi Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata: “SDL juga akan menjadi jajaran pertama di lebuhraya DUKE yang dilengkapi dengan kemudahan “Park & Ride”. Kawasan rehat dan rawat Segambut (“SEGAR”) ini dibina untuk pelbagai tujuan dan merangkumi plaza tol, parkir, ruang komersial dan persimpangan bertingkat yang dibina khas. Plaza Tol Segambut juga lengkap dengan sistem kutipan tol RFID (Radio – Frequency Identification) yang akan diperkenalkan untuk kegunaan awam.”

“SEGAR juga bakal dilengkapi dengan stesen KTM Komuter baru untuk memastikan integrasi penuh diantara lebuhraya dan sistem pengangkutan awam. Ini akan memberikan pengguna pilihan untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih baik. Buat masa ini, SEGAR akan menyediakan 311 tempat letak kereta, 4 lot parkir khas untuk OKU dan 38 lot bagi motosikal. Pertambahan parkir akan dilakukan dari masa ke semasa apabila stesen KTM Komuter siap dibuka kelak.” Pembukaan SDL ini telah melengkapkan projek Duke Fasa 2 dimana jajaran Tun Razak Link (“TRL”) telah dibuka sepenuhnya kepada pengguna pada 28 September 2017 yang lalu. Sempena majlis pembukaan tersebut, pihak konsesi iaitu KESTURI telah menawarkan tol percuma kepada pengguna di Plaza Tol Segambut selama sebulan mulai 23 Oktober 2017 sehingga 22 November 2017. Kutipan tol akan bermula pada 23 November 2017 bermula jam 12:01 pagi.

1

KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2017: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah memilih Kementerian Kerja Raya sebagai bangunan Kerajaan bagi Program Audit Tenaga, Retrofit Dan Pengurusan Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) dibawah Rolling Plan 2 (RP2) Tahun 2017 Rancangan Malaysia Ke-11.

Sehubungan itu, sebanyak 6 Unit Chiller di Kompleks Kerja Raya dan lain-lain komponen di chiller plantroom telah rekabentuk penggantiannya oleh pasukan Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan dan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR.

Dengan penggantian 6 unit chiller dan komponennya di ‘chiller plantroom’ ini, sasaran penjimatan penggunaan tenaga yang dijangka ialah sebanyak 33% daripada jumlah penggunaan tenaga sedia ada atau bersamaan nilai penjimatan kos sebanyak RM355,164.74 setahun.

Jumlah yang besar ini bukan hanya memberikan impak yang signifikan kepada penjimatan kos tetapi juga pengurangan pelepasan karbon dioksida yang dijangka akan mencecah kepada 552 tan setahun. Disamping itu juga, ia turut memberi impak yang positif kepada penurunan bacaan Building Energy Index (BEI).

Projek ini akan dijadikan contoh atau ‘Leading by Example’ kepada Agensi Kerajaan yang lain untuk berusaha ke arah penggunaan tenaga dalam bangunan dengan lebih cekap.

Satu majlis penyerahan projek tersebut oleh Syarikat KCJ Engineering Sdn. Bhd. yang telah berjaya menyiapkan projek lebih awal kepada pihak Kementerian telah diadakan dengan disaksikan Menteri Kerja Raya YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.