Langkau ke kandungan utama
0

Pembaikan Cerun Runtuh di FT006 Jalan Balik Pulau – Teluk Bahang Pulau Pinang

Balik Pulau, Pulau Pinang, 27 Julai 2023 – Kejadian tanah runtuh yang telah menyebabkan jalan raya laluan FT006 Jalan Balik Pulau – Teluk Bahang, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang terputus  telah mendapat perhatian Menteri Kerja Raya (KKR), YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang meninjau lokasi bencana Jalan Persekutuan tersebut yang khuatir akan nasib pengguna jalan raya tersebut.

Terdapat tiga lokasi tanah runtuh iaitu di Seksyen 40.9, 45.4 dan 46.8 berpunca daripada hujan lebat yang berterusan selama tiga hari bermula 29 Jun 2023 lalu. Taburan hujan pada hari kejadian iaitu 1 Julai 2023 telah mencapai 176mm iaitu melebihi taburan 60mm yang dianggap sebagai sangat lebat.

Runtuhan telah dikesan sehingga bahu jalan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya telah mengambil tindakan awal dengan menutup satu lorong laluan tersebut. Namun begitu, akibat dari hujan berterusan pada 10 Julai 2023, runtuhan susulan telah dikesan pada Seksyen 46.8 dan telah menyebabkan sebahagian dari jalan turut runtuh. Kesan runtuhan tersebut, JKR Daerah Barat Daya telah menutup sepenuhnya Laluan FT006 kepada semua kenderaan.

Bagi menyenggara kesan runtuhan ini, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR telah mengeluarkan Arahan Kerja (AK) pada 21 Julai 2023 kepada kontraktor penyelenggaraan cerun Jalan Persekutuan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan kekal cerun di Seksyen 45.4 dan 46.8 menggunakan kaedah tie-back wall dengan kos keseluruhan sebanyak RM1,799,000.00. Tarikh milik tapak adalah pada 27 Julai 2023 dan tempoh kerja pembaikan adalah selama lima  bulan dan dijangka siap pada Disember 2023.

Manakala kerja pembaikan di Seksyen 40.9 pula akan dilaksanakan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) JKR kerana melibatkan skop kerja jalan. CSFJ, JKR telah mengeluarkan Arahan Kerja (AK) Kerja Kecemasan kepada kontraktor konsesi Jalan Persekutuan bagi kerja pembaikan dengan menggunakan kaedah pemasangan gabion dengan kos sebanyak RM45,000.00. Kerja-kerja pembaikan telah dimulakan pada 24 Julai 2023 dan dijangka dapat disiapkan pada 23 September 2023.

Kementerian Kerja Raya sentiasa berusaha memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyenggaraan jalan raya yang mengalami kerosakan dilaksanakan dengan terancang demi memastikan pembangunan infra berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk digunakan.

Tarikh Dan Waktu Acara