Langkau ke kandungan utama
0

Perjalanan Bertambah Lancar Dengan Pembukaan Sebahagian Seksyen 5A Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub ByPass

Raub, Pahang, 7 Mac 2024 – Perjalanan dari dan ke Pantai Timur akan bertambah lancar dengan pembukaan sebahagian jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dahulunya dikenali sebagai Projek Central Spine Road (CSR) iaitu Seksyen 5A: Raub ByPass. Pengguna yang menggunakan jalan LTU Raub Bypass yang baharu siap ini dapat menjimatkan masa, kos bahan api serta mengurangkan kesesakan jalanraya. Ini kerana pengguna yang berulang alik ke pantai timur boleh menggunakan jalan pintas ini dan tidak perlu lagi melalui Bandar Bentong dan Bandar Raub terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti umum.

Perasmian pembukaan sebahagian Seksyen 5A: Raub ByPass sepanjang 6.4kilometer(km) ini telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bersama - sama YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang di mana para pengguna jalan raya boleh menggunakannya bermula jam 12.01 pagi, hari Jumaat 8 Mac 2024.

Pembukaan jajaran ini akan memberi manfaat kepada pengguna jalanraya dengan memendekkan masa perjalanan dari Lebuhraya Pantai Timur ke Kuala Lipis, Pahang tanpa perlu melalui Bandar Bentong dan Raub dengan jarak perjalanan sepanjang 45.3 km. Jarak ini mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja dan pastinya menjadi laluan pilihan yang penting dan menjimatkan dari segi masa dan kos perjalanan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Panjang Seksyen 5A: Raub ByPass ini adalah 9.6 km keseluruhannya dan dengan pembukaan 6.4 km pada hari ini serta 600meter yang telah dibuka pada 25 Jun 2023 lalu, menjadikan jumlah jajaran yang telah dibuka kepada rakyat Malaysia Madani adalah sepanjang 7 km. Baki sepanjang 2.6 km dijadualkan akan disiapkan pada Jun 2024. Kerja - kerja pembinaan Seksyen 5A ini bermula pada 13 Jun 2019 dengan melibatkan kos berjumlah RM 252.5 juta dengan skop kerja utama ialah membina jalan baharu empat (4) lorong dua hala (dual carriageway) dengan reka bentuk menepati piawaian JKR R5.

Projek LTU merupakan sebuah projek KKR membina jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada kepada 4 lorong 2 hala (4-lane dual carriageway) sepanjang hampir 299.4 km dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Bentong, Pahang.

Jajaran LTU di Negeri Pahang melibatkan empat pakej utama iaitu Pakej 3 se-hingga Pakej 6 sepanjang 169.10 km dan dipecahkan kepada 16 seksyen. 9 seksyen sepanjang 106.85 km telah siap mengikut masa dan 7 lagi seksyen sepanjang 62.25 km sedang dalam pembinaan.

Terdahulu, Seksyen 5C dan 5D bermula dari Jalan Susur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak melalui Persimpangan Benus, Bulatan Mempaga dan berakhir di Persimpangan Keruntung sepanjang 22.3km telah dibuka kepada pengguna jalan raya pada 5 Oktober 2021 dan diwartakan sebagai Laluan Persekutuan 34 (Lingkaran Tengah Utama). Seksyen 5B: Kg. Orang Asli Sg. Chandan Ke Kg. Asap sepanjang 16 km dan sebahagian Seksyen 5A (Persimpangan Krau, Raub) sepanjang 600m pula telah dibuka pada 25 Jun 2023.

Pembukaan LTU Raub Bypass merupakan komitmen yang berterusan dari KKR dalam menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa kepada rakyat Malaysia Madani. Usaha ini ditambahnilai dengan penawaranan total solution melalui Program MYJalan KKR yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 24 Ogos 2023 bagi pengguna jalanraya membuat aduan dan memantau penyelesaian aduan menggunakan apps MYJalan di telefon pengguna. Diharapkan total solution ini akan meningkatkan jangka hayat serta kualiti jalanraya melalui pendekatan whole nation approach di mana rakyat sama-sama terlibat dalam menjaga infrastruktur yang telah dibina sesuai dengan semangat JALAN KITA, KITALAH YANG JAGA.

Tarikh Dan Waktu Acara