Langkau ke kandungan utama
1

Lawatan Kerja YB Timbalan Menteri Kerja Raya Ke JKR Temerloh

TEMERLOH, 20 JULAI 2018: Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir telah melakukan lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Temerloh di Temerloh, Pahang. 
Ketibaan Timbalan Menteri telah disambut oleh Jurutera Daerah JKR Temerloh Encik Rosli Bin Osman dan pengurusan atasan JKR negeri dan daerah.

Agenda lawatan YB Timbalan Menteri dimulakan dengan sesi taklimat dan perbincangan bersama pegawai- pegawai atasan JKR. Seterusnya, YB Timbalan Menteri dibawa melawat lokasi cadangan kepada Projek Menaiktaraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah yang akan dinaiktaraf daripada dua lorong kepada empat lorong. Jambatan ini terletak di Jalan Persekutuan FT02 yang menghubungkan Karak ke Maran, Pahang.

Skop projek ini termasuklah pembinaan jambatan baharu bersebelahan jambatan sedia ada sepanjang 685 meter, menaiktaraf jalan tuju sepanjang 1.5 kilometer serta membina sistem saliran. Pembinaan jambatan ini merupakan salah satu rancangan pembangunan dibawah Rancangan Malaysia Ke- 11.

Seterusnya YB Timbalan Menteri telah dibawa melawat tapak Projek Menggantikan Jambatan Sedia Ada di Jalan Persekutuan FT098 yang merentasi Sungai Semantan. Tujuan projek ini dijalankan adalah untuk menggantikan jambatan sedia ada yang tidak lagi sesuai untuk menampung penambahan jumlah kenderaan. 

Skop pembinaan projek ini pula meliputi penggantian jambatan sedia ada dengan jambatan baharu, pengalihan utiliti dan kerja membaikpulih jalan – jalan masuk ke kampung. Projek ini telah bermula pada Oktober 2016 dan dijangka siap pada awal tahun 2019. 

Turut hadir Pengarah JKR Negeri Pahang YBhg. Dato’ Ir. Haji Abdul Jalil Bin Haji Mohamed.

Tarikh Dan Waktu Acara