Langkau ke kandungan utama
1

Malam Anugerah Lembaga Arkitek Malaysia 2019

Malam Anugerah Lembaga Arkitek Malaysia 2019

KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER 2019 - Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) telah menganjurkan Majlis Malam Anugerah Lembaga Arkitek Malaysia 2019 bagi menghargai serta mengiktiraf segala sumbangan dan jasa Arkitek dan Perekabentuk Dalaman di negara ini.

Majlis dwi tahunan ini merupakan anjuran kali ketiga, selepas diadakan julung kalinya pada 2015 dan seterusnya pada 2017. Majlis hari ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya Malaysia.

Terdapat dua anugerah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya pada majlis ini iaitu Pingat Presiden Lembaga Arkitek Malaysia dan Anugerah Pendidikan Senibina Lembaga Arkitek Malaysia.

Pingat Presiden Lembaga Arkitek Malaysia telah dianugerahkan kepada Puan Hajjah Siti Majidah Binti A. Majid, seorang Perekabentuk Dalaman. Kegiatan beliau sebagai aktivis untuk professi Rekabentuk Dalaman pada tahap antarabangsa telah diiktiraf oleh International Federation of Interior Architects / Designers (IFI) dan Asia Pacific Space Designers Alliance (APSDA). Beliau telah menerima anugerah Fellow IFI pada tahun 2014 dan disusuli oleh APSDA “Elder” Recognition Award pada 2017.

Bagi Anugerah Pendidikan Senibina Lembaga Arkitek Malaysia pula, ia dianugerahkan kepada Ar. Prof. Dr. Julaihi bin Wahid, Timbalan Dekan Fakulti Alam Bina di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Beliau mempunyai 35 tahun pengalaman dalam bidang akademik, memberi sumbangan besar dalam penyelidikan, pentadbiran, konsultasi, jaringan industri dan universiti berkaitan seni bina malah beliau juga dianggap sebagai seorang cendekiawan yang banyak memberi sumbangan melalui aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

Lembaga Arkitek Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempertingkat dan mengiktiraf sumbangan Arkitek dan Perekabentuk Dalaman di Malaysia. Melalui penganugerahan dwi tahunan ini, ia mampu menjadi satu platfom yang positif ke arah mewujudkan industi senibina dan rekabentuk dalaman yang berdaya saing, berkualiti dan tersohor di peringkat negara dan antarabangsa.

Tarikh Dan Waktu Acara