Langkau ke kandungan utama
0

Pelaksanaan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya Negeri Kedah

Kulim, Kedah, 27 Julai 2023 - Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya di seluruh negara yang telah diluluskan pada Rolling Plan 2, RMKe-11 dengan siling peruntukan berjumlah RM241.5 Juta dan diteruskan pelaksanaannya dalam RMKe-12.

Bagi Negeri Kedah, program ini dilaksanakan dengan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang telah hadir ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulim/Bandar Baharu. Turut hadir bersama-sama ialah Ketua Setiausaha KKR, Ybhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad serta Ketua Pengarah JKR Dato’ Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool.

kepada kontraktor negeri Kedah yang berjaya, melibatkan 8 Kerja Pemasangan Lampu Jalan Di Kawasan Kemalangan/Berisiko Kemalangan Akibat Jalan Gelap dan 4 Lokasi Rawatan Memperelok Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan (Blackspot) dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.4 Juta.

Untuk makluman, skop merawat lokasi kerap berlaku kemalangan atau Blackspot dilaksanakan sebagai satu usaha untuk mengurangkan kemalangan yang disebabkan oleh faktor kejuruteraan jalan. Rawatan blackspot ini hanya berskala kecil/jangka pendek dan antara contoh rawatan tersebut ialah pembaikan perabot jalan seperti papan tanda, penghadang jalan, pembaikan tandaan jalan,bebendul jalan, lorong memotong, pembahagi dan pepaku jalan. Bagi tahun 2023, empat lokasi di Daerah Kuala Muda telah dikenal pasti dengan kos setiap lokasi bernilai RM350 ribu. Daerah Kuala Muda yang merupakan antara daerah dengan kematian nahas jalan raya tertinggi di Malaysia.

Manakala bagi skop pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan, ia dikenal pasti berpunca akibat jalan gelap seperti di persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang mempunyai jumlah kemalangan yang tinggi. Pemasangan lampu jalan akan dilakukan secara setempat dan berskala kecil di lokasi yang dikenal pasti. Bagi tahun 2023, sebanyak dua lokasi dikenal pasti di Daerah Sik, satu di Daerah Kuala Muda, satu di Daerah Yan, dua di Daerah Kubang Pasu dan dua di Daerah Baling yang membawa kos keseluruhan sebanyak RM1 juta (jumlah lapan lokasi).

Kawasan kerap berlaku kemalangan (Blackspots) bermaksud kawasan yang sering berlaku kemalangan sama ada 3 kemalangan sama jenis atau 5 kemalangan dari pelbagai jenis dalam tempoh 3 tahun di lingkungan 100 meter panjang jalan atau 50 meter radius jalan.

KKR selaku Kementerian yang bertanggungjawab dalam membangunkan infrastruktur awam sentiasa memberikan komitmen yang terbaik dalam membangunkan infrastruktur berkualiti tinggi dan selamat bagi memenuhi keperluan semasa negara terutama sekali kepada rakyat di negeri Kedah.

Tarikh Dan Waktu Acara