Langkau ke kandungan utama
0

Pelancaran Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya

Gerik, Perak, 24 Ogos 2023 – Kempen MyJalan telah dilancarkan oleh YAB Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang bertempat di Jeti Awam Pulau Banding, Gerik, Perak. Turut hadir bersama-sama Menteri Besar Negeri Perak, YAB Dato Seri Saarani Bin Mohamad dan YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Kementerian Kerja Raya (KKR) melancarkan Kempen MYJalan hari ini bagi meningkatkan akauntabiliti dalam kalangan pengguna jalan raya, pemain industri dan agensi kerajaan bahawa jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Kempen ini adalah platform advokasi dan juga pendedahan kepada pengguna jalan raya tentang penyenggaraan jalan raya sedia ada. Pengukuhan “No Wrong Door Policy” di dalam kempen ini adalah selaras dengan pelancaran aplikasi MyJalan sebagai alternatif yang dapat meningkatkan keupayaan sistem aduan KKR. Aplikasi ini lebih bersifat mesra pelanggan dan holistik. Ia boleh didapati secara percuma dengan memuat turun daripada App Store untuk sistem operasi iOS, Play Store untuk pengguna sistem operasi Android dan Huawei App Gallery untuk pengguna Huawei. Terdapat beberapa langkah mudah dalam menggunakan aplikasi ini di mana pengguna hanya perlu menghantar foto dan lokasi aduan, memilih jenis aduan, mengisi maklumat aduan dan seterusnya menghantar aduan tersebut secara atas talian.

Lokasi yang dipilih untuk majlis ini adalah istimewa iaitu di laluan Jalan Raya Timur – Barat (FT004). Di bawah lembayung Kempen MYJalan dan bersempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke 66, KKR turut mengadakan Program Setia Bakti Jalan Raya Timur Barat (FT004). Program ini adalah bagi mengenang kembali jasa dan pengorbanan pekerja pembinaan laluan Jalan Raya Timur Barat (FT004). Pada 21 Mei 1974, satu serangan pengganas komunis telah merosakkan puluhan unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, seramai 3 orang petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) telah terbunuh semasa bekerja untuk membina laluan ini dan juga ratusan dari unit keselamatan telah gugur antara tahun 1968 hingga 1989 semasa pembinaan jalan raya ini dilaksanakan. Pada majlis tersebut 37 orang bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat (FT004) telah hadir dan menerima momento kenangan yang disampaikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. YAB turut meluluskan sagu hati RM1,000 kepada 87 keluarga pekerja JKR yang terlibat dengan pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (FT004) sebagai simbolik menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan.

Bagi tahun 2023, sebanyak RM45.676 juta telah diluluskan bagi membaik pulih kerosakan jalan di laluan Jalan Raya Timur Barat (FT004) ini. Daripada jumlah tersebut, RM44.728 juta diperuntukan untuk kerja-kerja penyenggaraan berkala pavemen manakala bakinya sebanyak RM948 ribu pula adalah bagi kerja-kerja penyenggaraan berkala bukan pavemen. YAB Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan iaitu RM30 juta bagi tujuan penambahbaikan serta penyelenggaraan Jalan Raya Timur Barat (Gerik-Jeli). Ini sekali gus menjadikan peruntukan bagi tujuan baik pulih jalan raya berkenaan meningkat kepada RM75 juta.

Kempen MyJalan ini adalah satu komitmen oleh KKR dan seluruh agensi di bawahnya untuk memberikan khidmat lebih proaktif kepada rakyat. Semua pemegang taruh dan rakyat akan dilibatkan di dalam kempen ini sejajar dengan misi meningkatkan akauntabiliti semua pihak ke arah kesejahteraan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara