Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Lawatan Timbalan Menteri Kerja Raya ke JKR Negeri Perak.

IPOH, 20 SEPTEMBER 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Perak. Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak, YBhg. Tuan Haji Roslan Abd. Ghani menzahirkan perasaan sangat berbesar hati dengan kehadiran YB Timbalan Menteri hari ini.

Ketibaan YB Timbalan Menteri disambut mesra oleh warga kerja JKR Negeri Perak. Selesai solat Jumaat, YB Timbalan Menteri memulakan lawatan beliau ke pejabat bahagian-bahagian bermula dari Aras 6 hingga ke Aras 1.

1

Malam Anugerah Lembaga Arkitek Malaysia 2019

KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER 2019 - Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) telah menganjurkan Majlis Malam Anugerah Lembaga Arkitek Malaysia 2019 bagi menghargai serta mengiktiraf segala sumbangan dan jasa Arkitek dan Perekabentuk Dalaman di negara ini.

Majlis dwi tahunan ini merupakan anjuran kali ketiga, selepas diadakan julung kalinya pada 2015 dan seterusnya pada 2017. Majlis hari ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Terdapat dua anugerah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya pada majlis ini iaitu Pingat Presiden Lembaga Arkitek Malaysia dan Anugerah Pendidikan Senibina Lembaga Arkitek Malaysia.

Pingat Presiden Lembaga Arkitek Malaysia telah dianugerahkan kepada Puan Hajjah Siti Majidah Binti A. Majid, seorang Perekabentuk Dalaman. Kegiatan beliau sebagai aktivis untuk professi Rekabentuk Dalaman pada tahap antarabangsa telah diiktiraf oleh International Federation of Interior Architects / Designers (IFI) dan Asia Pacific Space Designers Alliance (APSDA). Beliau telah menerima anugerah Fellow IFI pada tahun 2014 dan disusuli oleh APSDA “Elder” Recognition Award pada 2017.

Bagi Anugerah Pendidikan Senibina Lembaga Arkitek Malaysia pula, ia dianugerahkan kepada Ar. Prof. Dr. Julaihi bin Wahid, Timbalan Dekan Fakulti Alam Bina di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Beliau mempunyai 35 tahun pengalaman dalam bidang akademik, memberi sumbangan besar dalam penyelidikan, pentadbiran, konsultasi, jaringan industri dan universiti berkaitan seni bina malah beliau juga dianggap sebagai seorang cendekiawan yang banyak memberi sumbangan melalui aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

Lembaga Arkitek Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempertingkat dan mengiktiraf sumbangan Arkitek dan Perekabentuk Dalaman di Malaysia. Melalui penganugerahan dwi tahunan ini, ia mampu menjadi satu platfom yang positif ke arah mewujudkan industi senibina dan rekabentuk dalaman yang berdaya saing, berkualiti dan tersohor di peringkat negara dan antarabangsa.

1

Penyerahan Projek Jalan Pasir Mas Bypass Fasa 2

PASIR MAS, KELANTAN, 19 SEPTEMBER 2019 - Keprihatinan Kerajaan terhadap penduduk bandar Pasir Mas, Kelantan dizahirkan melalui pembinaan Projek Jalan Pasir Mas ByPass Fasa 2. Projek ini merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Pasir Mas merupakan bandar yang kedua tersibuk di Negeri Kelantan dan terletak di tebing Sungai Kelantan. Bandar Pasir Mas dihubungkan oleh Jalan Persekutuan 003 dan Jalan Persekutuan sedia ada di lokasi Bulatan Pasir Mas–Salor–Rantau Panjang dan Jambatan Sediada Pasir Mas–Salor. Dengan pelaksanaan projek ini, masa perjalanan akan dapat disingkatkan daripada 2 jam kepada 1 jam. Pergerakan pengguna jalanraya juga akan bertambah lancar dari Kota Bharu–Rantau Panjang dan Pasir Mask ke Tanah Merah dan sebaliknya.

Tambahan pula, Tahap Keupayaan Jalan (LOS) sediada dapat ditambahbaik dari LOS F ke LOS D di Bulatan Pasir Mas-Salor-Rantau Panjang dan Jambatan Sediada Pasir Mas – Salor, sekaligus menjana pertumbuhan ekonomi dan merancakkan industri pelancongan setempat sehingga ke kawasan bebas cukai Rantau Panjang.

Projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan nilai kos keseluruhan yang diluluskan sebanyak RM230 juta ini telah dilaksanakan dengan skop melibatkan pembinaan sebuah flyover di atas Bulatan Lemal bagi Laluan Pasir Mas-Tanah Merah (120m), naiktaraf Jalan Kg. Lemal, naiktaraf persimpangan Jalan Ke Lati, naiktaraf Bulatan Lemal, naiktaraf Jalan Rantau Panjang-Bulatan Lemal, pembinaan Jambatan Laluan Pejalan Kaki Baru dan pembinaan Jambatan Salor melintasi Sg. Kelantan.

Pelaksanaan projek Jalan Pasir Mas ByPass Fasa 2 bermula pada 19 Januari 2015 dan telah siap sepenuhnya pada 28 Ogos 2019 yang lepas. Satu majlis penyerahan projek telah diadakan pada 19 September 2019 oleh pihak JKR Kelantan kepada wakil Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Zahrul Hakim Bin Abdullah, Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan yang turut melawat ke tapak projek bersama-sama pegawai terlibat.

1

LLM Cultural Night Run Jambatan Kedua Pulau Pinang

PULAU PINANG, 15 SEPTEMBER 2019 - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd julung kalinya menganjurkan Cultural Night Run 2019 yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama, Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas.

Larian sepanjang 7 kilometer itu diadakan di Jambatan Kedua Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Seramai kira-kira 2,500 peserta mengambil bahagian dalam larian ini yang dilepaskan sekitar 9 malam. Para jemputan kenamaan turut menyertai acara Cultural Fun Walk sepanjang 3.5km.

Acara ini bertujuan memupuk semangat toleransi dan muhibbah di kalangan penduduk berbilang kaum serta menggalakkan gaya hidup sihat.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, YB Soon Lip Chee mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBhg. Dato' Sri Zohari Haji Akob, Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Sr. Aziz Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Abdul Razak Jaafar serta Pengerusi Koperasi LLM Berhad, YBrs. Tuan Haji Idrus Mat Tais.

Tamat acara larian, Timbalan Menteri Kerja Raya menyampaikan hadiah bagi kategori "The Best Costume" serta menyertai simbolik kiraan detik menjelang Hari Malaysia, 16 September. Majlis diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah utama cabutan bertuah berupa motorsikal 110cc.

1

Penyerahan Wakaf Mesin Air Minuman kepada JKSB.

PULAU PINANG, 15 SEPTEMBER 2019 - Satu majlis Penyerahan Wakaf Mesin Air Minuman anjuran Koperasi LLM Berhad telah diadakan di Ibu Pejabat Jambatan Kedua Sdn. Bhd (JKSB).

Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir hadir bagi merasmikan upacara tersebut. Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBhg. Dato' Sri Zohari Akob, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Sr. Aziz Abdullah, Pengerusi Koperasi LLM Berhad, YBrs. Tuan Haji Idrus Mat Tais serta Pegawai Bahagian Operasi Jambatan Kedua Sdn. Bhd., Encik Husain Mohamad.

YB Timbalan Menteri menyempurnakan simbolik penyerahan dengan memotong riben, menyerahkan plak sumbangan serta menampal pelekat pada mesin air.

1

Majlis Pecah Tanah Sekolah Daif Sk Bandar Bintangor, Sarawak

BINTANGOR, SARAWAK, 15 SEPTEMBER 2019 - Hari ini telah berlangsung Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor, Bintangor, Sarawak yang telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Tuan Baru Bian. Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor telah terpilih dalam pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif di bawah peruntukan RM100 juta bagi tahun 2019.

Seperti yang kita sedia maklum, program Sekolah Daif ini merupakan “touch point” kepada rakyat dan diberi penekanan dan perhatian oleh pihak Kerajaan. Ini adalah usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan disamping menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada guru - guru dan murid - murid sekolah khususnya.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk pembinaan semula dan menaik taraf 32 buah sekolah daif di negeri Sarawak di bawah Peruntukan Pembangunan (DE) tahun 2019. Selain itu, Kementerian Kewangan Malaysia juga telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM350 juta menggunakan peruntukan RM1 bilion (bayaran balik pinjaman) daripada Kerajaan Negeri Sarawak untuk pelaksanaan Pembangunan Sekolah Daif (Fasa 1) bagi 37 buah sekolah di negeri Sarawak.

Kaedah pembinaan menggunakan teknologi hybrid IBS dan konvensional diaplikasikan dalam pelaksanaan projek ini. Kaedah ini mampu membantu menyiapkan projek dalam tempoh yang lebih singkat kerana komponen binaan dihasilkan dalam persekitaran terkawal, sama ada di tapak atau di luar tapak bina, lebih ringan, mudah dikendalikan dan cepat dipasang.

Projek pembangunan semula sekolah daif bagi Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor ini dijangka siap pada bulan Februari 2020.

1

Menteri Kerja Raya Terima "Afeo Distinguished Honorary Fellow” Dari Presiden Indonesia

JAKARTA, 11 SEPTEMBER – Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Tuan Baru Bian adalah antara penerima Anugerah "AFEO Distinguished Honorary Fellow” sewaktu Konferensi Organisasi Insinyur Se-ASEAN ke-37 (CAFEO37) yang diadakan di JIExpo Kemayoran Jakarta, Indonesia yang telah dirasmikan oleh Ir. H. Joko Widodo, Presiden Indonesia di Jakarta, Indonesia.

Anugerah ini adalah pengiktirafan terhadap kerja - kerja kejuruteraan dan pembinaan di Malaysia. Anugerah ini relevan dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia sebagai sebuah badan teknikal negara yang menyumbang ke arah pembangunan infrastruktur yang menjadi pemangkin ekonomi negara. Turut menerima anugerah ini adalah beberapa Menteri dari negara ASEAN seperti Brunei, Kemboja, Myanmar dan Indonesia.

Ir. H. Joko Widodo, Presiden Indonesia pula menerima anugerah “AFEO Distinguished Honorary Patron Award” di majlis tersebut. Pada tahun 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia telah menerima pengiktirafan yang sama sewaktu CAFEO36 yang diadakan di Singapura.

Pada majlis ini, Yang Berhormat Menteri Kerja Raya telah bertemu dengan Ir H. Joko Widodo, Presiden Indonesia. Menerusi pertemuan tersebut, beliau turut menzahirkan pendapat mengenai pentingnya kerjasama antara kedua-dua negara mengenai pembangunan infrastruktur selaras dengan Pelan Lebuhraya Trans-Borneo.

Yang Berhormat Menteri Kerja Raya turut menyatakan kesediaan Kementerian Kerja Raya untuk memberikan kerjasama yang baik kepada Indonesia untuk pembangunan jajaran Trans-Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan.

Yang Berhormat Menteri Kerja Raya menyambut baik visi Indonesia untuk memindahkan Ibu Kota Indonesia ke Kalimantan Timur yang dilihat positif dalam menyumbang kepada rancangan infrastruktur baru untuk pembangunan sosial dan pemangkin ekonomi antaranya perdagangan, pelaburan, perindustrian dan pelancongan di Kepulauan Borneo, khususnya Sarawak dan Sabah. Perkara ini dilihat mampu memberi impak positif dan meningkatkan hubungan baik antara dua negara serantau.

1

Timbalan Menteri melawat Cawangan Kerja Keselamatan dan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, JKR

KUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir mengadakan lawatan kerja ke Cawangan Kerja Keselamatan Jabatan Kerja Raya Malaysia bertempat di Maju Junction.

Timbalan Menteri terlebih dahulu menyampaikan amanat beliau sebelum lawatan dimulakan. Pengarah Cawangan, YBrs. Ir. Haji Dzarif Yaacob dalam ucapannya mewakili seluruh warga kerja CKS berterima kasih dan sangat menghargai lawatan YB Timbalan Menteri menziarahi cawangan itu pada hari tersebut.

Setelah selesai lawatan di Cawangan Kerja Keselamatan, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir turut mengadakan lawatan kerja ke Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM) Bahagian Perkhidmatan Harta JKR Woksyop Persekutuan bertempat di No. 2, Jalan Arowana, Cheras.

Selain dari melawat ke bahagian penyenggaraan kenderaan bertempat di Blok A, YB Timbalan Menteri juga meluangkan masa melawat galeri di Blok B serta berpeluang menaiki 'roller machine'.

1

Perasmian Persimpangan Bertingkat Bandar Gamuda Cove.

DENGKIL, 6 SEPTEMBER 2019 - Persimpangan Bertingkat Bandar Gamuda Cove kini dibuka kepada pengguna Lebuhraya ELITE bermula jam 11.00 malam. Pembukaannya secara tidak langsung akan memendekkan jarak perjalanan serta menghubungkan penduduk sekitar Dengkil dengan kawasan sekitar.

Projek pembinaan persimpangan bertingkat yang dibina oleh Gamuda Land ini bermula pada 9 Januari 2017 dan telah siap pada 25 Julai 2019 dengan kos pembinaan kira-kira RM150 juta. Perasmian persimpangan ini disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian bertempat di KM26.70 Lebuhraya ELITE.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg Dato' Dr. Ong Gua Pak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) YBhg. Datuk Abdul Razak Jaafar, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBhg. Dato' Sr. Aziz Abdullah, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), YBhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid serta Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Ir. Zulakmal Haji Sufian, Pengarah Eksekutif Gamuda Land, Dato' Abdul Sahak Safi, Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad, YBhg. Dato' Lin Yun Ling, serta Ketua Pegawai Operasi PLUS, YBrs. Encik Zakaria Ahmad Zabidi.

1

Lawatan Kerja Timbalan Menteri ke Pejabat JKR WP Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir meneruskan siri ziarah warga Kerja Raya dengan mengadakan lawatan ke Pejabat Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertempat di Sunway Tower, Jalan Putra, Chow Kit.

Lawatan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah JKRWPKL, YBrs. Tuan Noor Azman Ramlee diikuti taklimat pengenalan mengenai JKRWPKL oleh Jurutera Awam Kanan dari Bahagian Penyelarasan dan Khidmat Sokongan JKRWPKL, Puan Nur Fairuzzah Md Marham.

YB Timbalan Menteri turut berpeluang menyampaikan amanat kepada warga kerja JKRWPKL seterusnya melawat ke ruang kerja dan bahagian-bahagian yang terdapat di JKRWPKL.