Langkau ke kandungan utama
0

Pemasangan Jambatan Bailey di Jalan Dabong-Jeli Kelantan Terputus Memberi Manfaat Kepada Pengguna

Lojing, 7 Januari 2024 – Dalam memastikan jaringan jalan sentiasa terhubung, Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi meninjau kemajuan kerja pemasangan Jambatan Panel Keluli Bermodular atau Jambatan Bailey di Jalan Dabong – Jeli, Jajahan Jeli, Kelantan. Tinjauan turut dilaksanakan di beberapa lokasi Laluan Persekutuan yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir dan kerap menerima aduan dari pengguna jalan raya.

Pada 1 Januari 2024 yang lalu telah berlaku kegagalan pembetung Corrugated Metal Pipe (CMP) di FT66 seksyen 73.85, Jalan Dabong – Jeli, Kelantan yang telah menyebabkan laluan tersebut terputus sepenuhnya. Kerja pemasangan Jambatan Bailey telah mula diatur gerak pada 3 Januari 2024 bagi memindahkan stok Jambatan Bailey model Acrow XS700 jenis single lane-extra wide dengan kelebaran 4.2meter sepanjang 100 kaki milik Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ke lokasi berkenaan.

Pasukan pemasangan Jambatan ini terdiri daripada 40 orang pegawai daripada Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Jajahan Machang, Kelantan, JKR Daerah Temerloh, Pahang dan JKR Daerah Kinta, Perak. Kerja pemasangan jambatan dimulakan pada 5 Januari 2024 dan dijangka akan mengambil masa lima hari bergantung kepada faktor cuaca. Setelah selesai, ia akan dibuka kepada kenderaan ringan sahaja.

Pada masa yang sama, pihak JKR Malaysia dalam proses menyediakan reka bentuk pembetung dengan anggaran kos berjumlah RM700 ribu bagi melaksanakan kerja pembaikan kekal di lokasi tersebut.

Tinjauan Jambatan Bailey tersebut adalah salah satu daripada lokasi tinjauan kerja Menteri Kerja Raya ke Kelantan. Tinjauan kerja di sekitar Kelantan turut melibatkan kawasan-kawasan yang terkesan akibat bencana banjir dan cerun runtuh. Lokasi tinjauan kerja termasuklah di Jalan Raya Persekutuan FT2750 (Jalan Berdang – Sg. Rual), FT008 (Jalan Gua Musang – Kota Bharu) dan FT185 (Jalan Lojing – Gua Musang).

Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa komited dalam memastikan jaringan Laluan Persekutuan kekal terhubung pada fasa pasca bencana ini. Ini selari dengan semangat kempen MYJalan yang telah dilancarkan oleh KKR dalam meningkatkan kesedaran semua pihak agar dapat bersama-sama bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keselesaan sewaktu menggunakan jalan raya.

 

 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita