Langkau ke kandungan utama
0

Penggantian 5 Jambatan Lama, Sempit Dan Uzur Jalan Persekutuan FT136 Bandar Baharu – Kulim

Bandar Baharu, Kedah, 27 Julai 2023 - Keselamatan dan keselesaan pengguna Jalan Persekutuan FT136 yang berulang-alik dari Bandar Baharu ke Kulim dan Lunas mendapat perhatian Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang meninjau kerja-kerja penggantian dan pelebaran lima jambatan disepanjang laluan ini yang sempit dan uzur. Turut hadir bersama-sama  Menteri Kerja Raya dalam tinjauan tersebut ialah Ketua Setiausaha KKR, Ybhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad serta Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Dato’ Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool.

Jambatan-jambatan sedia ada ini telah dibina sebelum tahun 60-an dan rekabentuknya masih selamat digunakan namun sesuai untuk beban trafik yang berkapasiti rendah. Selaras dengan peningkatan beban kenderaan ketika ini terutamanya daripada muatan kenderaan perdagangan yang kian meningkat menuju ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tec Park), pada April 2020 jambatan ini telah disenaraikan didalam Program Penggantian Jambatan yang Melibatkan Beban Gandar, Sempit dan Uzur di Negeri Kedah. Program ini dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Selain itu, laluan ini juga merupakan laluan utama bagi pengguna daripada arah Selatan yang menghubungkan kepada Butterworth – Kulim Expressway E15 untuk ke Pulau Pinang serta penghubung kepada laluan FT 004 untuk ke Pantai Timur.

Jambatan baharu ini akan dilebarkan daripada piawaian R3 kepada R5 dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalanraya terutamanya di lokasi yang berselekoh. Tempoh pembinaan bagi penggantian kelima-lima jambatan ini adalah selama 24 bulan. Jambatan-jambatan tersebut ialah Jambatan FT136/014/50, Sungai Chelong bernilai RM13.5juta, Jambatan FT136/037/34 Sg. Ular (RM13.5juta), Jambatan FT136/039/23 (RM15juta), Jambatan FT136/042/43 (RM12.6juta) dan Jambatan FT136/045/88 (RM17juta).

Dengan pembukaan kelima-lima jambatan ini, ia dapat memberi manfaat dan menyokong projek dibawah Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu Lebuhraya Koridor Utara dan Pembesaran Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang telah dalam bermula secara berfasa. Projek ini dapat menjana dan menyokong pembangunan sosio ekonomi khususnya penduduk Kulim.

Tarikh Dan Waktu Acara