Langkau ke kandungan utama
0

Pembaikan Cerun Runtuh Di FT006 Jalan Balik Pulau – Teluk Bahang Pulau Pinang Siap 51 Hari Awal

Pulau Pinang, 26 November 2023 – Susulan tinjauan ke lokasi tanah runtuh Laluan FT006 Jalan Balik Pulau – Teluk Bahang, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang pada 27 Julai 2023 yang lalu, Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi sekali lagi meninjau hasil kerja - kerja pembaikan yang telah dilaksanakan.

Terdapat tiga (3) lokasi tanah runtuh iaitu di Seksyen 40.9, 45.4 dan 46.8 berpunca daripada hujan lebat yang berterusan di laluan jalan persekutuan ini. Kesan runtuhan tersebut, JKR Daerah Barat Daya telah menutup sepenuhnya Laluan FT006 kepada semua kenderaan.

Hasil tinjauan di Seksyen 46.8 dan Seksyen 45.40, semua kerja – kerja pembinaan di tapak telah disiapkan sepenuhnya pada 6 November 2023 dan ia berjaya dilaksanakan 51 hari lebih awal daripada tarikh siap asal iaitu pada 26 Disember 2023. Kerja-kerja pembaikan cerun ini menggunakan Kaedah Tie Back Wall manakala kerja-kerja pembinaan sistem saliran menggunakan jenis Cascade and Toe Drain. Justeru, Menteri Kerja Raya telah mengumumkan pembukaan laluan di kedua – dua seksyen ini kepada semua jenis kenderaan.

Bagi kerja pembaikan runtuhan ini, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan Arahan Kerja (AK) kepada kontraktor penyelenggaraan cerun jalan persekutuan dan kos semasa untuk Seksyen 46.8 adalah sebanyak RM1.073juta, manakala Seksyen 45.40 sebanyak RM 726 ribu.

Kementerian Kerja Raya sentiasa berusaha memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyenggaraan jalan raya yang mengalami kerosakan dilaksanakan dengan terancang demi memastikan pembangunan infra berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk digunakan.

Tarikh Dan Waktu Acara