Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

SHAH ALAM, 1 OGOS 2018: Satu lawatan kerja ke tapak cadangan menaik taraf jalan di Jalan Kebun telah dilakukan oleh Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian di Shah Alam Selangor. 

Lawatan ini bertujuan untuk meninjau proses menaik taraf jalan disamping mengambil perhatian mengenai sebarang permasalahan berkaitan pembangunan infrstruktur setempat. 

YB Menteri Kerja Raya telah disambut oleh Pengarah JKR Selangor Datuk Ir. Ruslan bin Abd Aziz dan serta pengurusan atasan JKR negeri dan daerah. YB Menteri kemudian dibawa untuk mendengar taklimat sebelum dibawa melawat tapak cadangan menaiktaraf jalan. 

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia), YBhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid serta Timbalan Ketua Pengarah Sektor Infra JKR, YBhg. Dato' Dr. Meor Abdul Aziz Hj. Osman

1

KUALA LUMPUR, 1 OGOS 2018: Kementerian Kerja Raya telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Ybhg.Dato' Seri Haji Mohammad Bin Mentek dan telah disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob.

Kunjungan ini diteruskan dengan acara menandatangani buku pelawat sebelum diteruskan dengan sesi perbincangan antara Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan di Bilik Mesyuarat Seroja, Kompleks Kerja Raya.

1

LAWAS, 27 JULAI 2018: Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian telah melakukan lawatan kerja ke Hospital Lawas di Lawas, Sawarak dan disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Jamilah Hashim dan pengurusan Hospital.  Lawatan YB Menteri Kerja Raya ini meliputi lawatan tapak ke Hospital Lawas bagi meninjau keadaan dan tapak projek pembangunan baru bagi hospital tersebut

YB Menteri Kerja Raya telah dibawa ke sesi taklimat ringkas mengenai projek ini sebelum dibawa melawat tapak projek.

Pembinaan Hospital Lawas terbahagi kepada tiga fasa dan akan menempatkan 76 buah katil yang mengandungi wad pesakit lelaki, perempuan dan kanak- kanak,  Wad pergantungan tinggi (High Dependency Ward, HWD) ruang pejabat pentadbiran, unit hemodialisis, bilik bersalin, bilik pembedahan, bilik mayat, bank darah, jabatan patologi dan bilik X-ray.

Status semasa projek pada masa kini ialah Kementerian Kewangan telah memutuskan keputusan tender ditangguhkan melalui surat bertarikh 9 Januari 2018 dan Kementerian Kewangan juga memohon pelaksanaan semula VM Lab untuk meneliti semula skop dan kos projek. Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadakan Makmal Pengurusan Nilai-Bengkel Kajian Nilai (Value Assesment) pada 5 hingga 7 Mac 2018.  Laporan VA ini telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan pada 7 Mei 2018 untuk keputusan selanjutnya.

Pembinaan Hospital Lawas ini membolehkan pembangunan kepada masyarakat luar bandar terus berkembang dalam usaha memperbaiki kualiti hidup masyarakat luar bandar

1

TEMERLOH, 20 JULAI 2018: Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir telah melakukan lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Temerloh di Temerloh, Pahang. 
Ketibaan Timbalan Menteri telah disambut oleh Jurutera Daerah JKR Temerloh Encik Rosli Bin Osman dan pengurusan atasan JKR negeri dan daerah.

Agenda lawatan YB Timbalan Menteri dimulakan dengan sesi taklimat dan perbincangan bersama pegawai- pegawai atasan JKR. Seterusnya, YB Timbalan Menteri dibawa melawat lokasi cadangan kepada Projek Menaiktaraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah yang akan dinaiktaraf daripada dua lorong kepada empat lorong. Jambatan ini terletak di Jalan Persekutuan FT02 yang menghubungkan Karak ke Maran, Pahang.

Skop projek ini termasuklah pembinaan jambatan baharu bersebelahan jambatan sedia ada sepanjang 685 meter, menaiktaraf jalan tuju sepanjang 1.5 kilometer serta membina sistem saliran. Pembinaan jambatan ini merupakan salah satu rancangan pembangunan dibawah Rancangan Malaysia Ke- 11.

Seterusnya YB Timbalan Menteri telah dibawa melawat tapak Projek Menggantikan Jambatan Sedia Ada di Jalan Persekutuan FT098 yang merentasi Sungai Semantan. Tujuan projek ini dijalankan adalah untuk menggantikan jambatan sedia ada yang tidak lagi sesuai untuk menampung penambahan jumlah kenderaan. 

Skop pembinaan projek ini pula meliputi penggantian jambatan sedia ada dengan jambatan baharu, pengalihan utiliti dan kerja membaikpulih jalan – jalan masuk ke kampung. Projek ini telah bermula pada Oktober 2016 dan dijangka siap pada awal tahun 2019. 

Turut hadir Pengarah JKR Negeri Pahang YBhg. Dato’ Ir. Haji Abdul Jalil Bin Haji Mohamed.

1

KUALA TERENGGANU, 19 JULAI 2018: Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir telah melakukan lawatan rasmi ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu dan disambut oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu Ir. Haji Che Kamaruddin bin Bahar dan pengurusan atasan JKR Terengganu.

Lawatan YB Timbalan Menteri Diteruskan lagi dengan lawatan ke tapak pembinaan Projek Kuala Terengganu Bypass di Kuala Terengganu.  Skop projek termasuklah pembinaan jalan baharu empat lorong sepanjang 5.875km dengan piawaian U5, membina empat buah jambatan dengan panjang keseluruhan sejauh 598 meter serta melibatkan skop naiktaraf dan pembinaan persimpangan di Simpang Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) dan Jalan FT03 di Kg Durian Burung.

Turut termasuk dalam skop kerja adalah penyediaan sistem perparitan dan pembentungan yang sistematik, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat, pemasangan kelengkapan jalan, pengalihan utiliti dan pembinaan dua buah ‘vehicular box culvert’ (VBC).  

Projek ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan trafik disamping mempercepatkan perjalanan ulang- alik dari utara ke selatan terengganu dan dijangka akan siap pada suku pertama tahun 2019.  Pembinaan bypass ini merupakan antara tanggungjawab kerajaan persekutuan dalam menyediakan infrastruktur terbaik untuk kebaikan rakyat khususnya rakyat Terengganu.

Turut Hadir dalam lawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) YBhg. Dato' Abdul Razak Bin Jaafar

1

KUALA LUMPUR, 17 JULAI 2018: Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian dan Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir merupakan antara Ahli Dewan Rakyat yang telah menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen Malaysia kali ke-14 oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V yang telah berlangsung di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Persidangan ini merupakan persidangan pertama selepas Pilihanraya Umum Ke-14 dan akan bersidang selama 20 hari iaitu dari 17 Julai hingga 16 Ogos 2018. Turut dilantik pada persidangan ini ialah Speaker Dewan Rakyat kesembilan iaitu Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang merupakan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan.

1

KUALA LUMPUR, 16 JULAI 2018: Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian dan Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat dalam satu Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Majlis angkat sumpah ini merupakan simbolik permulaan kepada berlangsungnya Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 selepas Pilihanraya Umum ke- 14 yang berlangsung pada Mei 2018.

YB Tuan Baru Bian merupakan Ahli Dewan Rakyat  dari Parlimen Selangau, Sarawak manakala YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir pula merupakan Ahli Dewan Rakyat dari Parlimen Temerloh, Pahang.

1

SERDANG, 13 JULAI 2018: YB Menteri Kerja Raya Tuan Baru Bian telah mengadakan lawatan rasmi ke Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Serdang, Selangor. 

Lawatan ini merupakan kesinambungan daripada siri lawatan YB Menteri Kerja Raya ke agensi- agensi dibawah kementeriannya.

Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Dato Sr. Aziz bin Abdullah dan pengurusan atasan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Agenda lawatan YB Menteri termasuklah sesi tandatangan buku pelawat dan melawat pusat pengurusan trafik LLM sebelum dibawa ke sesi taklimat ringkas mengenai latarbelakang organisasi dan fungsi utama Lembaga Lebuhraya Malaysia. 

Turut hadir dalam lawatan  Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Ketua Setiausaha Kementerian YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) YBhg. Datuk Haji Sarani Bin Dollah, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) YBhg. Dato' Abdul Razak Bin Jaafar.

1

KUALA LUMPUR, 12 JULAI 2018: Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah mengadakan sesi  perjumpaan merangkap jamuan hari raya bersama Warga Kementerian Kerja Raya dan agensi tahun 2018 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya Kuala Lumpur. 

Pada majlis ini, hadirin berpeluang untuk bertemu dan beramah mesra dengan lebih rapat bersama-sama Menteri dan Timbalan Menteri Kerja Raya.

Antara pengisian majlis termasuklah sesi persembahan kugiran dan pemberian sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim dan ibu- bapa tunggal.  Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh YB Menteri Kerja Raya.

Turut hadir memeriahkan majlis termasuklah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir, Ketua Setiausaha YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) YBhg. Datuk Haji Sarani Bin Dollah, dan pengurusan  atasan Kementerian dan agensi.

1

KUALA LUMPUR, 12 JULAI 2018: Satu lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dilakukan oleh Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian di Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.
Ketibaan YB Menteri disambut oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Dato' Seri Ir. Roslan Md Taha dan pegawai- pegawai kanan JKR. YB Menteri telah dibawa untuk menandatangani buku pelawat sebelum dibawa bersarapan. 

Agenda lawatan YB Menteri termasuklah sesi taklimat dan perbentangan mengenai organisasi dan fungsi utama Jabatan Kerja Raya disamping sesi taklimat mengenai konsesi penyenggaraan cerun. 

Turut hadir termasuklah Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Ketua Setiausaha Kementerian YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) YBhg. Datuk Haji Sarani Bin Dollah.