Langkau ke kandungan utama
1

Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 Sabah

KOTA KINABALU, 10 November 2017: Wartawan Daily Express mengungguli Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 (AMP) bagi negeri Sabah apabila kategori Anugerah Media Cetak dibolot oleh ketiga-tiga wartawan penerbitan berkenaan.

Leonard Govin Alaza dan Mary Chin menggondol tempat pertama kategori media cetak AMP 2017 menerusi laporan 'The role of CIDB and KYTS in Sabah' yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta trofi dan sijil penghargaan. Manakala, Jason Edgar Delos Santos dengan laporannya 'CIDB questions standard of raw materials' dan Kan Yau Cheong menerusi artikalnya 'Mysterious face of Sukau Bridge unveiled' masing-masing meraih merit bagi kategori sama dan membawa pulang RM1,000 berserta sijil penghargaan dan trofi setiap seorang.

Bagi kategori Anugerah Media Penyiaran Elektronik dan Video Portal pula, tempat kedua dimenangi oleh Jabatan Penyiaran Sabah dengan laporan khas mereka 'Jalan Montenior Beaufort' yang membolehkan mereka memenangi RM3,000 berserta sijil penghargaan dan trofi. Sementara RTM Sabah dengan laporan mereka 'Pembinaan tangki pemendapan air bersih' layak mendapat merit dengan membawa pulang RM1,000 berserta sijil penghargaan dan trofi. Untuk kategori fotografi tiada pemenang.

Kesemua hadiah AMP 2017 disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof kepada pemenang. Menurut Dato’ Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia peranan media adalah sangat penting dalam memberi pemahaman kepada masyarakat terhadap agenda transformasi nasional di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 (CITP) yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-11.

Malah penganjuran AMP setiap tahun adalah sebagai platform untuk para media berkarya sekaligus membantu Kementerian Kerja Raya menghebahkan segala inisiatif dan pencapaian lebih-lebih lagi di saat CITP berada di titik tengah pelaksanaannya bagi menyediakan Malaysia ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, AMP telah menerima penyertaan yang memberangsangkan daripada pengamal media seluruh negara. Untuk tahun 2017, AMP yang mendapat kerjasama KKR dan Malaysian Press Institute (MPI) menerima penyertaan sebanyak 209 penyertaan daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak membabitkan media cetak, elektronik dan online.

AMP dibahagikan kepada tiga kawasan liputan iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Bagi setiap kawasan liputan, terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Media Cetak (Berita & Rencana), Kategori Media Elektronik & Online Broadcasting (Berita & Rencana) dan Kategori Fotografi. Setiap kategori menawarkan hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM90,000 untuk semua kawasan liputan termasuk sijil penyertaan dan trofi.

Tarikh Dan Waktu Acara