Langkau ke kandungan utama

Penyerahan SST Projek Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Sabah Menggunakan Kaedah IBS

SABAH, 26 Februari 2018: YB Datuk Rosnah Binti Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah hadir ke Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik bagi Projek Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah Industrialised Building System (IBS) di Negeri Sabah dan Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid Bagi Sekolah-sekolah Luar Bandar Negeri Sabah. YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak melalui ucapan beliau semasa pembentangan Bajet Tahun 2018 pada 27 Oktober 2017 telah mengumumkan pelaksanaan projek sekolah daif dengan menggunakan kaedah Industralize Building System (IBS).

Peruntukan sebanyak RM2.5 billion telah diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih sekolah-sekolah daif dengan pecahan sebanyak RM1 billion di Sabah yang akan dilaksanakan dalam tempoh masa dua (2) tahun iaitu tahun 2018 dan 2019. Bagi memenuhi keperluan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kewangan telah bersetuju meluluskan pertambahan skop dengan kos sebanyak RM34,100,000.00 yang menjadikan kos keseluruhan projek Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif di negeri Sabah Fasa 1 di Negeri Sabah adalah sebanyak RM164,000,000.00. Ia dilaksanakan secara rundingan terus yang melibatkan sebanyak 37 buah sekolah.

JKR Malaysia telah melantik JKR Negeri Sabah selaku agensi pelaksana bagi projek tersebut dengan menggunakan rekabentuk yang disediakan oleh JKR Malaysia. Tempoh penyiapan projek ini dijangkakan dalam masa 4 bulan menggunakan teknologi IBS secara sepenuhnya.

Bagi Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid Bagi Sekolah-sekolah Luar Bandar Negeri Sabah pula, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM24 juta untuk perlaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan sistem solar hibrid di 138 buah sekolah-sekolah di Sabah yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia. Program penyelenggaraan ini yang merangkumi dua (2) pakej dilaksanakan dengan kaedah perolehan secara tender terbuka. Program ini akan dilaksanakan untuk tempoh dua tahun, sehingga 23 Februari 2020.

Tarikh Dan Waktu Acara