Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Penganjuran Program Highway Concession Conference (HCC) 2019

PULAU PINANG, 15 Julai 2019 - Persidangan Konsesi Lebuhraya (Highway Consession Conference, HCC) 2019 telah berjaya menarik minat 300 penyertaan daripada pemain industri lebuhraya dari dalam dan luar negara. Persidangan ini bertujuan untuk berkongsi aspirasi, pengalaman dan idea terhadap isu serta cabaran semasa yang dihadapi dalam industri lebuh raya bertol di Malaysia terutamanya berkaitan dengan aspek kewangan, operasi dan penyenggaraan lebuh raya.

Bertemakan “Enhancing Users Satisfaction Through Innovation and Financial re-Engineering”, persidangan ini bertepatan dengan usaha Kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya dalam memberikan kepuasan dan keselesaan pemanduan maksima kepada para pengguna lebuhraya.

Selain itu, persidangan ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknologi dan kaedah terkini dalam penyenggaraan lebuh raya bertol, penggunaan bahan-bahan baharu dalam pembinaan lebuh raya dan reka bentuk inovatif lebuh raya.

Program HCC 2019 yang berlangsung daripada 15 hingga 17 Julai 2019 bertempat di Hotel Lexis Suite, Pulau Pinang telah dirasmikan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya pada hari ini. Persidangan ini merupakan anjuran kali kedua Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dengan kerjasama Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM).

Pada persidangan ini, LLM juga telah memberi pengiktirafan dan penganugerahan kepada penggiat industri lebuh raya bertol di Malaysia yang telah melaksanakan projek-projek pendigitalan lebuh raya yang lebih inovatif menerusi penyampaian Anugerah Highway Digitalization Excellence Award (HDEA). Tiga kriteria yang diambil kira dalam penilaian Anugerah HDEA ialah kebolehcapaian, keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya bertol.

YB Menteri Kerja Raya dalam ucapannya berharap agar pemain industri lebuh raya akan terus menyokong serta melibatkan diri dalam seminar atau persidangan seumpama ini serta mendapat inspirasi untuk mengorak langkah dengan lebih maju bagi menjamin infrastruktur dan pengangkutan jalan yang terbaik.

Turut hadir dalam persidangan ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) YBhg. Dato' Abdul Razak Bin Jaafar, Ketua Pengarah Kerja Raya YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia YBhg. Dato’ Sr. Aziz bin Abdullah dan Ketua Pengarah Eksekutif CIDB YBhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid.

1

Majlis Pelancaran “LLM Maju Cultural Night Run 2019@ 2nd Bridge, Penang

KAJANG, 4 Julai 2019 – Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah melancarkan acara Larian “LLM Maju Cultural Night Run 2019 @ 2nd Bridge, Penang” bertempat di Auditorium, Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM). Larian ini akan diadakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang pada 15 September 2019 bermula jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi. Larian “LLM Maju Cultural Night Run 2019 @ 2nd Bridge, Penang” dijangka mengumpulkan seramai 5 ribu hingga 10 ribu peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) / Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan pelajar sekolah.

Larian ini merupakan anjuran kali pertama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Koperasi LLM Sdn. Bhd. dan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Persatuan Olahraga Amatur Negeri Pulau Pinang (P.A.A.A), Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Prai dan Persatuan Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia. Acara larian ini turut disokong oleh agensi-agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan-Persatuan Sukan dan lain-lain agensi yang berkaitan.

Di samping itu, ianya turut dijayakan dengan sokongan daripada pihak penaja seperti Maju Expressway Sdn. Bhd. dan Maju Holdings selaku Penaja Platinum, Touch N Go dan PLUS Malaysia Berhad selaku Penaja Gold dan TSL Group, RTS, Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) selaku Penaja Silver.

Acara Larian ini merupakan aktiviti riadah yang istimewa serta berbeza dengan acara larian santai yang lain kerana ia bukan sahaja pertama kali diadakan di atas jambatan kedua Negeri Pulau Pinang, malah yang paling menarik ialah ia merupakan larian yang menggabungkan aktiviti larian santai, persembahan kesenian dan kebudayaan serta pelbagai aktiviti lain yang berkonsepkan budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

1

ARCHIDEX 2019 – Gerbang Perdagangan Seni Bina Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 3 JULAI 2019 - Pameran Antarabangsa Arkitek, Rekaan Dalaman dan Bangunan (ARCHIDEX 2019), menerima lebih 450,000 pengunjung, 6,500 pempamer tempatan dan antarabangsa serta mencatatkan hampir RM10 bilion transaksi perniagaan.

Sebanyak 10 dewan pameran disediakan membabitkan 600 syarikat pempamer dari 20 negara. ARCHIDEX 2019 merupakan tahun ke-20 penganjuran pameran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian.

ARCHIDEX 2019 merupakan anjuran bersama C.I.S Network Sdn Bhd (C.I.S) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) bermula 3 hingga 6 Julai 2019. Ia turut dikenali sebagai gerbang seni bina Asia Tenggara di rantau ini.

1

Sesi Perjumpaan YB Menteri Bersama Warga KKR Dan Agensi 2019

KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2019 – Satu sesi perjumpaan antara Menteri Kerja Raya bersama-sama warga Kementerian Kerja Raya telah diadakan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Pusat Konvensyen CIDB.

Majlis yang dihadiri lebih 3500 tetamu ini membuktikan semangat Muhibbah dan harmoni dalam kalangan warga yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama. Ia turut memupuk semangat kerja berpasukan antara Kementerian dan Agensi.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan Ketua-ketua agensi.

1

PUTRAJAYA, 25 JUN 2019 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengatur satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) tapak pembinaan yang turut disertai Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian dan Ketua Eksekutif CIDB, YBhg. Dato’ Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid. Operasi ini dilakukan di satu lokasi tapak pembinaan bertempat di Presint 12, Putrajaya.

Objektif OPB ini dijalankan adalah bertujuan untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap Akta dan Peraturan yang berkaitan dalam industri pembinaan negara di tapak bina terutamanya Akta 520 CIDB. Antara skop OPB kali ini meliputi Pendaftaran Kontraktor (Seksyen 25), Pendaftaran Personel Binaan (Seksyen 33), Akreditasi Personel Binaan (Seksyen 33A), Bahan Binaan (Seksyen 33C (1) dan Pengistiharan Projek (Seksyen 34).

Agensi dan organisasi yang turut serta dalam OPB ini ialah CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan keseluruhan anggota seramai 118 orang.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2018, sebanyak 30 OPB telah dilaksanakan CIDB dan seramai 40,111 orang pekerja asing telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut didapati seramai 16,748 orang tidak berdaftar dengan CIDB. Dengan adanya penguatkuasaan berterusan seperti OPB ini, isu pematuhan keselamatan tapak bina akan terus diberi perhatian serius oleh KKR dan CIDB selaku organisasi kawalselia pembangunan infrastruktur negara.

1

KUALA LUMPUR, 24 JUN 2019 – Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) telah mengadakan Majlis suai kenal Ahli Lembaga dan Ahli-ahli Jawatankuasa LJBM yang baharu dilantik untuk sesi kali ini bertempat di Hotel Primiera, Kuala Lumpur.

Majlis ini dihadiri Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian yang turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Pendaftaran Berkelompok di antara Kolej Universiti Tuanku Abdul Rahman, Kolej Universiti Teknologi Sarawak dan Segi College. Turut hadir ialah Yang DiPertua LJBM, YBhg. Prof Adjung Sr. Dato’ Aziz bin Abdullah.

1

KUALA LUMPUR, 24 JUN 2019 - Sejajar dengan perkembangan Revolusi Industri atau IR 4.0, PMCC Corporation telah menganjurkan Engineering, Procurement and Construction (EPC)-SUMMIT 2019 peringkat Asia Tenggara. Sidang kemuncak ini merupakan kali pertama diadakan dan ucaptamanya telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian.

Tujuan utama persidangan ini adalah menghimpun peserta yang terdiri daripada para profesional bidang industri dan 20 orang pakar untuk berkongsi idea, strategi, teknologi terkini, pengurusan projek EPC dalam mendepani anjakan revolusi industri kejuruteraan, perolehan dan pembinaan. Acara ini berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Jun 2019 bertempat di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Antara topik perbincangan sepanjang persidangan adalah persediaan negara Asia Tenggara dalam menghadapi anjakan revolusi industri, faktor dan risiko yang yang memberi kesan kepada kontrak projek serta manfaat yang boleh digunakan oleh pemain industri binaan.

1

PUTRAJAYA, 18 JUN 2019 - Kementerian Pendidikan United Arab Emirates (UAE) dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran telah menganjurkan General Assembly (GA) WorldSkills ASIA (WSA) 2019 bermula 17 hingga 19 Jun 2019 bertempat di Pulse Grande Hotel, Putrajaya.

GA WSA ini dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan yang terlibat dengan pembangunan TVET dalam kalangan 16 buah Negara ASIA yang menjadi ahli WSA. Perhimpunan ini juga bertujuan untuk membincangkan persediaan menghadapai Pertandingan World Skills Asia 2020 selain bekerjasama mendepani Revolusi Industri 4.0 dalam bidang TVET.

Satu Majlis Makan Malam bersama delegasi GA WSA telah diadakan di Pulse Grande Hotel, Putrajaya dan ucaptama telah disampaikan oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya.

1

MoU Tingkat Keselamatan Operasi Dan Penyenggaraan Lebuhraya

KUALA LUMPUR, 18 JUN 2019 – Keselamatan pengguna lebuhraya terus diberi perhatian melalui satu Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara tiga pihak iaitu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta).

Majlis menandatangani MoU tersebut telah diadakan di UEM Edgenta Learning Centre, Petaling Jaya dan disaksikan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya. MoU ini selaras dengan hasrat Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk mewujudkan piawai keselamatan yang memfokuskan kepada keselamatan pekerja penyenggaraan, kawasan penyenggaraan serta pengguna lebuhraya.

Setiap pihak yang terlibat dalam MoU ini akan menyumbang kepakaran dan kemahiran dari segi operasi penyenggaraan, penguatkuasaan dan latihan yang bakal menghasilkan impak positif kepada masa hadapan standard keselamatan lebuhraya seterusnya menjadi panduan kepada operator penyenggaraan lebuhraya seluruh negara.

Turut dilancarkan pada majlis tersebut adalah kenderaan mekanikal penyenggaraan lebuhraya yang diusahakan oleh Edgenta Infrastructure Services iaitu bahagian yang bertanggungjawab dalam urusan pelaksanaan teknologi penyenggaraan di bawah UEM Edgenta. Antara kenderaan tersebut adalah pemotong rumput dan pembersih jalan mekanikal yang mampu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan kurang risiko kepada para pekerja dan pengguna lebuhraya.

1

Kempen Jom Ubah – Hindar Penggunaan Plastik Sekali Guna Peringkat KKR

KUALA LUMPUR, 18 JUN 2019 - Kementerian Kerja Raya (KKR) menyokong hasrat menghindari penggunaan plastik sekali guna dengan melancarkan Kempen Jom Ubah sebagai langkah untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar. Kempen ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya bertempat di Kafeteria Aras 4, Kompleks Kerja Raya.

Tujuan utama Kempen Jom Ubah ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran dan perubahan minda kepada seluruh warga Kementerian khususnya, mengenai kepentingan bagi mengurangkan penggunaan produk biodegradasi sama ada demi menjaga kesihatan mahupun menjaga alam sekitar.

Kerajaan amat serius dalam usaha menangani isu pencemaran plastik terutamanya plastik sekali guna. YAB Perdana Menteri semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Julai 2018 telah memberi perhatian serius agar dilaksanakan larangan penggunaan produk-produk plastik sekali guna bermula dengan beg plastik dan straw plastik.

Sehubungan itu, Jemaah Menteri telah meluluskan Malaysia’s Road Map Towards Zero Single-Use Plastics, 2018-2030 pada 10 Oktober 2018 dan menyarankan semua Kementerian termasuklah Kementerian Kerja Raya untuk memainkan peranan antara lain dengan mengadakan kempen-kempen seperti tiada lagi penggunaan produk-produk plastic single-use di pejabat Kerajaan.

Melalui kempen ini semua warga Kementerian digalakkan untuk membawa bekas makanan, sudu, garfu dan penyedut minuman yang boleh diguna semula untuk kegunaan peribadi, menggunakan beg woven atau beg khas yang boleh diguna semula semasa membeli makanan dan minuman di cafeteria, menguar-uarkan amalan terbaik yang dilaksanakan di dalam semua platform komunikasi terutamanya media sosial bagi menjayakan kempen ini dan memberikan penghargaan kepada warga kerja yang komited dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.