Langkau ke kandungan utama
0

Pemasangan Jambatan Bailey Di Jalan Persekutuan Kuantan – Segamat Demi Kelangsungan Laluan Darat Rakyat

Pekan, Pahang, 18 Januari 2024 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan telah membuat tinjauan kerja – kerja pemasangan Jambatan Bailey di kawasan projek naik taraf Jalan Persekutuan Lebuh Raya Kuantan - Segamat (Lebuh Raya Tun Razak), FT12, Seksyen 102, Daerah Pekan, Pahang.

Pada 7 Januari 2024, satu kejadian jalan mendap telah dikesan berlaku pukul 1.00 petang di lokasi tersebut sehingga menyebabkan jalan Persekutuan tersebut berlubang dan hampir putus. Ekoran kejadian tersebut, laluan ini telah ditutup kepada semua jenis kenderaan dan pemakluman beberapa laluan alternatif telah dimaklumkan kepada pengguna jalan raya, antaranya laluan FT 03 (Kuantan – Endau), FT 63 (Leban Condong – Muadzam Shah) dan FT82 melalui Pekan Batu Balek.

Bagi memastikan jaringan jalan raya ini terus kekal berhubung, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensinya Jabatan Kerja Raya telah melaksanakan kerja-kerja pemasangan Jambatan Bailey (Bailey Bridge) jenis Acrow 700XS (double lane) sepanjang 100 kaki (30.48 meter) dengan kelebaran 30 kaki (9.3 meter) bermula pada 11 Januari 2024 dan selesai pada 14 Januari 2024.

Bagi kerja-kerja turapan jalan, kerja-kerja hamparan crusher run telah selesai dilaksanakan pada 15 Januari 2024 dan kerja-kerja hamparan premix akan dilaksanakan segera bergantung kepada keadaan cuaca bagi membolehkan ia dibuka kepada laluan awam.

Seramai 31 orang tenaga kerja terlibat dalam pemasangan ini yang terdiri daripada 12 orang dari Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR Negeri Pahang, 12 orang dari JKR Daerah Temerloh dan 7 orang dari Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Pahang Barat.

Membawa semangat dan aspirasi Kempen MyJalan, Kementerian Kerja Raya komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam mengatasi isu – isu berkaitan penyenggaraan jalan raya terutamanya apabila melibatkan Jalan Persekutuan.

Tarikh Dan Waktu Acara