Langkau ke kandungan utama
1

Projek Pembinaan Semula Dan Menaik Taraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah Industrialised Building System (IBS) Di Negeri Sarawak

KUCHING, 23 Februari 2018: Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, hari ini telah hadir ke Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik bagi Projek Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah Industrialised Building System (IBS) di Negeri Sarawak.

Sewaktu pembentangan Bajet 2018, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 billion untuk 2000 sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif seperti bumbung bocor, lantai rosak, dinding berlubang dan peralatan lama yang tidak berganti. Berdasarkan peruntukan tersebut, sebanyak RM1 billion diperuntukkan untuk Negeri Sarawak.

Program Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif di Negeri Sarawak Fasa 1 yang akan dilaksanakan oleh JKR Sarawak melibatkan 50 buah sekolah dengan anggaran kos projek bernilai RM130,621,000.00. Sebanyak 66 lagi projek menaiktaraf sekolah daif di Sarawak bagi Fasa 1 akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pelaksanaan projek Fasa 1 dibawah JKR Sarawak melibatkan 50 sekolah, 13 pakej, 13 kontraktor dengan skop projek yang mengandungi 294 Bilik Darjah, 12 Asrama, 7 Bilik Sains, 28 unit Tandas dan 6 Dewan Makan. Pemilihan kontraktor telah dibuat secara rundingan terus dari kalangan kontraktor tempatan di Negeri Sarawak yang disyorkan oleh JKR Sarawak. Tempoh penyiapan projek ini dijangkakan dalam masa 4 bulan menggunakan teknologi IBS secara sepenuhnya.

Tarikh Dan Waktu Acara