Langkau ke kandungan utama
0

Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Bakun FT803

Bintulu, Sarawak, 7 Julai 2023 – Keselesaan dan keselamatan pengguna bagi Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun FT803 sepanjang 128.46 kilometer terus mendapat perhatian Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang telah melakukan tinjauan turun padang keadaan semasa laluan tersebut.

KKR telah melaksanakan penyenggaraaan rutin bagi Jalan Persekutuan ini dengan anggaran peruntukan sebanyak RM 4 juta setahun. Manakala sebanyak RM 17.8 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja berkala pavemen dan berkala bukan pavemen dari tahun 2018 hingga 2023 bagi laluan ini.

Beberapa tindakan segera telah diambil oleh konsesi Jalan Persekutuan sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek bagi menangani masalah jalan berlubang iaitu dengan melaksanakan penampalan jalan di bawah kerja-kerja Penyeggaraan Rutin. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2023, sebanyak 762 kerja tampalan potholes telah dilaksanakan di laluan tersebut.

Kerja pembaikan turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur pavemen juga telah dilaksanakan, dan pada tahun 2023, sebanyak tiga Arahan Kerja (AK) berjumlah RM 6 juta telah dikeluarkan. KKR juga turut memperkenalkan kaedah Cold-in Place Recycling (CIPR) dalam kerja pembaikan turapan jalan ini, bagi menambah kekuatan struktur jalan dan meningkatkan hayat turapan jalan.

Terdapat beberapa cabaran dalam usaha menyenggara Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun ini dan ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Antara punca kerosakan ini berlaku adalah kenderaan lebih muatan yang kerap menggunakan laluan ini dan memerlukan penguatkuasaan dilaksanakan bagi mengatasinya. Disamping itu, terdapat juga masalah ketidakcukupan bekalan premix hot mix dan sebagai penyelesaian langkah segera, pihak JKR telah mengarahkan pihak syarikat konsesi agar tampalan dibuat menggunakan cold mix serta menambah jentera untuk mengatasi masalah kelewatan tampalan.

Selain itu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak juga menghadapi kesukaran bagi memastikan tampalan yang telah dilaksanakan mampu bertahan oleh kerana usia jalan yang telah luput (ageing). Bagi mengatasi masalah ini, KKR sedang menunggu kelulusan peruntukan bagi Projek Menaiktaraf dan Pemulihan (Rehabilitation) Jalan Bakun yang dimohon dalam Rolling Plan 4, RMKe-12 (Tahun 2024). Skop utama projek ini ialah menaiktaraf jalan tunggal dua lorong dua hala sepanjang 128.46km dengan piawai R3 JKR.

Kementerian Kerja Raya melalui Agensi Teknikal iaitu JKR Sarawak sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk memastikan jalan persekutuan di Bahagian Bintulu di Sarawak sepanjang 194.46 km berada dalam keadaan selamat dan selesa melalui penyenggaraan secara berkala.

Tarikh Dan Waktu Acara