Langkau ke kandungan utama
1

Misi Pasca Banjir Kementerian Kerja Raya

TEMERLOH, 10 Januari - YBhg. Dato’ Sri Zohari bin Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengetuai misi 414 orang sukarelawan hari ini yang merupakan hari keempat Misi Pasca Banjir KKR di beberapa kawasan sekitar Temerloh, Pahang yang terjejas teruk akibat banjir. Terdapat wakil dari syarikat korporat yang turut serta dalam misi ini iaitu wakil dari syarikat konsesi Selia Senggara Sdn. Bhd., Syarikat Sapura Berhad, Kemuncak Facilities Management Sdn. Bhd., Persatuan Kontraktor Kontraktor Kelas F (PERKOF) dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM). Misi pertama telah bermula pada 7 Januari 2015 lalu melibatkan seramai 154 orang sukarelawan yang terdiri dari warga KKR, Kelab PUSPANITA KKR, JKR Daerah Temerloh serta Team Mercy JKR, berganding bahu bersama syarikat korporat seperti syarikat konsesi Roadcare Sdn. Bhd. dan Maju Expressway Berhad (MEX). Misi pada hari pertama ini diketuai oleh Tuan Hj. Sarani Bin Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KKR. Manakala bagi hari kedua pada 8 Januari 2015, Misi Pasca Banjir KKR diteruskan oleh seramai 344 orang sukarelawan yang terdiri dari pasukan KKR, LLM, CIDB, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), JKR Temerloh serta JKR Malaysia Ibu Pejabat. Misi di hari ketiga pula melibatkan seramai 306 sukarelawan yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Yahaya Hassan, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan KKR. Pasukan sukarelawan KKR ini dipecahkan kepada beberapa pasukan untuk bersama-sama membantu membersihkan kediaman ibu tunggal, warga emas dan sekolah yang terkesan dengan bencana banjir. Antara sekolah yang dibantu para sukarelawan adalah SK Telok Sentang, SK Bintang, SK Guai, SK. Paya Pulai, SK. Paya Taram, SK. Paya Ara dan Taman Sri Kerinau daerah Temerloh, Pahang.

Tarikh Dan Waktu Acara