Langkau ke kandungan utama
0

Penyerahan Surat Setuju Terima Dan Pelantikan Pengarah Projek Sarawak Sabah Link Road Fasa 2

Kuala Lumpur, 26 Mac 2024 Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini telah menyerahkan Surat Setuju Terima bagi pelaksanaan projek Sarawak Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR Fasa 2) bertempat di Kementerian Kerja Raya (KKR). Di Majlis yang sama juga, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sarawak telah dilantik sebagai Pengarah Projek tersebut.

Projek Sarawak Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR Fasa 2) merupakan salah satu daripada lima projek Mega yang telah dikenalpasti sebagai projek utama yang akan dilaksanakan dalam tahun 2024 sepertimana yang disampaikan oleh Menteri Kerja Raya sewaktu majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KKR. Projek ini dijadualkan disiapkan dalam tempoh lima tahun.

Projek ini akan melibatkan pembinaan jajaran baharu dan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 322 kilometer yang akan menghubungkan lokasi-lokasi di Sarawak iaitu bandar Lawas ke bandar Limbang dan seterusnya ke pekan Mulu tanpa melalui Negara Brunei Darussalam.

Projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan ini akan berfungsi sebagai akses dan mobiliti terutamanya kepada masyarakat setempat di samping kepada pelancong untuk bergerak dengan lebih selesa dan selamat. Selain itu, ia akan menjadi pemangkin dan faktor pengganda kepada pembangunan ekonomi dan eko pelancongan di kawasan utara Negeri Sarawak seperti Ba’kalalan dan Mulu yang kaya dengan flora dan fauna.

Pelaksanaan projek ini merupakan satu lagi bukti komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam membangunkan rangkaian jalan raya secara lebih terancang, sistematik dan efisien. Ini selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat Malaysia Madani secara berterusan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita